Buku Perlu Jelas Sasaran Pembacanya

Para penulis mempunyai idea, visi dan misi mereka dalam penulisan. Kesemuanya memandang bahawa dunia penulisan adalah cara terbaik bagi menyampaikan ilmu terbaru yang terkini dan terbaik kepada masyarakat. Tulisan dalam pelbagai bidang dan topik mengharmonikan dunia maklumat dan ilmu. Namun begitu dalam sesetengah keadaan cara penyampaian tidak menepati sasaran pembacanya.

Setiap lapis masyarakat mempunyai keperluan berbeza

Mengapa boleh jadi begini? Ini disebabkan oleh para penulis tidak jelas sasaran pembacanya. Mereka percaya sebuah buku adalah untuk semua orang. Sebuah buku boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat. Secara teorinya ya tetapi secara realitinya tidak. Sebuah buku tidak mungkin boleh difahami dan diterima dengan baik oleh semua orang.

Para penulis perlu mengambil kira beberapa faktor pada diri pembaca :

a) Usia

Setiap tahap usia mempunyai minat pembacaannya tersendiri. Remaja mahukan bacaan santai, beliau mahukan buku yang agak akademis, dewasa mahukan bacaan intektual. Apabila begini buku-buku setiap tahap usia ini perlu dipakejkan persembahannya bersesuaian dengan mereka.

b) Kerjaya

Setiap orang mempunyai kerjaya berbeza. Bagi yang eksekutif mahukan peningkatan diri dan kerjaya mereka, ahli perniagaan mahu memantapkan bisnes mereka, suri rumah mahu pemantapan rumah tangga dan begitu juga orang-orang lain. Buku-buku perlu memenuhi setiap ruang kerjaya ini.

c) Taraf Hidup

Masyarakat mempunyai taraf hidup yang berbeza. Isu semasa seperti kenaikan harga minyak, harga tol, harga makanan dan sebagainya memberikan impak berbeza-beza kepada mereka ini. Apabila keadaan ekonomi negara beruba-ubah juga menjejaskan masyarakat mengikut taraf hidup mereka. Bagi berpendapatan tinggi terlalu terasa tetapi bagi mereka berpendapatan rendah cukup terasa.

Jadi penulis perlu prihatin dan peka situasi semasa. Pada masa ekonomi teruk, orang berusaha mencari wang bagi menampung kehidupan. Buku-buku cara mencari wang amat diperlukan pada masa begini. Pada keadaan ekonomi baik, saham naik. Buku-buku cara bermain saham mungkin akan naik jualannya.

d) Taraf pendidikan dan pemikiran

Masing-masing individu di dunia mempunyai latar belakang pendidikan berbeza. Bagi yang pernah berada dalam dunia menara gading, cara berfikir agak tinggi dan intelek. Bagi yang tidak berpeluang ke sana, cara berfikirnya berbeza. Buku-buku yang dihasilkan perlu mengambil kira faktor-faktor ini.

Apabila begini, mesti ada yang bertanya? Perlukah spesifik dalam menentukan pembaca. Ya! Perlu spesifik. Ia memudahkan semua pihak. Memudahkan kita sebagai penulis untuk menulis, memudahkan penerbit menyediakan pakej persembahan buku dan promosi yang betul, memudahkan pekedai menentukan cara letak buku tersebut dan memudahkan pembaca memilih buku bersesuaian dengan mereka.

Merancang Penulisan Teknik Fadzli Yusof

Semua perkara di dalam dunia ini perlu kepada perancangan. Daripada organisasi hinggalah individu perseorangan perlu merancang gerak kerja mereka bagi membawa kepada kejayaan.

Merancang penulisan adalah satu satu kunci kejayaan menghasilkan karya bestseller. Karya yang terancang bukan sahaja tersusun topik dan isinya. Ia juga membolehkan para penulis meletakkan sasaran tepat bagi menghasilkan karya mereka.

Di sini saya ingin kongsikan satu teknik yang digunakan oleh penulis paling prolifik PTS Millennia dan juga pakar motivasi muda saudara Ahmad Fadzli Yusof. Beliau tidak pernah mempunyai pengalaman menulis ketika beliau mula-mula menghadiri kursus penulisan anjuran PTS tidak lama dahulu. Namun begitu selepas itu beliau menjadi penulis pertama yang mencipta rekod penghasilan manuskrip terbanyak dalam masa setahun di PTS.

Beliau berjaya menghasilkan 15 buku dalam masa setahun. Banyak bukan? Apakah rahsianya? Saya pernah menjemput beliau berkongsi tekniknya dalam satu bengkel penulisan di Kelantan. Pada ketika itu saya dijemput oleh Persatuan Penulis Kelantan bagi mengendalikan bengkel penulisan di sana. Dalam satu slot Ahmad Fadzli menerangkan cara beliau merancang penulisan beliau. Teknik ini saya panggil Teknik Fadzli Yusof.

Mula-mula tentukan beberapa perkara :

  • Tajuk buku
  • Konsep buku
  • Bilangan halaman buku
  • Saiz manuskrip
  • Selang baris
  • Tarikh akhir penghantaran buku
  • Tempoh masa untuk menyiapkan buku tersebut

Senarai ini menjadikan perancangannya jelas dan tersusun. Apabila semua ini ada banyak perkara yang boleh membantu penulis ini. Dua maklumat penting dalam Teknik Fadzli Yusof ini menjadikannya berjaya adalah bilangan halaman dan tempoh masa. Katalah anda merancang sebuah buku motivasi remaja, bilangan halamannya adalah 90 halaman, saiz A4, selang baris satu dan tempoh masa untuk menyiapkannya adalah 3 bulan (90 hari).

Jadi apabila dua maklumat ada iaitu bilangan halaman dan tempoh masa maka kita bahagikan mengikut hari.

90 hari perlu digunakan untuk menyiapkan 90 halaman manuskrip, saiz A4 selang baris satu

Ini bersamaan dengan 1 hari 1 muka surat saiz A4 selang baris satu.

Jadi pihak penulis tahu bahawa beliau perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan manuskrip tersebut siap sebagaimana dirancang.

Jika 1 hari tidak menulis, beliau perlu men’qadak’ penulisannya ke esok hari. Maka hari esoknya beliau perlu menulis 2 helai saiz A4 selang baris satu. Begitulah seterusnya.

Inilah teknik yang menjadikan Ahmad Fadzli Yusof pengarang prolifik.

Pengarang Bestseller Mempunyai USP Tersendiri

Pengarang karya perlu ada Unique Selling Proposition (USP). Ini adalah satu istilah dalam pemasaran. USP ini dalam bahasa mudah slogan ataupun jenama yang menyebabkan orang kenal kepada diri kita. Kita boleh lihat contoh-contoh yang USP yang digunakan dalam iklan-iklan televisyen seperti “Macam-macam Ada”, “Gunakan Tanpa Was-was” dan “Dekat Di Hati”. Ini semuanya slogan ataupun jenama yang menyebabkan kita ingat kepada pemiliknya.

Dalam dunia penulisan pun USP sudah mula digunakan. “The Millonaire Coach”-Azizi Ali, “Jutawan Internet”-Irfan Khairi, “Jutawan Senyap”-Chef Li, Resipi Kejayaan-Ahmad Fadzli Yusof, “Motivasi Alihan Pelajar”-Dr. Tengku Asmadi dan “Teknik Amalan Belajar”-Dr. Shukri Abdullah. Kesemua ini penting bagi memudahkan para pembaca meletakkan diri kita di mana. Ia juga memudahkan pihak penerbit membuat promosi bersesuaian dengan USP kita. USP ini juga menunjukkan fokus penerbitan kita.

Apakah USP penulisan anda?

Cara Menulis Yang Baik Adalah Dengan Keluar Daripada ‘Mode Penulis’

Tentu ramai yang pelik apabila membaca tajuk entri ini. Cara menulis yang baik adalah dengan keluar daripada ‘mode penulis’. Apabila kita bercerita dengan sahabat semasa bersarapan ataupun masa lapang, pelbagai topik yang dibincangkan. Ada topik serius, ada humor dan ada sedih. Kesemuanya itu diceritakan dalam bentuk kata-kata yang kita saling memahami. Apabila sedih kita boleh menangis, apabila lucu kita boleh ketawa dan apabila seram kita berasa takut.

Namun begitu apabila kita menulis, segala apa yang kita berjaya sampaikan sewaktu kita berbicara ataupun bercerita dengan sahabat kita tadi tidak sepertinya. Mengapa? Ini bezanya apabila kita cuba menggunakan ‘mode penulis’ dalam penulisan kita. Habis itu bagaimana? Kita perlu guna ‘mode pencerita’. Kita tulis karya sepertimana kita bercerita dengan sahabat kita tadi. Penuh perasaan, penuh emosi dan penuh dramatik. Apabila pembaca membaca karya sebegini, dia berasa dirinya dekat dengan kita dan tentunya mereka baca berterusan seperti mendengar sahabatnya bercerita.

Anda bagaimana? Mari jadikan diri pencerita yang baik.