Dalam beberapa pertemuan saya dengan para penulis seluruh negara, pelbagai perkara mengenai dunia penulisan buku dibincangkan. Daripada isu hak cipta hinggalah kepada persoalan penulisan.
Saya tertarik dengan cerita seorang penulis yang menyatakan penulisannya sering dikritik oleh para pembaca. Kritikan melalui email, telefon, laporan penerbit dan sebagainya. Kadangkala kritikan itu ada yang melampau hinggakan memohon agar penulisannya ditarik balik.
Wah! Saya terfikir apakah jenis penulisan yang beliau tulis hingga jadi begitu. Apabila ditanya barulah saya tahu bahawa dia ini seorang penulis buku politik. Saya bukannya ingin mengulas cerita ini. Apa yang perlu dilihat adalah penulis harus bersedia dikritik.
Tulisan kita ada yang mungkin bersetuju dan ada yang tidak. Walaupun kita menulis perkara yang baik mengenai Islam, perbandingan agama ataupun sebagainya. Ilmu dunia ini luas, jadi semua orang melihat sesuatu ilmu itu daripada perspektif mereka. Ada masanya ia selari dengan penulisan kita dan ada kalanya tidak.
Penulis harus bersedia untuk dikritik! Pepatah Tamil mengatakan :
Hanya buah yang manis sahaja dibaling monyet
Dalam kes ini, hanya karya yang baik dikritik orang.
P/S: Teringat kritikan pedas Fauziah Ahmad Daud (Kak Ogy) semasa pertemuan saya dengan beliau tidak berapa lama dahulu. Kak Ogy menyatakan kekecewaannya kepada orang agama yang tidak berhikmah dalam menyampaikan dakwah Islam. Lebih kurang sama caranya ketika dia mengkritik pelajar Akademi Fantasia 5 tempoh hari
