Pada 28 Oktober 2008 yang lalu saya dijemput oleh Ikatan Penerbit Indonesia IKAPI Cawangan Jakarta bagi menyampaikan ceramah kepada lebih daripada 150 ahli persatuan penerbit terbesar Indonesia itu. Ia bersempena dengan Rapat Umum (Mesyuarat Agong) IKAPI Cawangan Jakarta untuk tahun 2008.
Buat pengetahuan semua, Ikatan Penerbit Indonesia mempunyai seramai 750 ahli terdiri daripada para pengusaha penerbitan buku Indonesia. Dari penerbit yang kecil sehinggalah yang besar seperti Gramedia, Mizan Publishing Group dan Agromedia. IKAPI Cawangan Jakarta mempunyai keahlian seramai 450 penerbit buku dan merupakan cawangan IKAPI terbesar di Indonesia. IKAPI Jakarta adalah cawangan yang menganjurkan 2 pesta buku terbesar iaitu Pesta Buku Islam (bulan Mac setiap tahun) dan Pesta Buku Jakarta (bulan Jun setiap tahun).
Pada hari itu saya berhadapan dengan semua pemilik dan pengusaha syarikat penerbitan Indonesia yang berpusat di Jakarta. Satu ruang yang pada pandangan saya rezeki Tuhan. Sebelum ini ruang yang sebesar ini agak sukar diperoleh oleh mana-mana penerbit dari Malaysia. Bertemu dan berceramah kepada kebanyakan syarikat gergasi penerbitan Indonesia adalah peluang yang jarang. Alhamdulillah saya diberikan peluang itu.
Topik yang diminta dari saya adalah Peta & Peluang Bisnes Perbukuan di Malaysia. Para penerbit di Indonesia ingin mengetahui apakah ruang yang ada untuk mengembangkan sayap bisnes perbukuan mereka di Malaysia. Dalam pembentangan tersebut saya mencadangkan beberapa model bisnes yang boleh digarap di antara penerbit di Indonesia dengan Malaysia.
Bisnes model yang saya cadangkan adalah seperti berikut :
a) Menjual secara terus buku mereka ke Malaysia
Bisnes model ini sudah diamalkan sekian lama. Sudah banyak buku Indonesia yang memasuki pasaran Malaysia secara langsung. Namun begitu berdasarkan pengamatan dan penyelidikan saya, model ini ada cacatnya. Buku-buku Indonesia tidak boleh dijual dengan banyak kerana beberapa faktor.
Buku tersebut ditulis dalam bahasa Indonesia, generasi baru Malaysia agak sukar untuk memahami bahasa Indonesia sebagai medium pembacaan. Mungkin ada yang mengatakan mengapa filem Indonesia boleh laris di sini? Ia berbeza, medium visual dengan pembacaan amat berbeza. Membaca perlu pemahaman lebih berbanding menonton.
Buku Indonesia juga berjenama penerbit Indonesia, sukar buku sebegini memasuki kontrak kerajaan. Di bawah arahan baru, buku-buku terbitan sahaja yang layak untuk dipilih untuk memasuki kontrak kerajaan. Ini satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh buku-buku ini.
Satu lagi yang besar adalah pengaliran wang ke luar negara. Pada pandangan saya, sebolehnya kita di Malaysia mahu pengaliran wang dikurangkan ke luar negara bagi membantu ekonomi Malaysia.
b) Pelesenan karya
Kaedah ini adalah satu kaedah yang sudah diamalkan di syarikat saya PTS Millennia Sdn Bhd. Buku-buku terpilih dalam bahasa Indonesia dipilih. Kemudian ia dibawa masuk ke Malaysia dengan melesenkannya. Dalam kaedah ini, yang dilesen adalah hak cipta versi Indonesia. Ia diterjemah bersesuaian dengan kehendak tempatan iaitu dalam bahasa Melayu. Jenama yang digunakan adalah jenama penerbit Malaysia.
Ini menyebabkan buku lebih mudah dibaca dan dibeli. Pengalaman PTS Millennia, kebanyakan buku yang sebegini laris sepertimana ia karya Malaysia. Alhamdulillah ada beberapa judul yang dipilih untuk pembekalan ke Perpustakaan Negara Malaysia. Setiap judul dibeli 1089 naskhah. Itu tidak termasuk jualan secara runcit. Kaedah ini adalah yang terbaik.
c) Kerjasama penerbitan dengan penerbit di Malaysia
Model ini adalah model yang terbaru dan setakat pengetahuan saya tidak ramai yang mengamalkannya. PTS sudah memulakan model ini dengan menubuhkan PTS Litera Utama Sdn Bhd hasil kerjasama dengan penerbit dari Indonesia. Ia adalah syarikat kerjasama perkongsian saham.
Kerjasama sebegini amat besar kesannya. Kedua-dua negara mempunyai sumber luas menghasilkan karya berkualiti. Apabila sesuatu topik dikenalpasti berpotensi, syarikat kerjasama ini boleh membuat perolehan manuskrip di kedua-dua negara. Rakyat Indonesia 240 juta dan Malaysia 28 juta. Syarikat ini mempunyai sumber perolehan sebanyak 268 juta orang. Hebat memang hebat.
Alhamdulillah banyak maklum balas positif dari ceramah yang disampaikan. Sesi soal jawab cukup hebat dengan pelbagai soalan dilontarkan kepada saya. Dari persoalan pengedaran hinggalah pulangan dalam bentuk wang. Ada beberapa penerbit sudah memberikan saya kad nama untuk membolehkan mereka membuat temu janji di masa hadapan. Satu kesan positif.
Saya pulang ke Malaysia pada 30 Oktober 2008 dengan sekotak besar buku-buku penerbit Indonesia yang dititipkan mereka. Di bawah saya kongsikan gambar sepanjang program di sana buat tontonan semua.
Hari ini adalah hari pertama di dalam kalendar hijrah 1429 H. Orang selalunya akan bercakap mengenai azam. Apakah azam kita dalam tahun baru. Itu yang selalu ditanya. Saya pula hendak bertanya, apakah azam Anda di dalam bidang penulisan?
Hari-hari berlalu dengan amat pantas dalam beberapa tahun ini. Adakah kerana masa memang disingkatkan oleh Allah ataupun gerak kerja kita semakin banyak hingga menyebabkan terasa singkat. Memang terasa betul singkatnya masa ini. Tup-tup sudah hari ahad. Esok isnin hari bekerja, tup-tup sudah ahad kembali. Memang cepat. Dahulu baru sahaja kita memasuki tadika, kemudian masuk sekolah rendah, berada di SBP, memasuki Pusat Asasi Sains, kemudian berada di peringkat sarjana muda, bekerja di PTS, berkahwin dan sekarang sudah berada di tahap saya sekarang. Terasa cepat betul masa berlalu. Anak yang kita azankan dahulu sekarang sudah pandai mengira campur tolak di hadapan kita.
Ramai yang bertanya soalan ini kepada saya. Jawapan saya, bila-bila masa. Biar betul!! Betul…! Menulis ini sebenarnya bergantung kepada kehendak dan perasaan masing-masing. Apabila terasa ingin menulis pada waktu pagi, bangun awal dan mula menulis pada waktu tersebut.