Penulisan Adalah Satu Seni, Penerbitan Adalah Bisnes

November 12, 2008 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

DSC_0156.jpgPara pengarang selalu merasakan penulisan adalah satu kesenian. Ia adalah gabungan inspirasi dan pengetahuan yang diterjemahkan ke dalam bentuk bertulis. Apabila begitu ramai yang merasakan ia perlukan bakat semulajadi. Sesiapa yang tidak berbakat tidak mampu merasakan naluri seni itu.

Pada pandangan peribadi saya, saya bersetuju dengan pandangan penulisan sebagai seni itu. Namun begitu saya tidak bersetuju bahawa penulisan itu semata-mata bakat semulajadi. Bakat itu boleh dilatih. Ia bergantung kepada seseorang individu ingin berubah ataupun tidak.

Satu ketika dahulu, kita sendiri tidak tahu apa itu huruf A, B, C hinggalah ke Z. Kemudian kesan daripada itu kita tidak tahu menulis angka-angka tersebut. Namun begitu selepas proses pembelajaran di taman asuhan kanak-kanak ataupun di rumah, kita sudah mengenalinya. Seterusnya kita tahu mengaplikasikannya dalam menulis setiap hari.

Menulis juga begitu. Pada mulanya ramai pengarang yang tidak tahu bagaimanakah menghasilkan karya yang baik. Ramai yang mempunyai mitos-mitos dan falas-falasi pelik-pelik dalam minda masing-masing. Kemudian mereka datang ke bengkel, mengetahui teknik-teknik menulis. Bertanya-tanya dan bertukar-tukar pandangan dengan pengarang lain. Mendengar saranan mentor ataupun sifu penulisan. Kemudian berusaha menghasilkan karya pertama. Itu memang sangat susah.

Kemudian apabila karya pertama sudah keluar, kepuasan diri datang. Terus menulis karya kedua, karya ketiga dan seterusnya. Ini adalah satu keadaan yang boleh kita lihat berlaku kepada pengarang semasa. Asalnya mereka ada ketakutan, apabila sempadan ketakutan itu dipecahkan maka ia terus berlari dengan baik.

Penerbitan pula adalah bisnes. Apabila satu-satu karya sudah siap ditulis, dikirimkan kepada mana-mana penerbit. Persoalan bisnes pula diambil kira. Adakah karya ini boleh dijual ataupun tidak? Bagaimanakah untuk melakukan program pemasaran? Siapakah sasaran pembelinya? Siapakah yang ingin menjualnya? Apakah pakejnya? Kesemua ini diambil kira pula.

Jadi dalam perkara ini, pada pandangan saya. Pengarang seharusnya menggabungkan kedua-dua unsur ini dalam minda mereka. Pengarang seharusnya menjadi pengarang yang mempunyai minda ahli pemasaran. Ia bukan sahaja menulis untuk inspirasi, tetapi untuk pembacanya. Apabila pengarang mempunyai minda begini, dengan sendirinya buku yang ditulis bersesuaian dengan citarasa pembaca.

Gabungan penulisan sebagai satu seni dan penerbitan sebagai satu bisnes menghasilkan inovasi dan kreativiti. Kreatif dalam mengeluarkan idea yang segar dan berinovasi dalam menyediakan pakej bersesuaian.

Pengarang selalunya selepas mengirimkan naskhah kepada para penerbit, yang ditanya adalah bila royalti hendak dibayar. Mentaliti sebegini seharusnya diubah. Saya tertarik dengan satu email yang dikirimkan kepada saya.

Fundamental atau tujuan menulis yang meletakkan wang sebagai force, sesuatu yang amat menakutkan. Ia boleh merosakkan penulis2 yang berbakat. Kita kena tekankan soal sebenar sebab kita menulis…..Sangat bahaya cara saudara meletakkan wang sebagai faktor utama….

Betulkan balik….

Ini adalah mentaliti pengarang berfikir cara lama. Mereka merasakan kepengarangan adalah soal bakat semata-mata. Cara berfikir sebegini perlu diubah. Saya sebagai seorang pengamal penerbitan tahu bagaimana sesebuah karya itu dilayan. Apakah karenah pengarang.

Apabila sesebuah karya itu boleh dijual dengan baik lebih ramai yang dapat membelinya. Lebih ramai orang membeli lebih banyak ilmu dimanfaatkan. InsyaAllah di akhirat kelak ada bahagiannya.

Cuba kita lihat sebaliknya. Karya yang tidak dibeli dan boleh dijual, sedikit orang membelinya. Maka tidak banyak ilmu bermanfaat disebarkan atas muka bumi.

Kita fikirkanlah.

Sesiapa yang berminat untuk menghadiri program pembangunan penulis Akademi Penulis, sila lawatiwww.janawangdenganmenulis.com (KLIK DI SINI)

Mentor Utama Akademi Penulis Berceramah di Rapat Umum IKAPI Cawangan Jakarta 29 Oktober 2008

November 1, 2008 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi, Utama

Pada 28 Oktober 2008 yang lalu saya dijemput oleh Ikatan Penerbit Indonesia IKAPI Cawangan Jakarta bagi menyampaikan ceramah kepada lebih daripada 150 ahli persatuan penerbit terbesar Indonesia itu. Ia bersempena dengan Rapat Umum (Mesyuarat Agong) IKAPI Cawangan Jakarta untuk tahun 2008.

Buat pengetahuan semua, Ikatan Penerbit Indonesia mempunyai seramai 750 ahli terdiri daripada para pengusaha penerbitan buku Indonesia. Dari penerbit yang kecil sehinggalah yang besar seperti Gramedia, Mizan Publishing Group dan Agromedia. IKAPI Cawangan Jakarta mempunyai keahlian seramai 450 penerbit buku dan merupakan cawangan IKAPI terbesar di Indonesia. IKAPI Jakarta adalah cawangan yang menganjurkan 2 pesta buku terbesar iaitu Pesta Buku Islam (bulan Mac setiap tahun) dan Pesta Buku Jakarta (bulan Jun setiap tahun).

Pada hari itu saya berhadapan dengan semua pemilik dan pengusaha syarikat penerbitan Indonesia yang berpusat di Jakarta. Satu ruang yang pada pandangan saya rezeki Tuhan. Sebelum ini ruang yang sebesar ini agak sukar diperoleh oleh mana-mana penerbit dari Malaysia. Bertemu dan berceramah kepada kebanyakan syarikat gergasi penerbitan Indonesia adalah peluang yang jarang. Alhamdulillah saya diberikan peluang itu.

Topik yang diminta dari saya adalah Peta & Peluang Bisnes Perbukuan di Malaysia. Para penerbit di Indonesia ingin mengetahui apakah ruang yang ada untuk mengembangkan sayap bisnes perbukuan mereka di Malaysia. Dalam pembentangan tersebut saya mencadangkan beberapa model bisnes yang boleh digarap di antara penerbit di Indonesia dengan Malaysia.

Bisnes model yang saya cadangkan adalah seperti berikut :

a) Menjual secara terus buku mereka ke Malaysia

Bisnes model ini sudah diamalkan sekian lama. Sudah banyak buku Indonesia yang memasuki pasaran Malaysia secara langsung. Namun begitu berdasarkan pengamatan dan penyelidikan saya, model ini ada cacatnya. Buku-buku Indonesia tidak boleh dijual dengan banyak kerana beberapa faktor.

Buku tersebut ditulis dalam bahasa Indonesia, generasi baru Malaysia agak sukar untuk memahami bahasa Indonesia sebagai medium pembacaan. Mungkin ada yang mengatakan mengapa filem Indonesia boleh laris di sini? Ia berbeza, medium visual dengan pembacaan amat berbeza. Membaca perlu pemahaman lebih berbanding menonton.

Buku Indonesia juga berjenama penerbit Indonesia, sukar buku sebegini memasuki kontrak kerajaan. Di bawah arahan baru, buku-buku terbitan sahaja yang layak untuk dipilih untuk memasuki kontrak kerajaan. Ini satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh buku-buku ini.

Satu lagi yang besar adalah pengaliran wang ke luar negara. Pada pandangan saya, sebolehnya kita di Malaysia mahu pengaliran wang dikurangkan ke luar negara bagi membantu ekonomi Malaysia.

b) Pelesenan karya

Kaedah ini adalah satu kaedah yang sudah diamalkan di syarikat saya PTS Millennia Sdn Bhd. Buku-buku terpilih dalam bahasa Indonesia dipilih. Kemudian ia dibawa masuk ke Malaysia dengan melesenkannya. Dalam kaedah ini, yang dilesen adalah hak cipta versi Indonesia. Ia diterjemah bersesuaian dengan kehendak tempatan iaitu dalam bahasa Melayu. Jenama yang digunakan adalah jenama penerbit Malaysia.

Ini menyebabkan buku lebih mudah dibaca dan dibeli. Pengalaman PTS Millennia, kebanyakan buku yang sebegini laris sepertimana ia karya Malaysia. Alhamdulillah ada beberapa judul yang dipilih untuk pembekalan ke Perpustakaan Negara Malaysia. Setiap judul dibeli 1089 naskhah. Itu tidak termasuk jualan secara runcit. Kaedah ini adalah yang terbaik.

c) Kerjasama penerbitan dengan penerbit di Malaysia

Model ini adalah model yang terbaru dan setakat pengetahuan saya tidak ramai yang mengamalkannya. PTS sudah memulakan model ini dengan menubuhkan PTS Litera Utama Sdn Bhd hasil kerjasama dengan penerbit dari Indonesia. Ia adalah syarikat kerjasama perkongsian saham.

Kerjasama sebegini amat besar kesannya. Kedua-dua negara mempunyai sumber luas menghasilkan karya berkualiti. Apabila sesuatu topik dikenalpasti berpotensi, syarikat kerjasama ini boleh membuat perolehan manuskrip di kedua-dua negara. Rakyat Indonesia 240 juta dan Malaysia 28 juta. Syarikat ini mempunyai sumber perolehan sebanyak 268 juta orang. Hebat memang hebat.

Alhamdulillah banyak maklum balas positif dari ceramah yang disampaikan. Sesi soal jawab cukup hebat dengan pelbagai soalan dilontarkan kepada saya. Dari persoalan pengedaran hinggalah pulangan dalam bentuk wang. Ada beberapa penerbit sudah memberikan saya kad nama untuk membolehkan mereka membuat temu janji di masa hadapan. Satu kesan positif.

Saya pulang ke Malaysia pada 30 Oktober 2008 dengan sekotak besar buku-buku penerbit Indonesia yang dititipkan mereka. Di bawah saya kongsikan gambar sepanjang program di sana buat tontonan semua.

Temu Ramah Eksklusif Bersama Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof

August 22, 2008 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi, Utama

Saudara Ahmad Fadzli Yusof adalah seorang pengarang yang prolifik. Beliau sudah menghasilkan lebih dari 20 buah buku sepanjang 3 tahun. Buku karangan beliau bersama Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah 55 Petua Orang Berjaya dan Kuasa Hijrah, Kuasa Untuk Berubah pernah menduduki carta Top 10 MPH beberapa minggu. Saya berpeluang membuat temuramah eksklusif bersama beliau. Ia adalah untuk projek anjuran Akademi Penulis. Mari ikuti petikan daripada temuramah tersebut.

Bolehkah pihak Saudara ceritakan sejarah penglibatan Saudara dalam dunia penulisan?

Apabila ingin dikatakan penglibatan saya dalam bidang penulisan ini dirancang dari awal, rasanya tidak. Pada masa zaman universiti, saya banyak terlibat dalam beberapa program pembangunan insan yang melibatkan remaja, ibu bapa dan masyarakat setempat. Ini termasuk dengan beberapa program kepimpinan pelajar. Berdasarkan pengalaman tersebut saya ada menulis artikel, rencana, kertas kerja dan terlibat secara langsung dalam editorial majalah di universiti.

Berdasarkan pengalaman itu, beberapa tulisan yang sebelum ini saya simpan di dalam komputer. Beberapa orang rakan mengajak saya menulis. Idea pada ketika itu adalah mengumpulkan kesemua tulisan saya dan rakan-rakan itu serta dibukukan menggunakan beberapa teknik hasil latihan PTS melalui Puan Ainon Mohd. Antara teknik yang diperkenalkan pada ketika itu adalah Teknik KJ Metode. Hasil daripada itu, kami berjaya menghasilkan sebuah buku iaitu buku pertama Mengurus Kerja dan Waktu.

Selepas itu, rasa ghairah mula timbul. Ini disebabkan buku pertama itu memberikan satu kepuasan psikologi, hasil kepuasan menerbitkan buku. Ia memberikan rangsangan untuk terus menulis. Apabila saya menerima buku pertama yang siap tercetak itu, saya terus menyerahkan manuskrip buku kedua iaitu yang bertajuk Mengurus Kerja & Waktu. Ini kerana semasa saya menyerahkan buku pertama saya terus menulis buku yang kedua tanpa menunggunya siap.

Ini semua disebabkan oleh kepuasan. Setiap halaman yang ditulis itu menimbulkan satu kepuasan. Apabila siap satu manuskrip menjadi satu buku itu satu kepuasan. Apabila dihantar kepada penerbit itu satu kepuasan, siap menerima buku tercetak dan melihat orang membeli buku itu juga satu kepuasan. Kesemua ini adalah kepuasan psikologi yang saya peroleh .

Inilah yang mendorong dan merangsang saya terus berkecimpung dalam bidang ini. Ia mewujudkan apa yang dikatakan sebagai self actualization.

Apakah perjuangan inspirasi saudara dalam penulisan?

Inspirasi yang mendorong gagasan dan falsafah untuk berkongsi idea kejayaan. Segala artikel, kertas kerja dan rencana yang saya tulis sebelum ini, apabila disimpan ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada sesiapapun. Namun begitu apabila ia dikumpulkan, digarap dan dituliskan serta kemudian diterbitkan akan memberikan faedah kepada orang ramai.

Falsafah dan gagasan inilah yang menyebabkan saya terus menulis. Saya juga memberikan pandangan kepada ramai pengarang lain terutamanya rakan penulis saya agar membanyakkan lagi bahan-bahan yang baik dan berfaedah untuk masyarakat. Gagasan ini juga membentuk disiplin penyelidikan dalam penulisan selepas itu. Fokus utama adalah menjadikan orang lebih baik. Dalam Islam, ilmu baik yang menjadikan orang lebih baik adalah amalan yang berterusan. Ia umpama satu ekuiti yang membawa kepada ganjaran lebih besar di akhirat kelak.

Yang lebih baik, apabila kita fokus kepada gagasan dan inspirasi itu. Dengan sendirinya ia membakar kita untuk terus menulis. Akhirnya ia memberikan kepuasan psikologi. Kesemua ini salin berkaitan antara satu sama lain.

Apakah gagasan yang dipilih oleh saudara dan bagaimanakah saudara boleh memilih gagasan tersebut?

Dalam bidang penulisan ada banyak bidang yang boleh dipilih. Bidang rujukan,  akademik, bisnes, pembangunan diri, fiksyen. Dalam bidang fiksyen juga adalah luas, ada novel remaja, cerita kanak-kanak dan banyak lagi. Oleh itu saya sendiri memilih bidang pembangunan insan sebagai fokus gagasan saya. Dalam bidang pembangunan insan juga mempunyai banyak pecahannya. Saya memilih perubahan diri, kecekapan dan produktiviti individu. Ia termasuk elemen memperkasakan diri individu, mengurus diri, mengurus kerja dan kepemimpinan.

Apabila kita memilih sesuatu bidang, ia meliputi teori-teori yang dicetuskan oleh para cendekiawan sebelum ini. Kita harus membuat pembacaan yang lebih meluas. Daripada situ, kita dapat membuat kajian mendalam bagi mencetuskan idea memilih gagasan kita. Ia tidak boleh sekadar merenung-renung sahaja, kesemuanya hadir daripada kajian dan pembacaan. Selepas itu kita mula berinteraksi dengan komuniti-komuniti dalam bidang tersebut. Ini menjadikan kita lebih matang dalam bidang tersebut.

Analogi yang boleh kita jadikan contoh seperti memasak. Kita boleh memilih memasak pelbagai jenis masakan. Masakan timur, masakan barat, masakan Perancis, Itali dan tidak ketinggalan masakan Nusantara. Kesemua ini kita perlu ada pengetahuan secara umum. Kemudian apabila memilih, kita membaca secara fokus kepada masakan yang kita pilih. Apakah asas dan falsafah setiap masakan, apakah bezanya antara setiap masakan. Mungkin terlebih tomato, mungkin terlebih rempah dan sebagainya. Apabila kita sudah tahu kesemua itu, kita boleh buat keputusan masakan manakah yang kita ingin dalami dan jadi pakar kepadanya.

Apakah perlu seseorang pengarang itu menulis mengikut latar belakang pendidikannya?

Dalam beberapa keadaan, ada baiknya seseorang itu menulis dalam bidang berkaitan pendidikannya. Namun begitu ia bukanlah perkara yang wajib. Buku yang baik terhasil daripada kredibiliti pengarang. Kredibiliti mungkin hanya salah satu daripada faktor kredibiliti tersebut. Ini tidak seharusnya mengongkong potensi kita dalam penulisan, seharusnya ia menyokong kita. Ada sesetengah individu mempunyai keupayaan kebolehan, pengalaman dan kebolehan dalam sesuatu bidang. Namun begitu disebabkan latar belakang pendidikan berbeza menjadikan mereka ini tidak memilih mendalami kebolehan tersebut.

Kita harus melihat senario ini secara terbuka. Bagi seseorang yang belajar dalam sesuatu bidang di peringkat universiti. Beliau belajar mengenai bidang itu hanya dalam masa singkat. Mungkin empat ke lima tahun sahaja. Ia berbeza pembelajaran intensif semasa di sekolah rendah dan menengah yang lebih lama. Di sana kita belajar lebih banyak perkara berbanding di universiti. Kenapa kita mengongkong diri dan fikiran kita semata-mata disebabkan oleh sekeping ijazah. Ijazah yang berkaitan dengan apa yang kita tulis adalah satu perkara bonus dan memberikan nilai tambah.

Namun begitu apabila kita menulis dalam satu bidang yang mana kita lebih ghairah mengenainya, mengapa pula tidak boleh? Ini berkait rapat dengan apa yang kita sebut sebagai positioning atau penempatan diri kita. Kita harus mempelajari bagaimana untuk menempatkan diri kita, lakukan secara beransur-ansur. Ini berkait rapat dengan penjenamaan diri dan bagaimana kita memasarkan diri kita dalam pasaran.

Adakah sistem pendidikan di negara kita memungkinkan seseorang itu menceburi penulisan?

Apabila kita ingin cuba mengaitkan di antara sistem pendidikan dan menceburi bidang penulisan, ia tidak mempunyai hubungan yang rapat. Namun begitu ada beberapa pihak yang mengatakan bahawa apabila mereka mendapat keputusan rendah dalam beberapa subjek tertentu seperti subjek bahasa Melayu menyebabkan mereka tidak boleh menjadi penulis yang baik. Saya sendiri hanya mendapat keputusan B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Namun begitu ia tidak pernah menjadi label kepada keupayaan saya. Dalam hal ini, yang lebih buruk apabila keputusan dalam penulisan menyebabkan kita merasakan tidak berbakat dalam menulis. Sedangkan secara realitinya, penulisan dalam keadaan semasa penulis tidak mengikut disiplin penulisan seperti mana peperiksaan tersebut.

Kriteria utama dalam penulisan semasa peperiksaan bukanlah menggambarkan kriteria sebenar dunia penulisan. Peperiksaan lebih memfokuskan kepada penggunaan tatabahasa, simpulan bahasa, ketepatan format, penggunaan perbendaharaan kata, penggunaan imbuhan bahasa yang berbelit-belit. Dalam peperiksaan semua ini penting, namun begitu dalam menulis buku popular kesemua ini tidak penting. Kedua-duanya jauh berbeza.

Hendak lagi? Nantikan kehadiran buku Jana Wang Dengan Menulis yang bakal terbit November ini.

Pulangan Menulis Buku Lebih Baik Dari Pulangan ASB

July 5, 2008 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Semalam saya duduk minum petang bersama Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan Puan Ainon Mohd.. Dr. Tengku Asmadi datang ke pejabat PTS di Wangsa Melawati bagi berbincang mengenai program latihan dan juga mengambil royalti tahunan bagi tahun 2007.

Dalam duduk berbincang pelbagai isu masa kini, Dr. Tengku Asmadi menceritakan senario beliau memotivasikan para eksekutif di bawahnya untuk menulis. Beliau berkata kepada salah seorang eksekutifnya.

Read more

Apakah Skrip Hidup Anda Dalam Bidang Penulisan?

February 14, 2008 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Apabila saya bertanya kepada peserta-peserta bengkel penulisan yang saya kendalikan. Mengapakah Anda semua tidak menulis? Ramai yang memberikan seribu satu alasan hampir sama.

Antara alasan yang diberikan “Kami tidak ada pengalaman”, “Kami tidak ada bakat”, Kami tidak tahu bagaimana hendak menulis”, kami tidak itu, kami tidak ini.

Kesemua alasan dan jawapan sebegini sama sahaja sama ada pesertanya di kalangan remaja ataupun dewasa, di kalangan pelajar ataupun pensyarah, di kalangan pendidikan rendah hinggalah bertaraf profesor.

Apakah sebenarnya berlaku di sini? Adakah memang benar perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Jika kita telitikan satu persatu, alasan-alasan sebegini bukan hanya dalam berkisar persoalan penulisan sahaja. Apabila soalan yang sama ditanya mengenai mengapa tidak berniaga? Mengapa tidak menyanyi? Mengapa tidak menyertai amanah saham? Mengapa tidak  itu dan ini. Alasan seakan-akan sama akan dikeluarkan. Benarkah? Cubalah mula bertanya kepada rakan-rakan terdekat.

Saya yakin dan percaya lebih daripada 70% jawapan adalah seperti di atas.

Mengapa begini jadinya? Ini semuanya bermula daripada diri sendiri. Apakah skrip hidup yang kita tulis dalam diri kita mengenai sesuatu perkara. Skrip itu skrip menarikkah, berjayakah ataupun gagalkah? Kesemuanya diterjemahkan kepada cara kita berfikir dan bertindak. Bagaimana hendak mengenali dan keluar daripada situasi sebegini? Kita akan bincangkan dalam artikel mendatang.

Apakah Azam Kita Dalam Bidang Penulisan?

January 10, 2008 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Hari ini adalah hari pertama di dalam kalendar hijrah 1429 H. Orang selalunya akan bercakap mengenai azam. Apakah azam kita dalam tahun baru. Itu yang selalu ditanya. Saya pula hendak bertanya, apakah azam Anda di dalam bidang penulisan?

Apakah buku yang Anda ingin tulis pada tahun ini? Apakah tajuknya? Berapakah buku dalam siri tersebut? Berapakah buku yang bakal ditulis dalam tahun ini?

Pada pandangan saya, sebagai seorang pengarang kita perlu ada sasaran tersendiri dalam bidang penulisan. Berapakah buku yang bakal diterbitkan dalam masa 10 tahun. Daripada itu kita boleh turunkan kepada tahun, bulan dan hari. Sasaran itu sebolehnya abadi dan realistik. Jika tidak kita akan berasa lelah apabila sasaran itu sesuatu yang sukar dicapai. Begitu juga apabila ia tidak abadi.

Read more

Kita Akan Berusaha Menjadi Yang Terbaik Apabila Kita Percaya Kepada Mati

November 7, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Hari-hari berlalu dengan amat pantas dalam beberapa tahun ini. Adakah kerana masa memang disingkatkan oleh Allah ataupun gerak kerja kita semakin banyak hingga menyebabkan terasa singkat. Memang terasa betul singkatnya masa ini. Tup-tup sudah hari ahad. Esok isnin hari bekerja, tup-tup sudah ahad kembali. Memang cepat. Dahulu baru sahaja kita memasuki tadika, kemudian masuk sekolah rendah, berada di SBP, memasuki Pusat Asasi Sains, kemudian berada di peringkat sarjana muda, bekerja di PTS, berkahwin dan sekarang sudah berada di tahap saya sekarang. Terasa cepat betul masa berlalu. Anak yang kita azankan dahulu sekarang sudah pandai mengira campur tolak di hadapan kita.

Masa manusia yang 24 jam dikurniakan Tuhan terasa singkat. Jika diberikan pilihan tentu ada yang mahu ia diperpanjangkan kepada lebih daripada 24 jam. Saya ada membaca satu buku bertajuk “Psikologi Kematian” terbitan rakan penerbit Indonesia, Penerbit Hikmah. Antara topik utamanya adalah bagaimana hendak menukarkan konsep mengingat mati kepada kejayaan dalam hidup.

Read more

Bilakah Masa Sesuai Menulis?

April 18, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Ramai yang bertanya soalan ini kepada saya. Jawapan saya, bila-bila masa. Biar betul!! Betul…! Menulis ini sebenarnya bergantung kepada kehendak dan perasaan masing-masing. Apabila terasa ingin menulis pada waktu pagi, bangun awal dan mula menulis pada waktu tersebut.

Apabila terasa ingin menulis pada waktu malam, tidurkan anak-anak lebih awal dan mula menulis. Kesemuanya berdasarkan perasaan masing-masing. Bagi saya, waktu yang paling kondusif adalah pada awal pagi. Sebaik sahaja solat sunat tahajjud, mulakan penulisan hingga masuk waktu subuh. Kemudian selepas berwirid dan membaca Quran, sambung sedikit lagi dan berhenti. Bersiap sedia untuk ke pejabat.

Bilakah masa yang anda rasa sesuai untuk diri anda? Itulah masa terbaik menulis buat diri anda.

Penulis Tidak Mungkin Dapat Memuaskan Hati Semua Pihak

March 30, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Dalam beberapa pertemuan saya dengan para penulis seluruh negara, pelbagai perkara mengenai dunia penulisan buku dibincangkan. Daripada isu hak cipta hinggalah kepada persoalan penulisan.

Saya tertarik dengan cerita seorang penulis yang menyatakan penulisannya sering dikritik oleh para pembaca. Kritikan melalui email, telefon, laporan penerbit dan sebagainya. Kadangkala kritikan itu ada yang melampau hinggakan memohon agar penulisannya ditarik balik.

Wah! Saya terfikir apakah jenis penulisan yang beliau tulis hingga jadi begitu. Apabila ditanya barulah saya tahu bahawa dia ini seorang penulis buku politik. Saya bukannya ingin mengulas cerita ini. Apa yang perlu dilihat adalah penulis harus bersedia dikritik.

Tulisan kita ada yang mungkin bersetuju dan ada yang tidak. Walaupun kita menulis perkara yang baik mengenai Islam, perbandingan agama ataupun sebagainya. Ilmu dunia ini luas, jadi semua orang melihat sesuatu ilmu itu daripada perspektif mereka. Ada masanya ia selari dengan penulisan kita dan ada kalanya tidak.

Penulis harus bersedia untuk dikritik! Pepatah Tamil mengatakan :

 

Hanya buah yang manis sahaja dibaling monyet

Dalam kes ini, hanya karya yang baik dikritik orang.

P/S: Teringat kritikan pedas Fauziah Ahmad Daud (Kak Ogy) semasa pertemuan saya dengan beliau tidak berapa lama dahulu. Kak Ogy menyatakan kekecewaannya kepada orang agama yang tidak berhikmah dalam menyampaikan dakwah Islam. Lebih kurang sama caranya ketika dia mengkritik pelajar Akademi Fantasia 5 tempoh hari :D

Jangan Mudah Putus Asa

March 28, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Saya mendapat beberapa email yang menceritakan pengalaman dengan beberapa penerbit. Ada yang dikecewakan, ada yang ditipu, ada yang dipaksa jual dan banyak lagi. Peristiwa dan pengalaman sebegini sememangnya adat resam dunia penerbitan. Setiap penulis perlu bersiap sedia dan cekal menghadapi keadaan sebegini.

Namun begitu jangan mudah putus asa. Senario sebegini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi di luar negara juga. Kita ambil contoh terdekat buku karangan J.K Rowling, Harry Porter. Beliau menjaja karyanya tersebut kepada beberapa penerbit, namun begitu tidak diterima. Hinggalah penerbitnya sekarang menerima manuskripnya dan bersetuju menerbitkannya. Akhirnya Harry Porter meletup-letup di pasaran seluruh dunia.

Karya Ayat-ayat Cinta karangan Habibur Rahman El-Shirazy juga menghadapi keadaan yang sama. Beliau menghantarkannya kepada penerbit lain terlebih dahulu sebelum bertemu penerbit Republika. Ditolak, kemudian dibawa ke Republika, terbit dan berjaya menjadi karya fenomena di Indonesia sekarang. Tepuk dahi penerbit lain.

Lain penerbit lain pandangannya. Mungkin di sini mengatakan tidak boleh, namun begitu di sana belum tentu lagi. Jadi tidak perlu putus asa. Terus mencari. Jika perlu khidmat nasihat, InsyaAllah akademi boleh membantu. Emailkan sahaja kepada jurulatih@akademipenulis.com.

Next Page »