PBAKL 2008 Yang Penuh Kejutan!!

April 14, 2008

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (PBAKL) sudah melabuhkan tirainya, catatan luar biasa lebih 1.5 juta tercapai dalam masa 10 hari berlangsungnya PBAKL. Satu catatan yang menyanggah pelbagai mitos dan pandangan umum terhadap dunia buku Malaysia.

Pada tahun lepas PBAKL 2007 mencatat 1.02 juta pengunjung. Ini sudah memberikan seribu satu cabaran kepada JK penganjur PBAKL 2008. JK Publisiti & Promosi PBAKL diberikan cabaran bagi menjemput sekurang-kurangnya 1.5 juta pengunjung pada tahun ini. Saya sebagai S/U JK Publisiti & Promosi sentiasa berdebar-debar bagi menghadapi hari-hari di PBAKL. Ada beberapa cabaran, pertamanya catatan rekod tahun lepas. Keduanya sepanjang 10 hari berlangsungnya PBAKL 2008 iaitu daripada 4 hingga 13 April 2008 tidak ada sebarang tarikh pertembungan cuti umum atau cuti sekolah. Tidak seperti tahun lepas, PBAKL 2007 bertembung dengan hari buruh dan maulid rasul.

Read more

Jakarta Bumi Mewah Ilmu

March 5, 2008

Ahli RombonganIslamic Book Fair Jakarta tidak pernah tidak, mengagumkan minda ilmu saya. Mengapa? terhampar satu pemandangan indah dunia ilmu yang menyebabkan minda pemikir segar dengan ruang pandang baru ilmu. Setiap tahun saya tidak pernah terlepas mengikuti jelajah ilmu di Islamic Book Fair Jakarta. Peluang memandang, menelaah, meredah lautan ilmu para karyawan yang penuh konsep dan makna.

Pada kali ini saya pergi bersama rombongan yang besar. Tidak seperti sebelum ini jika pergi hanya berempat ataupun berlima sahaja. Namun begitu kali ini seramai 14 orang turut serta bagi bersama menelusuri kerancakan pengembangan ilmu di sini. Antara yang turut serta adalah Puan Ainon Mohd. Pengerusi Kumpulan PTS, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hasan Penasihat Akademi PTS, En. Khair Ngadiron CEO Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, En. Razin Pegawai Kewangan ITNMB, En. Khalek Peguam ITNMB, En. Abdul Halim Pengarah Majlis Buku Kebangsaan MalaysiaEn. Arief Hakim Presiden Kumpulan PTS, En. Ishak Hamzah Pengarah Urusan E-Media Publication Sdn Bhd, En. Halim Pekan Pengarah Urusan Pekan Ilmu Sdn Bhd, Profesor Dr. Rahman Shaari Profesor di Universiti Malaya dan beberapa staff PTS.

Boleh dikatakan semuanya orang-orang besar dunia penerbitan buku. Saya pun tidak tahu bagaimana rombongan jadi seramai ini, ia bermula dengan penyataan hasrat untuk ke sana kepada beberapa rakan penerbit. Saya seperti selalu ke Jakarta untuk berurusan dengan penerbit-penerbit buku di sana, berbincang soal pelesenan hak cipta, pertemuan dua hala dan sebagainya. Selalunya saya membawa beberapa orang staff Kumpulan PTS terpilih bagi menyertai saya sambil membuka minda mereka mengenai dunia buku Indonesia. Tup! tup! seorang demi seorang menyatakan untuk turut serta hingga akhirnya menjadi ramai. Walaubagaimanapun kemeriahan cukup terasa dan bagi saya ini adalah perjalanan ke Jakarta yang paling menyeronokkan.

Kemewahan dunia ilmu di Jakarta pastinya mengagumkan individu pemikir yang melihat. Buku-buku penuh konsep mewarnai dunia ilmu yang menjana minda masyarakatnya. Daripada persoalan remeh temeh hinggalah terdalam menjadi bumbu menarik buku-buku mereka. Garapan segar dengan pakej persembahan praktikal menjadi santapan menyelerakan sesiapa membaca.

Saya amat sarankan sesiapa yang ingin terjun dan sudah terjun ke dunia penulisan hadir ke sana bagi membuka minda. Seribu satu idea dan konsep baru boleh diperoleh. Sepertimana kata salah seorang staff saya yang turut hadir

Abang Fauzul (Panggilan semua staff PTS kepada saya), buku begini pun mereka boleh buat ya? Hebat, kita tidak pernah terfikir hendak membuat buku sebegini.

Di bawah ini saya kongsikan sedikit tulisan rakan baik penerbit saya di Indonesia yang juga pengarang beberapa buku bestseller di sana, Bambang Trimansyah. Bambang Trimansyah adalah pengarah urusan untuk Penerbit Salamadani dan Penerbit MQS, juga konsultan buat Cicero Publishing. Tulisan ini saya peroleh daripada mailing list saya. (Pohon ijin ya pak)

Catatan Pak Bambang di Islamic Book Fair Jakarta 2008 

Berkeliling Sabtu-Ahad di arena IBF, sungguh memberi impresi tersendiri. Silaturahmi dengan teman-teman pekerja perbukuan, silaturahmi dengan sesama penulis dan editor, dan yang dahsyat silaturahmi dengan gagasan-gagasan baru luar biasa penerbit buku Islam.

Buku Islam tidak terpengaruh dengan Permendiknas–yang membuat ketar-ketir penerbit buku pelajaran. Buku Islam tidak terlalu khawatir dengan pendeknya jalur distribusi dan terbatasnya space toko buku. Bahkan, terkadang negatifnya buku Islam tidak peduli dengan hak cipta, tidak peduli dengan editing, dan tidak peduli dengan kemasan. Namun, kondisi negatif dalam satu tahun terakhir ini berangsur-angsur membaik.

Ini seperti sebuah berkah lain untuk negeri bernama Indonesia. Serombongan teman-teman dari Malaysia yang dimotori sahabat saya, Fauzul Na’im (dari PTS) datang, bahkan turut serta juga Ibu Ainoon, seorang penulis selebriti self-improvement di Malaysia. Mereka tertarik oleh magnet buku Islam Indonesia yang konon luar biasa hebat perkembangannya. Mimpi mereka bisa membawa pulang right karya-karya hebat anak bangsa, sembari buku-buku mereka pun bisa berterima di publik pembaca Indonesia.

Di sudut kecil Kenanga 6, berbarengan dengan stand gabungan IKAPI, sebuah penerbit baru menarik perhatian. Cicero Publishing tampil perdana dengan satu Quran (desainnya fungky sekali)dengan diferensiasi highlight ayat-ayat doa. Kemudian, ada empat buku lagi dengan desain mengikat mata dan judul-judul yang mengundang rasa ingin tahu.

Di beberapa tempat tampak penerbit yang tahun lalu belum ada dalam jagat perbukuan Indonesia, tampil tiba-tiba dengan sejumlah judul yang powerful. Di depan dan bagian dalam istora, masih ditempati penerbit-penerbit papan atas ataupun rising star dengan semangat yang tidak kalah dari penerbit-penerbit baru. Ada Mizan, Pena, Republika, GIP, dan banyak lagi.

Di beberapa titik ada penerbit-penerbit spesialis buku murah yang entah kapan masih bertahan dengan buku-buku mereka, seperti Irsyad Baitus Salam dan Jabal. Mereka obral buku dengan bandrol yang sanga masuk harga psikologis pembaca Indonesia: 10.000 dan 20.000. Lalu, apa buku yang menjadi bintang di IBF tahun ini?

Bintang buku-buku Islam masih merata jika tidak ingin menyebutkan “Ayat-Ayat Cinta” masih digjaya. Buku-buku tentang keajaiban segala shalat masih laku. Buku-buku yang mengharu biru hati wanita seperti Khadijah dan Aisyah juga tetap menjadi primadona. Buku-buku anak Islam juga bergerak cepat. Buku-buku karya ulama, ustad, dan kiai masih juga dicari. Dan tentu Quran adalah buku yang abadi dicari dan diminati yang sekarang tampil dengan segala diferensiasi, termasuk tajwid berwarna.

Saya duduk di coffee shop berbincang sekitar 30 menit dengan Hendra Setiawan, pemilik Jabal. Setelah itu, bergegas ke Ruang Anggrek untuk acara bedah buku. Lantai atas yang dulu agak lengang, kini juga dipadati booth dan pengunjung. Lepas bedah buku “Magnet Muhammad saw” bersama dr. Tauhid Nur Azhar, saya pun bergegas menuju stan MQS. Buku-buku Aa Gym masih juga diminati meskipun masih tampak seorang ibu dengan raut tanpa ekspresi ketika suaminya minta persetujuan membeli buku Aa (he-he-he). Di depan stan Cicero saya bertemu Mas Chris dari DR dan berbincang sebentar tentang fenomena buku akhir-akhir ini. Selepas itu, bergegas makan siang ditemani Arul Khan, seorang penulis pesohor juga dan terhenti sebentar ketika seorang penulis bernama Pak Miswan meminta saya menunggu untuk sekadar menghadiahkan buku karyanya kepada saya. Wah, sungguh dunia yang dinamis dan menyenangkan.

Terbayang pada tahun 1997-2000 dulu ketika saya masih setia ikut menjaga booth di setiap pameran buku dari pukul 7 hingga 10 malam setiap hari. Dari sinilah saya merasa mengikuti gelombang dahsyat perbukuan nasional, menyimak langkah penerbit dari masa ke masa, dan bersilaturahmi dengan banyak orang yang membawa antusias.

Semoga gambaran cerah ini adalah refleksi masa depan bangsa kita yang makin kokoh dengan antusiasme untuk iqra — menghimpun ilmu dari manapun. Terima kasih.

Pesta Buku Indonesia 2007, Penerbitan Penuh Konsep

November 19, 2007

selepas 4 hari 3 malam di Jakarta, petang semalam lebih kurang jam 5.50 petang kami tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) KLIA, Sepang. Lawatan kerja kali ini boleh dikatakan sebagai berjaya kerana banyak persefahaman dan perbincangan tertangguh dapat diselesaikan. Pertemuan dengan para penerbit di sana membuka mata dan minda.

Dalam lawatan kerja ini juga pihak kami bertemu dengan tambahan beberapa lagi penerbit yang sebelum ini belum pernah bertemu dan berbincang. Para penerbit baru yang kami temui antaranya adalah PT Syaamil dan PT Salamadani. Kedua-dua penerbit ini antara penerbit yang mula diperkatakan oleh industri buku Indonesia. Tambahan pula PT Salamadani diterajui oleh orang ‘kuat’ industri buku, Bapak Bambang Trimanshah yang pernah mengendalikan penerbitan MQS Indonesia. Pertemuan bersama mereka membuka ruang baru kerjasama di antara PTS dengan penerbit Indonesia.

Sebelum ini pihak PTS sudah bekerjasama dengan beberapa penerbit Indonesia iaitu :

  1. Mizan Group (Penerbit no. 2 terbesar di Indonesia) 
  2. Gramedia (Penerbit terbesar Indonesia)
  3. Penerbit Mutiara Qolbun Salim (MQS)
  4. Penerbit Republika
  5. Penerbit Pena Pundi Aksara 

Jadi pertemuan ini memberikan ruangan baru kerjasama dengan penerbit Indonesia.

Dalam lawatan kali ini saya melihat industri buku di Indonesia adalah dunia buku berkonsep. Pada masa dahulu para pembaca buku Indonesia memilih buku berdasarkan pengarang. Buku-buku pengarang besar menjadi pilihan utama pembacaan mereka. Ini menyebabkan para penerbit Indonesia berusaha melesen banyak karya tulisan penulis besar dunia. Nama-nama seperti Anthony Robbins, John Gray dan ramai lagi menjadi resepi utama penjualan buku mereka.

Namun begitu sekarang tidak lagi. Pembaca buku sudah mula memilih judul dan konsep. Buku yang berkonsep jelas dan memenuhi citarasa mereka itulah pilihan utama. Disebabkan itu para penerbit Indonesia mula melihat ruang-ruang kerjasama baru dengan negara jiran seperti Malaysia. Mereka tidak perlu lagi mencari pengarang besar dari negara eropah, cukup mencari karya yang baik daripada negara terdekat.

Perkara ini dapat dilihat jelas apabila pihak PTS menawarkan karya-karya terbitan kami kepada mereka. Karya-karya yang konsepnya menarik dan penyampaiannya membumi menjadi pilihan mereka. Karya-karya yang biasa-biasa tidak dipegang dan dipandang pun.

Pada pandangan saya ini adalah peluang dan cabaran buat para pengarang Malaysia.

Peluang kerana ia memberikan ruang kepada karya Malaysia yang berkualiti memasuki pasaran lebih besar. Rakyat Indonesia dianggarkan 270 juta. Di Jakarta sahaja jumlah penduduknya 24 juta. Ruangan cukup besar buat penulis Malaysia.

Cabaran buat para penulis Malaysia menghasilkan karya yang lebih baik dan berkualiti. Konsep jelas, penyampaian mesra pengguna, praktikal dan universal. Hanya karya yang sebegini membuka ruang lebih global buat para penulis.

Jurulatih Ke Pesta Buku Indonesia Daripada 15 hingga 17 November 2007

November 13, 2007

Saya akan berada di Jakarta bagi mengadakan lawatan kerja selama 3 hari dua malam. Lawatan ke Pesta Buku Indonesia ini adalah bertujuan melihat perkembangan terbaru dunia penerbitan Indonesia di samping melihat ruang kerjasama di antara penerbit Indonesia Malaysia.

Hari Ke 2 Jakarta Jalan Buku Minum Buku Mandi Buku

September 17, 2007

Tentu yang tertanya mengapakah ayat di atas saya gunakan? Memang itulah realitinya di sana. Daripada saat pertama saya jejakkan kaki ke Jakarta hinggalah ke tiba semula ke LCCT KLIA itulah perbincangan hangat saya dengan Ustaz Zawawi. Buku, buku, buku.

Semalam (10 September 2007) selepas jam 7 malam, saya memohon pulang ke hotel disebabkan saya ada tetamu dari PTS Pena Pundi Aksara yang berminat hendak bertemu dengan saya di sana. Ustaz Zawawi masih bersemangat bagi mencari buku, jadi saya tinggalkan dia dengan mengheret semua buku yang dia sudah beli ke hotel. Banyak juga, saya ingat nilainya ribuan ringgit jugalah. Tak mengapa, saya akan menjadi teman setia untuk sama-sama mengenyangkan minda dia mencari buku.

Selepas mandi dan bersolat Jamak Maghrib dan Isyak, Bapak Muchoroni dan rakan-rakan dari PT Pena berkunjung ke hotel. Mereka bertiga bersama dengan Bapak Guntur (bunyi macam guruh pula) dan Bapak Muhammad. Kesemuanya muda-muda. Saya angkat tabik dengan industri buku Indonesia menghasilkan para pengusaha muda dalam industri. Berbanding dengan Malaysia, kebanyakannya pengusaha berumur 40 tahun ke atas.

Teringat satu masa saya pernah menghadiri satu pertemuan para penerbit Malaysia di Bukit Tinggi Resorts. Kesemua Pengarah Urusan dan Pengurus yang hadir di sana boleh kira orang lama. Pada masa itu saya yang paling muda berumur 27 tahun bersama dengan En. Arief. Kira kami ini generasi baru penerbit buku Malaysia. Pada ketika itu saya tidur sebilik dengan seorang pengarah eksekutif syarikat percetakan di sebelah selatan. Malam harinya ramai yang berkumpul di bilik saya untuk bertanya bagaimana PTS boleh berkembang dengan tenaga muda yang ramai. Kita tinggalkan dahulu cerita ini.

Dalam perbincangan dengan PT Pena, PTS berminat hendak melesen dua karya terbaru mereka. Apakah tajuknya? Tungguu….. Alhamdulillah banyak perkara dipersetujui dan saya diajak ke pejabat mereka keesokan harinya bagi perbincangan lanjut bersama dengan Bapak Mahfuddin, Pengarah Kewangan PT Pena bagi mengemaskini dua tiga perkara lagi. Alhamdulillah misi berjaya.

Malam itu saya bersama Ustaz Zawawi pergi menikmati nasi padang di gerai berdekatan dengan hotel tempat kami menginap.

11 September 2007 (Hari Kedua)

Pagi-pagi lagi selepas solat Subuh berjemaah, saya dan Ustaz Zawawi bersiap bagi daftar keluar hotel. Pihak PT Pena sudah memaklumkan bahawa mereka akan mengambil kami di hotel tepat jam 8 pagi (Waktu Indonesia Barat). Seronok tinggal sebilik dengan ulama. Banyak perkara dikongsikan bersama, ilmu-ilmu yang terkini dibincangkan. Saya kagum dengan perawakan sahabat saya ini, memang ringkas dan mudah berbincang. Pandangannya cukup kontemporari. Tak ramai orang agama yang saya temui mempunyai visi dan cara berfikir seperti beliau. Itulah sebabnya apabila saya memperkenalkan beliau kepada rakan-rakan di Indonesia saya katakan Ustaz Zawawi ini adalah AaGym Indonesia. Cuma beliau belum berkahwin dua seperti AaGym :).

Tepat jam 8.15, Bapak Guntur dari PT Pena sampai ke hotel. Kami ke PT Pena dengan menaiki teksi. Yang menariknya teksi yang kami naik adalah Proton Wira :). Kami disambut oleh Bapak Muchoroni dan rakan-rakannya di PT Pena. PT Pena berdiri di sebuah rumah banglo di kawasan Jakarta Timur. Kawasan Cempaka Sari. Teringat ketika PTS masih beribu pejabat di rumah Puan Ainon di Janda Baik.Banyak perkara dipersetujui antara kedua pihak dan akan diputuskan di peringkat pengurusan selepas pulang ke Malaysia.

Dari kiri : Muhammad, Bapak Muchoroni (Pengarah Pemasaran), En. Fauzul, Ustaz Zawawi dan Bapak Mahfudin (Pengarah Kewangan).

Perjalanan diteruskan….. (bersambung)

Pesta Buku Jakarta 2007 : Alhamdulillah Misi Jakarta Berjaya

June 8, 2007

Alhamdulillah saya dan ahli rombogan selamat tiba dari Jakarta tepat jam 7.20 semalam. Ini selepas penerbangan kami ditunda dan ditarik beberapa kali. Sepatutnya penerbangan kami dari Jakarta pada jam 6.00 petang. Namun begitu saya mendapat makluman daripada pihak Air Asia mengatakan ia diawalkan kepada jam 3 petang. Ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan kami. Hendak buat bagaimana penerbangan orang punya. Kemudian selepas tiba di Bandara Soekarno Hatta, daftar masuk, makan dan terus ke ruang berlepas. Pihak kami dimaklumkan pula penerbangan ditunda 60 minit. Letih, memang letih.

Perancangan awal di hari ketiga pihak kami ingin melawat ke Mizan Publishing House dan pergi membeli belah di Tanah Abang. Selepas perbincangan, lawatan ke Mizan dibatalkan kerana memandangkan En. Arief akan ke sana hari ini. Jadi pihak kami hanya ke Tanah Abang, kompleks membeli belah paling popular di Jakarta. Banyak juga ole-ole yang dibeli oleh ahli rombongan. Ini peluang melepaskan stress selepas seharian memenuhi temujanji pada hari kedua (Nanti saya masukkan laporan hari kedua).

Saudara Ahmad Fadzli Yusof membeli belah sakan. Berat juga beg untuk dibawa balik. Ahli rombongan lain juga begitu. Peluang sebegini tidak dilepaskan peluang. Saya hanya membeli untuk setiap ahli keluarga di rumah. Untuk diri sendiri hanya beg sandang untuk mengisi pakaian yang perlu dikeluarkan daripada beg dibawa dari Kuala Lumpur.

Mengapa? Beg tersebut penuh dengan buku yang dihadiahkan oleh para penerbit dari Indonesia. Kesemua buku tersebut diberi bagi tujuan penilaian untuk terjemahan Malaysia. Berat juga beg tersebut, 34.5 Kg hingga pihak kami dicaj Rp. 480,000 bagi denda terlebih muatan.

Anak jurulatih, Isyraf Idraki membaca buku yang dibawa balik dari Jakarta 

Banyak juga persefahaman kerjasama berjaya dijalin di sana. MISI JAKARTA BERJAYA!!

Pesta Buku Jakarta 2007 : Laporan Hari Pertama

June 6, 2007

Saya bertolak daripada rumah tepat jam 6 pagi. Bertolak bersama dengan ibu, ayah dan anak-anak yang ingin menghantarkan saya ke LCCT. (Ibu dan ayah saya tinggal bersama saya di Bentong). Perjalanan ke LCCT mengambil masa lebih kurang 2 jam. Sebelum ke LCCT kami berhenti bersarapan di Stesen Rehat dan Rawat Nilai. Alhamdulillah tepat jam 8 saya sampai ke LCCT. Pengalaman silam tertinggal kapal terbang masih terlekat di kepada saya. (Boleh baca catatan perjalanan Islamic Book Fair 2007)

Gambaran dalam kapal terbang (keluar/exit sahaja?)

Ahli rombongan saya masih belum tiba. Saya terpaksa menunggu beberapa ketika hingga ahli rombongan saya tiba sepenuhnya bagi tujuan daftar masuk. Alhamdulillah jam 9.50 pagi pihak kami berlepas daripada LCCT ke Bandara Soekarno Hatta, Jakarta.

Tiba di Bandara Soekarno Hatta

Pihak kami tiba di Bandara Soekarno Hatta jam 11.50 pagi. Selepas daftar keluar dan mencari kereta sewa, pihak kami mendapatkan khidmat seorang ’sopir’ Kijang Innova (Kijang itu nama lain bagi Toyota) dengan bayaran Rp. 200,000. Agak kecoh juga apabila ada sopir-sopir lain berebut ingin kami mengambil lebih daripada 1 kereta sebab alasannya kami bertujuh. Tidak cukup hanya satu kereta. Saya berkeras juga bahawa kami ingin mengambil satu kereta hingga ke akhirnya mereka terpaksa akur.

Harganya, kami kehilangan satu kotak yang berisi katalog dan beberapa buah buku yang ingin diberikan kepada rakan kerjasama kami. Ini berlaku sebab kekalutan yang berlaku menyebabkan kami ingin bergegas pergi dengan sangkaan bahawa semua barang sudah cukup di dalam kereta.

Makan Nasi Padang

Kami daftar masuk ke hotel dalam jam 12.45 petang. Berpecah dua, satu rombongan di Hotel IBIS Tamarin dan separuh lagi di IBIS Arcadia. Namun begitu jarak keduanya berdekatan. Perut sudah lapar, mengajak semua ahli rombongan di Restoran Nasi Padang Garuda yang berdekatan dengan hotel kami di Jalan Wahid Hasyim. Makan sepuas hati. Ini sedikit gambar untuk perkongsian. Jangan meleleh air liur sudah lah.

Makanan padang yang sedang dihidang.

 

Mereka isi hingga penuh meja

Ke Pesta Buku Jakarta

Selepas semua kekenyangan, pihak kami terus ke Stadium Bulu Tangkis, Istora Senayan. Setiap tahun Pesta Buku Jakarta (Jun) dan Pesta Buku Islam Jakarta (Mac) dianjurkan di sini. Manakala Indonesian Book Fair (November) dianjurkan di Jakarta Convention Centre. Ketiga-tiga pesta buku ini adalah acara tahunan yang mendapat perhatian pihak PTS setiap tahun. Tempat mendapat idea dan kerjasama baru.

Gerai Kumpulan AgroMedia

 

Kaunter bayaran Mizan Publishing House

 

Gerai Kumpulan Gramedia

 

Gerai Penerbit Republika

 

Jurulatih di papan iklan karya Mizan. Buku yang dipamerkan adalah buku PTS terjemahan Indonesia. 

Pihak kami sampai di Istora Senayan jam 2.45 petang. Temujanji pertama bermula jam 3.30 petang bersama dengan Penerbitan Republika. Penerbit Republika adalah sebuah syarikat penerbitan yang menerbitkan akhbar harian Republika. Mereka mula memasuki dunia penerbitan buku sejak 5 tahun lepas. Karya mereka yang menjadi fenomena di Indonesia dan Malaysia iaitu Ayat-ayat Cinta karangan Ustaz Habiburrahman El-Shirazy.

Alhamdulillah saya sudah mempunyai hubungan baik dengan pengurus mereka Bapak Awod Said. Pertemuan pertama saya dengan beliau adalah semasa Islamic Book Fair 2007 bulan Mac lepas. Pada hari ini pihak kami bertemu dengan beliau dan Bapak Tommy, CEO Republika. Beberapa persetujuan kerjasama berjaya dilakukan pada hari ini. Alhamdulillah. Mereka amat berminat mengadakan kerjasama berpanjangan daripada sudut penerbitan semula karya mereka dalam bahasa Malaysia begitu juga penerbitan semula karya PTS dalam bahasa Indonesia.

Dari kiri : Tuan Haji Rashid Azad Khan (CEO Kumpulan PTS), En. Fauzul (Jurulatih Akademi Penulis Karya Bestseller), Norashikin (Editor PTS Fortuna), Bapak Awod Said (Pengurus Republika), Bapak Tommy (CEO Republika)

Ini menjadikan PTS sudah menjalin hubungan kerjasama penerbitan dengan 3 penerbit dari Indonesia. Sebelum ini penerbit Indonesia yang sudah ada jalinan kerjasama penerbitan adalah Mizan Publishing Group dan MQS Publishing.

Pulang, Kenyang dan Keletihan

Pihak kami tiba ke hotel selepas keletihan berjalan di Pesta Buku Jakarta jam 7 malam. Selepas berehat, mandi dan solat. Kami semua bersama-sama ke Warong Satay Jalan Wahid Hasyim, menjamu selera makan malam di sana. Tentu orang bertanya adakah sama satay Malaysia dengan Indonesia? Jawapannya tidak. Hendak tahu bagaimana rasanya? Perlu datang ke sini :D

Muka-muka rombongan PTS di gerai satay Wahid Hasyim

 

Inilah gambaran satay Indonesia. Terliur? :D

Selepas makan malam, pihak kami ke pasaraya berdekatan untuk membeli sedikit bekalan untuk waktu lapar tengah malam. Kami tiba ke hotel tepat jam 10.30 malam. Semua keletihan, berehat untuk hari kedua yang lebih mencabar.

PS: Alhamdulillah di hotel terdapat sambungan internet dengan bayaran Rp. 120,000 24 jam. InsyaAllah banyak lagi yang akan dikongsikan di sini. Untuk melihat gambar-gambar terbaru boleh ke Galeri Akademi Penulis Karya Bestseller

CATATAN PERJALANAN 5 MAC 2007 : Hikmah Melihat Tempat Orang, Hargai Tempat Sendiri

March 20, 2007

Sambungan catatan perjalanan. Ketika catatan ini dibuat saya berada di bilik hotel jam 1.40 pagi WIB (Waktu Indonesia Barat). Mata tidak mahu tertutup, mungkin sebab keletihan seharian dalam perjalanan ataupun sebab bertukar tempat tidur. Teman sebilik, Wan Zuhairi sudah lama terlena. Dia tidak berapa sedap badan katanya. Mungkin rindu isteri maklumlah pengantin baru. :D
Kami mendarat di Bandara Sukarnoe Hatta jam 5. 20 petang (WIB) tadi. Selepas berlegar beberapa lama di ruang udara disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Alhamdulillah selepas 20 minit di udara kami mendapat kebenaran mendarat. Bandara ataupun nama penuh Bandar Udara Soekarnoe Hatta adalah sebuah lapangan terbang yang sederhana besar jika dibandingkan dengan KLIA. Masih menggunakan sistem lama dan manual. Agak ketinggalan berbanding dengan sistem canggih di KLIA.

Sebaik keluar daripada ruangan ketibaan, kami terus mencari teksi yang dapat membawa kami terus ke hotel sebelum memenuhi temujanji malam ini. Alhamdulillah dengan Rp. 250,000 ada Kijang (kalau di sini Kijang adalah nama lain bagi jenama Toyota di Malaysia) yang sudi membawa kami ke sana. Namun begitu harapan untuk mengejar temujanji perlu dilupakan kerana keadaan sesak di lebuh raya Bandara - Jakarta.

Apabila menyebut sesak tentu orang di Malaysia ternampak bayangan kesesakan di Kuala Lumpur. Sebenarnya kesesakan di Jakarta ini dua kali ganda lebih sesak daripada Kuala Lumpur. Jika di Kuala Lumpur orang Indonesia tidak melihat bahawa kesesakan kita sebagai sesak sebab sesak di Jakarta lebih sesak. Sampai ada yang mengatakan, sesiapa yang boleh memandu kereta di Jakarta boleh memandu di seluruh dunia.

Perjalanan yang sepatutnya 45 minit jadi 2 jam. Namun begitu pemandangan kiri kanan perjalanan tersebut amat menginsafkan. Kita dapat melihat betapa perbezaan taraf hidup rakyat Indonesia amat lebar. Mana yang kaya raya, tinggal di istana hinggakan mereka boleh menambak laut bagi tujuan membuat rumah. Mereka yang miskin, miskin betul hinggakan terpaksa tinggal di bawah jambatan jalan raya. Mandi air sungai yang kita anggap sebagai longkang ‘hacar’.

Di celah-celah kesesakan, terlihat anak-anak tidak berlapik kaki mengetuk daripada satu kereta ke kereta lain memohon simpati meminta sedekah. Keadaan yang jarang kelihatan di Malaysia. Terasa bersyukur berada di negara yang aman dan harmoni seperti Malaysia.

Kami tiba di Hotel Ibis Tamarin, hotel penginapan kami dalam jam 7.30 malam. Ada setengah jam sebelum waktu tamat pesta buku. Memang tidak sempat. Jadi saya menghubungi rakan penerbitan di Indonesia bagi menunda temu janji ke besok pagi.

Selepas mendaftar masuk, kami terus ke satu restoran yang sering menjadi singgahan makan saya bersama rakan apabila di Jakarta. Ia terletak tidak berapa jauh daripada hotel penginapan kami. Sekadar beberapa tapak berjalan. Restoran ini boleh dikatakan bukan sebuah restoran, mungkin gerai tepi jalan. Menjual satay madura. Ia cukup terkenal di Jakarta. Sebut sahaja satay Jalan Wahid Hasyim pasti semua tahu.

Puan Nurulhilyati (kiri) bersama Cik Hasmariza, eksekutif jualan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Kelihatan teh botol dalam gambar sebelah kanan.

Alhamdulillah ada tempat kosong, kami duduk dan memesan satay kambing dan ayam. Mujurlah tadi saya berpesan kepada ahli rombongan agar makan terlebih dahulu di atas kapal terbang, jika tidak tentu ada yang kebuluran. Satay di sini agak berbeza cara buatannya. Kuahnya pun berbeza dengan kuah satay di Malaysia. Hendak cerita susah sebab kelazatannya perlu dirasa sendiri. :D . Semua ahli rombongan berpuas hati. Satu lagi yang pasti tidak dapat ditemui di Malaysia adalah teh botol. Ini minuman segera kebiasaan orang Indonesia. Ini pun perlu dicuba sendiri, rasanya seperti teh chrysanthemum.

En. Fauzul bersama Wan Zuhairi, editor kreatif PTS Millennia Sdn Bhd

Suasana di sekitar restoran serupa sahaja, berada di tepi jalan yang sesak. Terasa kekalutan kota Jakarta, stress dan tertekan. Melihat anak-anak meminta sedekah, jika ada yang mula memberi kepada seorang maka nanti ada rombongan lain pula datang meminta. Ada yang bermain muzik menghiburkan hati pelanggan restoran bagi mendapat seribu dua rupiah. Ada juga yang meminta sedekah cara terhormat dengan membawa borang untuk derma sekolah atau madrasah. Pemandangan yang jarang dilihat di Malaysia.

Selepas selesai makan malam, kami semua terus naik dan berehat melepas lelah sebelum hari esok. Letih kelihatan di muka masing-masing. Selepas solat, terus semua tidur. Hanya saya masih menurunkan tinta bagi berkongsi pengalaman bersama semua. Di samping itu merangka lawatan kerja buat esok hari. Ok nanti kita sambung lagi.

Catatan Perjalanan 5 Mac 2007 : Kita Hanya Mampu Merancang, Allah Penentu Segala

March 16, 2007

Berada di ruang udara menyebabkan kita menghargai kebesaran Allah. Betapa indah dan hebatnya alam. Tidak mungkin alam yang sehebat ini dapat diwujudkan oleh manusia. Kelompok gugusan awan yang indah, kumpulan burung berterbangan dan pemandangan alam buana kecil dari atas besar dalam normal, kesemuanya hasil ciptaan maha hebat dan maha kuasa. Segala kehebatan inilah yang diarah oleh Allah agar manusia mengkaji dan kongsikan dengan orang lain. Inilah tugas seorang penulis.

Kami berada di ruangan udara selama lebih kurang 2 jam sebelum kapten kapal terbang mengumumkan bahawa kami sudah hampir dengan Jakarta dan akan mendarat dalam masa terdekat. Namun begitu beberapa ketika kemudian kapten kapal menyatakan bahawa keadaan cuaca di Bandara Soekarno Hatta, Jakarta tidak berapa elok dan kapal terbang terpaksa berlegar di ruangan udara beberapa ketika sebelum dibenarkan mendarat.

Dalam kepala saya hanya ada ingatan bahawa saya mempunyai temu janji dengan Pak Awod Said, Pengurus Penerbitan Republika. Pagi tadi saya sudah menghubunginya dan menyatakan bahawa kami terlepas kapal terbang serta memohon agar temu janji ditunda ke petang. Mujurlah beliau antara panitia Pesta Buku Islam Jakarta dan bertugas hingga malam hari. Namun begitu apabila melihat kelewatan kapal terbang ini menyebabkan kebarangkalian saya perlu menunda temu janji buat kali kedua. Saya cukup tidak suka apabila tidak memenuhi janji.

10 minit selepas pengumuman pertama ada pengumuman kedua yang menyatakan kami masih belum mendapat kebenaran mendarat kerana jarak penglihatan masih lagi kurang daripada tahap normal. Ini menguatkan lagi hujah mengatakan bahawa temu janji hari ini perlu ditunda sekali lagi. Kita hanya mampu merancang Allah yang menentukan.

Catatan Perjalanan 5 Mac 2007 : Penulis Perlu Berfikiran Global

March 15, 2007

Saya bersama dengan para penumpang masuk ke dalam kapal terbang untuk ke Jakarta dalam jam 2.00 petang. Penerbangan kali ini tidak penuh, nampak gaya macam banyak tempat duduk di sana-sini. Saya duduk bersebelahan dengan isteri dekat dengan tingkap kapal terbang. Saya suka memilih tempat duduk yang berdekatan dengan tingkap apabila berada di dalam kapal terbang. Luas pemandangan.

Namun begitu penerbangan kami terpaksa di tunda penerbangan beberapa minit disebabkan ada bagasi yang sudah didaftarkan namun begitu tuan punya masih tidak mendaftar masuk. Ini satu masalah bagi sesuatu penerbangan kerana wujud ketakutan bagasi terbabit membawa barangan yang membahayakan penumpang lain seperti bom ataupun senjata lain.

Alhamdulillah selepas 20 minit , pihak kami sudah berada di udara. Apabila menghadapi suasana sebegini saya melihat bahawa para penulis perlu keluar daripada kepompong sendiri. Jangan hanya berada di persekitaran sendiri sahaja. Dalam kes saya ke luar negara. Apabila kita berada di persekitaran sendiri, kebarangkalian melihat benda baru menjadi semakin sedikit. Jika saya tidak keluar negara, saya tentu tidak tahu wujud kes-kes sebegini dan mengapa kapal terbang tidak boleh berangkat apabila bagasi tidak bertuan wujud di dalam penerbangan.

Apabila kita keluar daripada kepompong kita, minda akan menjadi lebih global. Kita dapat melihat sesuatu perkara dengan perspektif pelbagai. Kita juga dapat belajar perkara baru. Istilah keluar bukan bermaksud perlu ke luar negara. Ia mungkin bermaksud keluar daripada suasana. Sebagai contoh kita sebagai orang agama, cuba keluar dan melihat apa orang teknologi bercakap. Kita sebagai orang teknologi, cuba tengok apa orang sastera buat. Itu maksudnya keluar. Lagi baik jika kita dapat ke luar negara. Boleh melihat apa orang luar daripada negara kita bercakap dan berfikir.

Next Page »