Apabila Editor Dianggap Robot
July 10, 2008
Hari-hari 2008 berlalu dengan begitu cepat sekali. Sekarang sudah bulan Julai, melepasi separuh tahun 2008. Adakah azam yang berdegar-degar digagaskan pada awal tahun sudah terlaksana separuh ataupun mungkin suku? Ataupun tiada langsung?
Alhamdulillah tahun 2008 ini adalah tahun yang cukup menarik bagi saya. Dari awal tahun sibuk dengan produksi buku menghadapi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (PBAKL 2008), menjadi S/U JK Publisiti PBAKL 2008, menerbitkan novel pertama PTS yang menjadi top 10 MPH, menjadi Pengerusi JK Publisiti dan Promosi Pesta Buku Selangor 2008 dan beberapa hari lepas mendapat panggilan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mengkhabarkan saya dipilih mereka menjadi salah seorang penggerak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Ditambah dengan jemputan ceramah yang semakin mencurah-curah, Alhamdulillah rezeki Allah Yang Maha Pemberi Rezeki.
Politik Yang Merugikan Dunia Buku
July 4, 2008
Beberapa hari lepas saya agak sibuk dengan persiapan Pesta Buku Selangor 2008. Saya dilantik sebagai Pengerusi Publisiti & Promosi bagi Pesta Buku Selangor 2008. Ini tanggungjawab yang cukup berat pada pandangan saya. Sebelum ini saya hanya sekadar AJK sahaja di bawah pengurusan Tuan Haji Ishak Hamzah, pengarah urusan e-Media. Selepas beliau tidak berminat hendak meneruskan jawatan tersebut, ia diserahkan kepada saya.
Catatan Perjalanan Jogjakarta : Hari Pertama
June 29, 2008
Jogjakarta adalah salah satu tempat di Indonesia yang sering saya dengar tetapi belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Dikatakan Jogjakarta adalah sebuah bandaraya pendidikan. Terdapat sejumlah universiti besar di sana. Antara yang mungkin ramai kenali adalah Universiti Gadja Mada dan UIN Sunan Kali Jaga.
Bertolak
Saya bertolak ke lapangan terbang dari Bentong tepat jam 11 pagi. Dengan diiringi isteri, anak-anak, mama dan ayah saya menghantarkan saya ke Terminal Tambang Murah KLIA (LCCT), Sepang. Singgah sebentar ke pejabat Wangsa Melawati bagi mengambil buku-buku naskhah contoh berserta katalog buku yang disediakan oleh saudara Ikram, Editor Kanan PTS Millennia Sdn Bhd bagi dibawa ke Jogjakarta.
Jogjakarta yang Menakjubkan
June 27, 2008
Hari ini adalah hari pertama saya berada sepenuhnya di pejabat selepas pulang ke Malaysia dari Jogjakarta. Kami tiba di Malaysia pada 25 Jun (Rabu). Cuma semalam adalah hari yang menyibukkan. Tidak sempat melepaskan lelah sudah ada banyak acara yang perlu dihadiri. Sesi appraisal penilaian prestasi untuk pengurusan acara penting di waktu pagi. Penilaian gerak kerja setahun dari April 2007 hingga April 2008 menjadi perkara pertama harus dihadapi semalam.
Petangnya saya perlu menghadiri acara pelancaran promosi Pesta Buku Selangor 2008. Saya sebagai pengerusi JK Publisiti & Promosi Pesta Buku Selangor 2008 diminta menyampaikan taklimat promosi kepada semua pempamer terlibat. Acara perasmian disempurnakan oleh Y.B Dr. Halimah, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor. Memang mencabar betul minggu ini.
Pandangan Berbeza Yang Membuka Minda
June 18, 2008
Tempoh hari saya berpeluang bertemu dan berbincang dengan beberapa pemilik syarikat penerbitan. Satu penerbit novel, penerbit buku umum (kedua-duanya dari Malaysia) dan satu penerbit komersil Indonesia. Perbincangan kami menjurus pada persoalan kenaikan harga minyak. Apakah pandangan mereka dan bagaimanakah cara menghadapinya? Daripada perbincangan tersebut, wujud dua pandangan yang berbeza dan membuka minda.
Penerbit novel melihat daripada perspektif kesan kepada barangan pengguna. Buat pengetahuan semua, buku di Malaysia masih dianggap sebagai barangan pelengkap dan bukannya komoditi. Barangan pelengkap atau sokongan ini selalu diletakkan dalam senarai pertama bagi dipotong dalam bajet bulanan. Ia berbeza dengan Indonesia. Buku sudah menjadi barangan komoditi.
Dunia Buku Yang Terkesan
June 13, 2008
Hari ini adalah hari pertama dalam bulan Jun 2008 saya menitipkan tulisan dalam laman web ini. Bukan kerana terlupa, bukan kerana tak mahu tetapi banyak perkara berlaku dalam beberapa lama ini. Sebaik sahaja Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008, banyak benar gerak kerja perlu dilakukan. Apabila membuka telefon bimbit HTC TyTNII saya di ruangan kalendar, boleh kata setiap hari bertanda merah. Ada sahaja temujanji-temujanji yang perlu dipenuhi.
Di samping itu juga saya mendapat beberapa tanggungjawab dan tugas baru. Dilantik sebagai pengadil MSCMalaysia IPCC dan Pengerusi Promosi & Pesta Buku Selangor 2008. Perlu melihat dan merancang produk baru bagi menghadapi keadaan ekonomi meleset yang dijangka datang akibat perbuatan pemerintah menaikkan segala harga (minyak, beras, makanan dan banyak lagi).
Semalam satu lagi cabaran apabila isteri didapati menghadapi keadaan kritikal kehamilan luar rahim. Walaubagaimanapun Alhamdulillah beliau sudah dibedah dan sekarang stabil. Terima kasih kepada Dato’ Dr. Ashar di Ampang Puteri Specialist Centre dan para pakar di HUKM yang mengendalikan pembedahan. Jasa anda semua amat saya hargai.
Dunia Buku Yang Mendesak
Semalam saya bersama dengan En. Arief berbincang mengenai apa yang bakal berlaku dalam dunia buku semasa di HUKM. Banyak benda yang diramal berlaku. Antara yang paling teruk dijangka akan berlaku inflasi.
Sebelum ini semasa dua kenaikan harga minyak yang lalu memberikan kesan berbeza. Kesan kenaikan pertama menyebabkan 2 minggu orang tidak masuk kedai, kenaikan kedua 3 bulan. Kenaikan kali ini tidak tahulah berapa lama kesannya. Laporan jualan yang terbaru banyak kedai buku besar di pusat membeli belah utama mengadu kurang pelanggan.
Walaubagaimanapun, laporan di daerah-daerah luar bandar jualannya lebih baik. Berlaku kenaikan jualan di sana. Ini adalah satu cahaya cerah dalam kegelapan. Alhamdulillah. Harapan agar dunia buku tetap berkembang dalam keadaan ekonomi merosot ini. Amiin
Saya Dilantik Sebagai Hakim MSC Malaysia IP Creators Challenge Series
May 28, 2008
Semalam saya dijemput untuk menghadiri pelancaran MSC Malaysia IP Creators Challenge Series (IPCC). IPCC adalah satu pertandingan anjuran Multimedia Development Corporation (MDEC) bagi menggalakkan penghasilan pelbagai medium pengisian kreatif.
Pertandingan ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:
- Permainan Komputer
- Animasi
- Komik Digital Interaktif
- Pengisian Pendidikan Ria Mudah Alih (Mobile)
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 Pada 17 Hingga 26 April 2009
May 12, 2008
| April 17, 2009 | to | April 26, 2009 |
Berdasarkan maklumat daripada mesyuarat Post Mortem Pesta Buku Antarangsa Kuala Lumpur 2008, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 bakal diadakan pada 17 hingga 26 hb. April 2009. Ini jika diambil kira tempat yang sama iaitu di PWTC.
Satu perkara yang menarik adalah catatan tidak rasmi yang diperoleh bagi bilangan pengunjung pada PBAKL 2008 iaitu 2.28 juta. Namun begitu InsyaAllah catatan rasmi akan dimaklumkan kepada semua.
Tahniah kepada JK Pengelola PBAKL 2008 di atas kejayaan ini.
Forum di FauzulNaim.Com, AkademiPenulis.Com & SkripHidup.Com digabungkan
May 12, 2008
Bagi mereka yang pernah melawat laman web ini tentu pernah memasuki ruang forum yang disediakan. Pihak pengurusan laman web sudah membuat keputusan bahawa forum bagi AkademiPenulis.com dan SkripHidup.com di satukan dengan forum FauzulNaim.Com. Boleh lawati di www.fauzulnaim.com/forum.
Ini bagi memudahkan para perunding MQ Human Development menjawab semua persoalan di dalam satu forum. Di samping itu juga semua pelawat mendapat manfaat yang lebih dengan meneliti perbincangan daripada ketiga-tiga laman web ini.
Pihak kami amat mengalu-alukan kepada para pelawat ketiga-tiga laman web ini bagi menggunakan ruangan forum ini untuk berdiskusi dan berbincang. Sebarang persoalan yang dilontarkan akan cuba dijawab oleh para perunding kami.
Selamat berforum dan selamat berdiskusi. Terima kasih.
Idea Ada Di Mana-mana
May 7, 2008
Susah betul untuk mencari ruang dan peluang untuk menitipkan tinta di laman ini sekarang. Hendak kata sibuk sangat pun tidak boleh dijadikan alasan kerana hanya orang yang sibuk sahaja ada masa. Walaubagaimanapun itulah realiti hidup, manusia yang baik adalah orang yang hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan hari semalam lebih baik daripada hari ini. Semoga Allah sentiasa memberikan kekuatan dan keberkatannya kepada kita semua.
Semalam ketika menunggu seorang pakar perubatan dari USM Kubang Kerian yang berminat hendak menulis. Di KL Sentral saya terserempak dengan seorang pengarang yang cukup prolifik. Pengarang novel, skrip drama, skrip filem dan sitkom, saudara Meor Shariman. Beliau ini pada pandangan saya sukar berjumpa pengarang yang berbakat dalam banyak medium penulisan seperti beliau.
Saya bertanya dengan beliau dari mana beliau mendapat pelbagai jenis idea yang pada pandangan saya agak mencapah. Sekejap tema cinta, tema sains fiksyen, melankolik dan sebagainya.
Idea datang dan ada di mana-mana kata beliau. Beliau mendapatkan idea daripada buku dan persekitaran. Pada pandangan beliau idea cukup mudah diperoleh, cuma bagaimana hendak mengalirkan idea itu ke atas tinta yang agak sukar jika tidak kena cara.
Antara maklumat menarik saya peroleh semalam adalah kadar bayaran yang diterima oleh seorang penulis skrip drama dan filem. Berdasarkan maklumat daripada beliau, penulis skrip drama lebih banyak peroleh pendapatan yang lebih baik jika dibandingkan dengan filem. Pendapatan seorang penulis skrip drama adalah daripada RM500 hingga RM 1,500 bagi setiap episod drama 1 jam. Jika episodnya hingga 36 didarabkanlah dengan 36. Wah! Satu pendapatan yang cukup baik.
Beliau sendiri sudah menghasilkan lebih daripada 6 skrip drama dan antara yang paling berjaya adalah Sembilu (skrip drama adaptasi filem Sembilu). Siapa kata penulis tidak boleh buat duit.

