Kita sudah bercerita mengenai pemilihan bidang dalam artikel yang lalu. Selepas kita sudah menentukan apakah bidang yang kitap pilih, perkara yang seterusnya adalah penyelidikan, penyelidikan dan penyelidikan. Ini adalah perkara utama yang perlu dijadikan prioriti utama sebelum sesuatu karya itu ditulis.
Apakah jenis penyelidikan yang perlu dibuat?
Saranan saya antara perkara yang perlu diselidiki adalah :
Pertama : Buku-buku dalam bidang tersebut yang pernah menjadi bestseller di kedai-kedai buku besar Malaysia seperti MPH, Kinokuniya dan Popular Bookstores. Mengapa? Kita perlu tahu apakah citarasa pembaca terhadap bidang ini. Apakah yang disukai, perspektif mana dilihat, cara persembahan disukai, pakej yang perlu ada. Kesemua ini membantu kita mendapat gambaran sebenar penulisan dalam bidang tersebut. Daripada maklumat yang dikumpulkan itu, kita dapat mula mereka konsep kita tersendiri.
Perlu saya ingatkan di sini bahawa setiap pembaca mempunyai kehendak mereka tersendiri. Ia bergantung kepada taraf hidup, pekerjaaan, latar belakang pendidikan, gaya hidup dan banyak lagi. Ia juga berbeza di antara satu zaman dengan zaman lain. Mungkin dahulu orang suka muzik Jazz, namun begitu sekarang Hip Hop. Trend semasa ini perlu diambil perhatian dan kepekaan kita perlu tinggi.
Kedua : Kaji selidik berdasarkan pandangan pakar, maklum balas pengguna (pembaca), maklum balas pekedai dan sesiapa sahaja yang berkepentingan dalam bidang yang kita pilih itu. Kaji selidik boleh dilakukan dengan membuat soal selidik (questinairre), temuramah dan pelbagai cara lain.
Ketiga : Buka buku, majalah, akhbar, tonton televisyen, dengar radio dan apa sahaja sumber ilmu yang dapat membantu kita menulis bahan tersebut.
Banyak lagi cara lain yang boleh ditambah dalam senarai penyelidikan ini.
