Pengarah Eksekutif : Nurulhilyati Abdul Halim
Nurulhilyati Abdul Halim dilahirkan pada 1 Ogos 1979 di Bukit Apeng, Kedah. Memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah Bujang, Bedong, Kedah dari tahun 1986-1991. Melanjutkan pelajaran menegah di Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah sehingga tingkatan 3.
Dengan berbekalkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum, beliau ditawarkan menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan. Pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Puteri Islam dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya. Bergiat aktif dalam Kelab Kembara Sekolah dan juga mewakili sekolah dalam bidang sukan dan olahraga.
Ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi (program ekspres) dalam bidang Sains kimia dan biologi. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Gunaan dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 2002. Bergiat aktif dalam Kelab Remaja JIM (KARISMA), PKPIM dan Persatuan Silat Cekak Malaysia.
Memulakan kerjaya dalam bidang penerbitan bersama PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. sebagai editor pada April 2002. Mendapat latihan suntingan secara langsung daripada Puan Ainon Mohd. iaitu pakar dalam komunikasi dan bahasa. Turut mengadakan training bagi melatih editor-editor baru di PTS.
Pada penghujung tahun 2003, diberi tanggungjawab sebagai koordinator editorial bagi memantau hal ehwal gerak kerja editor. Mula menjadi Editor Pengurusan di PTS Professional Publishing Sdn Bhd pada tahun 2005 hingga kini. Turut serta membantu team PTS mengendalikan bengkel-bengkel penulisan di seluruh negara.
Beliau adalah Pengarah Eksekutif dan Pengurus Besar Akademi Penulis. Beliau juga adalah Pengarah Kewangan B Pro Management & Training.












