Mentor Utama : Fauzul Na’im Ishak


fauzul.jpg

En, Fauzul Na’im Ishak memulakan karier di dalam bidang penerbitan dan latihan penulis seawal berusia 23 tahun iaitu pada tahun 2000. Pada ketika itu beliau masih menuntut dalam sarjana muda kejuruteraan Universiti Malaya. Beliau di’jemput’ masuk oleh Puan Ainon Mohd. bagi menyertai ahli keluarga syarikat penerbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS P&D). PTS P&D pada ketika itu berada di dalam tahun pertama operasinya. Keadaan syarikat yang masih baru dengan pelbagai kesukaran yang berlaku menjadikan Fauzul mempelajari pelbagai perkara dan selok belok penerbitan buku.

Beliau bermula dengan jawatan sebagai Editor Perolehan yang bertanggungjawab membina judul buku dan membangunkan senarai penulis buat PTS P&D. Kepercayaan yang diberikan tidak disia-siakan di mana beliau berjaya membina rangkaian penulis bermula di sebelah utara semenanjung Malaysia. Kawasan utama yang dijelajahinya adalah Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Pelbagai program pembangunan penulis dibuat di sana termasuklah bengkel penulisan, pertemuan kumpulan penulis dan one to one dengan penulis.

Modul pembangunan penulis mula dibina hasil garapan idea Puan Ainon Mohd dan beliau. Modul latihan tersebut dibangun dan dikembangkan serta digunakan hingga sekarang. Daripada usaha itu, pelbagai tajuk diperoleh dan PTS P&D mula mengorak langkah sebagai penerbit yang dikenali di IPTA utara.

Di samping itu juga beliau memangku jawatan sebagai eksekutif jualan dan pemasaran wilayah utara disebabkan kekurangan kakitangan di PTS P&D. Hasil daripada itu Fauzul mendalami segala selok belok jualan dan pemasaran buku. Beliau mempunyai pengalaman pahit manis sepanjang mengendalikan jualan di sana. Terutamanya sebab PTS P&D masih baru.

Hasil usaha padu daripada semua ahli keluarga PTS P&D, syarikat berkembang pesat dan pada tahun 2002, Fauzul dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Penerbitan PTS P&D. Bermula daripada saat itu beliau mula membina sistem editorial PTS P&D. Pembinaan dan pengaplikasian Standard of Operating Procedur (SOP) menjadi asas kepada sistem editorial tersebut. Ia bertujuan memastikan kelancaran pengurusan penerbitan buku daripada terima manuskrip hinggalah buku siap masuk ke dalam stor. Sistem tersebut dibina dan dikembangkan daripada tahun ke tahun hinggalah menjadi sistem standard Kumpulan Syarikat PTS sekarang ini.

Pada tahun 2005, PTS Consultant Sdn Bhd syarikat induk PTS P&D selepas lawatan En. Fauzul dan En. Arief ke Indonesian Book Fair, Jakarta membuat keputusan merombak struktur syarikat. Fungsi penerbitan PTS P&D dikeluarkan dan hanya mengekalkan fungsi pengedaran buku sahaja. Fungsi tersebut diserahkan kepada 3 anak syarikat yang baru ditubuhkan iaitu PTS Millennia Sdn Bhd, PTS Professional Publishing Sdn Bhd dan PTS One Sdn Bhd. En Fauzul diberikan tanggungjawab sebagai pengarah eksekutif dan pengurus di PTS Millennia Sdn Bhd hingga sekarang. Beliau juga menjadi pengurus program pelesenan dan penjualan hak cipta buku Kumpulan PTS ke Indonesia.

Hasil daripada pengalaman selama hampir 7 tahun ini, beliau berjaya melahir dan membina pelbagai judul buku daripada pelbagai latar belakang penulis. Daripada latar belakang akademik hinggalah kepada popular. Daripada kurang terkenal kepada yang terkenal. Antara penulis besar yang berkarya di bawah penerbitan PTS Millennia Sdn Bhd adalah Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Zawawi Mat Yusoh, Dr. Danial Zainal Abidin dan Dr. Robiah K. Hamzah. Judul-judul bestseller di bawah penerbitan PTS Millennia Sdn Bhd adalah 55 Petua Orang Berjaya, Tip Menjadi Individu Menarik, 7 Formula Individu Cemerlang dan banyak lagi.

Beliau juga sering dijemput memberikan bengkel, ceramah dan membentangkan kertas kerja di institusi pengajian tinggi, badan kerajaan dan bukan kerajaan. Antara badan yang pernah menjemput beliau mengendalikan bengkel penulisan adalah :

  • Dewan Bahasa & Pustaka
  • Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  • Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
  • Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
  • Universiti Sains Malaysia Kejuruteraan Transkrian
  • Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor
  • Universiti Islam Antarabangsa, Gombak
  • Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
  • Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat
  • Universiti Sains Malaysia Cawangan Kubang Kerian, Kelantan
  • Maktab Perguruan Bukit Mertajam
  • Kolej IKRAM
  • Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
  • Angkatan Belia Islam Malaysia
  • Persatuan Penulis Kelantan
  • dan banyak lagi

Beliau juga adalah pengasas kepada Akademi Penulis dan merupakan Pengarah Urusan B Pro Management & Training syarikat perunding latihan dan motivasi mengkhusus kepada latihan pembangunan penulis.

Share and Enjoy:
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google