PBAKL 2008 Yang Penuh Kejutan!!

April 14, 2008

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (PBAKL) sudah melabuhkan tirainya, catatan luar biasa lebih 1.5 juta tercapai dalam masa 10 hari berlangsungnya PBAKL. Satu catatan yang menyanggah pelbagai mitos dan pandangan umum terhadap dunia buku Malaysia.

Pada tahun lepas PBAKL 2007 mencatat 1.02 juta pengunjung. Ini sudah memberikan seribu satu cabaran kepada JK penganjur PBAKL 2008. JK Publisiti & Promosi PBAKL diberikan cabaran bagi menjemput sekurang-kurangnya 1.5 juta pengunjung pada tahun ini. Saya sebagai S/U JK Publisiti & Promosi sentiasa berdebar-debar bagi menghadapi hari-hari di PBAKL. Ada beberapa cabaran, pertamanya catatan rekod tahun lepas. Keduanya sepanjang 10 hari berlangsungnya PBAKL 2008 iaitu daripada 4 hingga 13 April 2008 tidak ada sebarang tarikh pertembungan cuti umum atau cuti sekolah. Tidak seperti tahun lepas, PBAKL 2007 bertembung dengan hari buruh dan maulid rasul.

Segala usaha dilakukan dengan penuh iltizam untuk memastikan PBAKL tahun ini tidak kurang meriahnya berbanding tahun depan. Antara usaha, membanyakkan lagi iklan di akhbar dan majalah, iklan di radio dan tv, penanda buku 1 juta dicetak dan pelbagai lagi. Kesemua ini diharapkan akan dapat membantu kami dalam usaha memecah rekod tersebut.

Pengerusi JK Promosi & Publisiti, Tuan Haji Ishak Hamzah (juga Pengarah Urusan di E-Media Publications Sdn Bhd) yang sudah 4 tahun memegang tampuk pimpinan JK Publisiti dan Promosi PBAKL mencurahkan segala ilmu bersama saya untuk memastikan cabaran ini dapat dihadapi dengan baik.

Hari Pertama 4 April 2008 membuka tabir, dengan catatan yang cukup mengejutkan. Catatan pada hari tanpa cuti itu adalah lebih kurang 100 ribu pengunjung. Pengunjung berduyun-duyun datang memenuhi setiap ruang dewan pameran. Catatan pada hari kedua, ketiga lebih mengagumkan. Gabungan keduanya tidak kurang daripada 500 ribu pengunjung. Gerai PTS yang berada di ruang dikatakan payah iaitu di Dewan Tun Razak 2, PWTC mencatat jualan pada hujung minggunya RM 48 ribu, dua kali ganda lebih baik daripada hari terbaik pada PBAKL 2007.

Seterusnya rekod demi rekod dicatat dan pada hari kesembilan, catatan tidak rasmi adalah pada 1.88 juta pengunjung. Yang lebih mengharukan saya adalah apabila melihat rombongan yang datang daripada segenap pelosok Malaysia. Bas dari Johor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan semua negara memarkir di tepian PWTC.

Ada maklum balas pengunjung yang cuba untuk memasuki ruang parkir terdekat tidak dapat mencarinya. Hinggakan ada yang datang berkali-kali dalam beberapa hari sukar mencari parkir. Hebat memang hebat. Siapa kata orang Malaysia tidak gemar buku, lihatlah dunia. Mitos pembaca Malaysia hanya membaca dua buku setahun sudah terjawab tidak benar dengan hanya melihat duyunan manusia di PBAKL 2008.

Cabaran buat JK pengelola PBAKL 2009!!!

Nota : Gambar daripada motivasiminda.blogspot.com

Hasil Tulisan :

Fauzul Na'im Ishak
Pengarah & Jurulatih
Akademi Penulis Karya Bestseller
fauzul@bookpro.my

Artikel Terkini Daripada Setiap Kategori

Bookmark Artikel Ini :
  • Digg
  • StumbleUpon
  • Technorati
  • Facebook
  • Google
  • YahooMyWeb

Comments

Got something to say?