Benarkah Anda Menghadapi Writer’s Block? (2)

March 19, 2007 Oleh Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Ramai yang mengatakan dirinya mengalami writer’s block, namun begitu ada sesetengah kes sebenarnya ia sebaliknya. Baiklah, sebelum kita menerangkan mengenai writer’s block, mari kita kaji dahulu situasi sebenar kita. Cuba anda lihat faktor-faktor di bawah.

a) Tiada Masa

Ini adalah salah satu faktor utama mengapa seseorang itu tidak boleh menulis. Cuba anda senaraikan perkara-perkara yang anda perlu lakukan setiap hari. Adakah anda bekerja 8 jam ataupun lebih satu hari? Adakah anda perlu menghabiskan banyak masa bergerak ke tempat kerja? Adakah anda mempunyai anak? Adakah anda perlu memasak di rumah? Adakah perlu mengemas rumah ataupun menjaga orang tua di rumah? Adakah anda mempunyai pasangan hidup ataupun rakan-rakan yang memerlukan perhatian anda setiap waktu? Satu lagi adakah anda perlu menyelesaikan kerja-kerja pejabat yang belum siap di rumah? Ini tak termasuk masa untuk tidur bagi mengembalikan semula tenaga anda.
Fuhh!!! Melihatkan senarai di atas sudah tentu anda tidak boleh mencari masa untuk menulis. Apa penyelesaiannya? Ringkaskan segala gerak kerja anda. Cuba cari ruangan bagi mengurangkan sedikit bebanan kerja agar anda. Cari pembantu rumah kah? Cari pembantu separuh masa dan sebagainya. Yakin dan percaya selagi mana perkara-perkara di atas tidak diselesaikan. Anda pasti tidak dapat mencari ruang bagi memulakan penulisan anda.

 b) Depresi, Demam ataupun Kesakitan Lain

Penjelasan lain bagi tidak dapat menulis adalah anda menghadapi situasi kesakitan yang menyebabkan anda tidak dapat menumpukan perhatian kepada penulisan. Depresi adalah situasi biasa berlaku kepada masyarakat negara sedang membangun. Tekanan kerja, keluarga dan masa menyebabkan kita semua menjadi masyarakat penuh stres.

Demam juga menyebabkan fizikal dan mental menjadi lemah. Sudah tentu seseorang penulis tidak dapat bekerja dalam situasi begini. Kesakitan-kesakitan lain juga mungkin boleh menjadi faktor utama seseorang itu sukar memulakan penulisan.’

Keadaan-keadaan di atas hanya boleh diselesaikan dengan merujuk kepada kaunselor, pakar perubatan, buku dan sesiapa yang pakar dalam bidang tersebut. Selagi mana ia tidak diselesaikan, yakin dan percaya anda tentu menghadapi kesukaran menulis.

 c) Ritma Semulajadi Diri

Yakin dan percaya bahawa bukan semua penulis di dalam dunia ini adalah prolifik. Anda mungkin hanya mempunyai kemampuan menghasilkan hanya satu buku satu tahun, mungkin ada yang hanya boleh menulis satu artikel setahun. Kesemua ini bergantung kepada ritma semulajadi diri. Produktiviti anda mungkin hanya sekadar itu sahaja. Jadi walaupun anda berusaha bersungguh-sungguh untuk menulis lebih daripada anda, keseronokan anda hanya pada satu ataupun dua buku sahaja setahun. Berlapang dadalah.

d) Recaj Otak

Anda mungkin sudah berjaya menyiapkan satu buku semalam. Kemudian anda ingin teruskan kepada buku kedua anda hari ini. Namun begitu otak anda masih tidak dapat mengeluarkan idea yang sehebat ataupun mengalir deras sepertimana buku pertama anda. Anda berusaha dan berusaha tetapi tetap tidak berhasil. Anda kebarangkalian menghadapi suatu keadaan yang dipanggil otak sedang merecaj. Otak kita juga memerlukan masa rehat ataupun masa senggang daripada melakukan sesuatu kerja. Apabila kita bekerja keras, ia juga mengalami keletihan. Jadi ia memerlukan sedikit masa bagi mengembalikan keadaan optima. Bukan maksudnya otak kita tidak berguna, cuma berikan masa kepadanya.

Adakah anda sudah membandingkan situasi anda dengan situasi di atas? Adakah anda menghadapinya? Jika anda tidak mengalami salah satu daripada faktor di atas, anda kebarangkalian menghadapi apa yang dikatakan sebagai writer’s block. Nanti kita bincangkan penyelesaiannya di artikel seterusnya.

Hasil Perkongsian :

Fauzul Naim Ishak
Pengasas/Mentor Utama
AkademiPenulis.Com : Transformasi Dunia Dengan Perkataan
fauzul@bookpro.my

Terkini Dari Setiap Kategori

Share and Enjoy:
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google

Diskusi

5 Responses to “Benarkah Anda Menghadapi Writer’s Block? (2)”

  1. Zamri Mohamad on March 19th, 2007 4:53 pm

    Saya masih kurang faham maksud prolifik. Apakah ciri-ciri penulis prolifik? Mungkin boleh dihuraikan dalam satu entri ringkas. Terima Kasih tuan! :D

  2. Fauzul Naim on March 19th, 2007 5:10 pm

    Prolifik bermaksud menghasilkan sesuatu perkara dengan produktif atau dalam kata lain dengan frekuensi yang banyak dalam masa singkat. Bagi kes penulisan buku, apabila seseorang berjaya menghasilkan banyak karya dalam satu masa tertentu sebagai contoh 3 ke 6 buku setahun itu sudah kira prolifik.

  3. cakcibo on March 22nd, 2007 3:57 pm

    saya ada masalah. bila saya berfikir, idea yang keluar selalunya dalam bahasa inggeris. saya bukan berlagak, tetapi inilah hakikatnya. akibatnya, apabila saya cuba menulis karya (sajak, novel, dsb) saya akan membuat translasi terus ke bahasa malaysia, dan hasilnya sungguh memalukan.

    akibatnya, saya menjadi malas dan apabila ada editor yang meminta buku daripada saya, paling senang akan saya jawab ‘writer’s block’.

    apa yang patut saya lakukan? saya masih belum dapat meminati mana-mana penulis melayu generasi baru. akibatnya, saya masih taksub membaca buku-buku inggeris yang pada saya lebih menarik daripada apa yang ada di pasaran. saya masih menghormati penulis2 lama seperti usman awang, a.samad said, khatijah hashim, abd talib hassan, dan senarai ini sungguh pendek.

    ataupun, adakah saya memaksa diri saya menulis sedangkan sebenarnya saya memang tidak boleh mengarang lansung?

  4. Fauzul Naim on March 22nd, 2007 4:32 pm

    Dalam kes saudara ini, ini masih belum boleh dikatakan sebagai writer’s block kerana saudara memang berpotensi menghasilkan karya jika dibuat dengan menjadikan bahasa Inggeris bahasa utama. Pada pandangan saya dalam kes saudara ini, lebih baik cari rakan penulisan sebagai co-author ataupun sebagai translator. Kebolehan saudara menulis bahasa inggeris itu suatu kebolehan yang bagus dan harus dimanfaatkan.

    Saya juga seperti saudara, banyak membaca karya inggeris lebih daripada karya melayu kerana beranggapan bahawa karya mereka lebih baik tanpa menafikan keupayaan penulis tempatan. Namun begitu, kitalah sebagai penulis yang dapat mengubah cara menulis penulis tempatan bagi menghasilkan karya yang sebaik mereka. Terus menulis. Nanti saya tuliskan cara keluar daripada masalah seperti ini ruangan artikel.

  5. cakcibo on March 22nd, 2007 6:04 pm

    en fauzul,

    saya saudari, bukan saudara.

    terima kasih atas cadangan anda!

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!