Stres!! Stress!! Stress!!

December 16, 2007

Stres betul saya pagi ini. Mengapa? Komputer riba saya buat hal. Pagi ini ketika saya bersemangat hendak memulakan sesuatu yang penting, tiba-tiba air yang berada di sebelah komputer tertumpah ke atasnya. Wahh!!! memang stres, terus tutup dan lapkannya.

Selepas dikeringkan dan dibiarkan beberapa lama, komputer riba tersebut cuba dibuka. Alhamdulillah menyala, tetapi apabila menaip kata kuncinya (untuk masuk). Papan kekuncinya buat hal, tidak dapat menaip sebarang perkataan. Memang stres!!

Hari Ini Jurulatih Di Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur, Gombak

December 15, 2007

Hari ini saya akan berada di Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur, Gombak bagi mengendalikan bengkel penulisan remaja. Bengkel ini adalah anjuran bersama PTS Millennia Sdn Bhd dan Kelab Remaja JIM.

Pihak PTS Millennia merancang bagi menghasilkan beberapa produk baru remaja bagi 2008. Bengkel ini adalah salah satu daripada program di bawah program pembangunan manuskrip bagi tahun 2008.

e-Kedai.net Versi Baru & PNM

December 14, 2007

Beberapa hari ini, selain daripada kerja pengurusan di PTS Millennia Sdn Bhd saya agak sibuk mereka semula rupa bentuk laman web e-Kedai.net. e-Kedai.net baru sahaja dinaik taraf ke versi baru. Dalam versi baru ini pelbagai antara muka baru yang menarik dan menyebabkan orang pun lagi tertarik. Antara muka yang lebih mesra pelanggan. Kesibukan mengendalikan beberapa perkara dalam satu masa ini menyebabkan masa saya untuk bersantai di akademi ini agak terhad. Walaubagaimanapun akademi ini tetap tidak akan dilupakan.

Di sini saya ingin mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada para penulis dari PTS khususnya dan penerbitan lain amnya yang berjaya mendapat ‘panggilan mesra’ dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Apa maksudnya panggilan mesra ini? Ia panggilan yang memberikan wang kepada para penulis.

Pada tahun ini pihak PNM atas dasar keprihatinannya kepada warga penulis, menawarkan perolehan karya untuk pengedaran ke semua perpustakaan kelolaannya secara terus kepada penulis. Sebelum ini ia dibuat melalui penerbit. Jadi dalam kata lain ia ingin memberikan pulangan kepada pengarang. Ini satu tindakan yang harus dipuji.

Tahniah kepada pengarang dan tahniah juga kepada PNM.

Kalau Orang Tak Masuk Kedai, Teruklah Cashflow!

December 11, 2007

Lama juga saya tidak mengemaskini laman ini. Kekangan masa, kekangan bebanan kerja, kekangan cita-cita membara dan banyak lagi. Ada orang bertanya dengan saya, mampukah saya membuat banyak perkara dalam satu masa. Jawapan saya, “Boleh!” cuma perlu perancangan dan koordinasi kerja efektif.

Saya ingin menyambung cerita saya dengan Tuan Haji Fakeer tempoh hari. Satu lagi perkara yang diceritakan adalah masalah buku teks percuma. Kesannya sudah mula terasa. Selalunya pada akhir-akhir tahun begini, ibu bapa akan membawa anak-anak untuk membeli belah buku teks di kedai-kedai buku. Pada masa itu, kita boleh lihat kedai-kedai buku di Jalan Tunku Abdul Rahman penuh sesak. Hinggakan kalau masuk, berjalan perlu menyelit-nyelit di antara pelanggan yang ramai itu. Kesan daripada itu, bukan sahaja buku-buku teks laris jualannya, tetapi juga buku-buku lain. Ini menjadikan industri buku lebih kompetitif.

Namun begitu suasana pada hujung tahun ini amat berbeza, jauh berbeza. Kedai-kedai buku yang dinyatakan di atas agak lengang. Suasana meriah memilih buku tidak lagi terasa . Kesannya amat terasa, jualan buku menurun. Yang lagi bimbang adalah para penerbit buku, apabila orang tidak masuk kedai dan membeli buku, bayaran daripada pekedai ini menjadi berkurangan. Ini menjadikan aliran wang tunai syarikat juga teruk terjejas.

Kalau orang tak masuk kedai, teruklah cashflow

Keluhan bukan seorang tetapi semua orang dalam industri buku.

18 Novel Sebulan! Yang Mana Orang Mahu Pilih?

December 7, 2007

Pagi tadi saya duduk bersama pengedar terbesar novel Malaysia, Tuan Haji Fakeer, pemilik Sykt Fajar. Beliau menceritakan saat-saat gemilang dunia novel satu masa dulu.

“Dahulu, saya ambil satu-satu novel sampai 10,000 naskhah. Ada yang saya ambil sampai 20,000 naskhah”

Cuba bayangkan betapa hebatnya dunia novel pada masa itu. Ini adalah zaman Alaf 21 mula menguasai pasaran novel. Novel Creative sudah menjadi besar pada masa itu.

“Novel Alaf dan Creative saya berani ambil minimum 5,000 naskhah. Semuanya boleh jual”

Buat pengetahuan para pembaca, bagi novel terma pembeliannya amat berbeza terutamanya Alaf 21 Sdn Bhd dan Creative Enterprise. Bagi kebiasaan buku, terma pembeliannya dalam bentuk kredit sama ada kredit 90 hari hinggalah kadangkala sampai 120 hari. Namun begitu bagi novel, pembayarannya adalah dalam bentuk tunai dan tanpa kredit. Tambahan lagi tidak boleh pulangkan. Cuba bayangkan Tuan Haji kita ini berani membeli 20,000 naskhah novel satu judul dengan terma sebegitu. Hebat bukan?

“Tetapi Fauzul, sekarang susah. Novel nama besar macam Norhayati Berahim pun sudah turun. Saya sendiri bagi judul Alaf 21 tidak berani ambil beribu. Sekadar ratusan sahaja. Itupun bagi yang terpilih sahaja. Yang lain mungkin beberapa puluh.”

Pasaran novel semakin malap.

“Sekarang ini Fauzul, semua orang mahu terbit novel. Alaf 21, 3 judul, Creative, 2 judul, Kaki Novel, 1 novel, Rhythm 1 ke 2 novel,……..(dia senaraikan semua :)) Jika campur-campur semua ada 18 ke 20 judul satu bulan. Yang mana orang mahu beli? Apabila terlalu banyak, orang sudah boleh memilih. Bukan sahaja penulis lama, penulis baru pun orang beli.”

Inilah realiti, satu ruang yang menjadi laut biru menjadi semakin kecil. Hingga mengeluh penjual dan pengedarnya. Saya tidak pelik satu masa lagi ada lagi genre yang terjadi sebegitu. Keknya semakin kecil kerana perlu dikongsi ramai-ramai.

Ayat-ayat Cinta Sudah Difilemkan & Bakal Ditayangkan

December 5, 2007

Apabila orang bertanya adakah saya meminati karya-karya tulisan Habiburrahman El-Shirazy. Dengan spontan saya akan menjawab “Ya!”. Saya ‘bercinta’ dengan karya Habiburrahman selepas cinta pandang pertama dengan karya Ayat-ayat Cinta. Pada ketika itu adalah lawatan pertama saya ke Indonesian Book Fair sekitar tahun 2005. Pertama kali membawa PTS ke Indonesia. Saya bersama En. Arief berbincang dan membuat keputusan bagi melihat ruangan baru penerbitan dengan membuka kerjasama dua hala dua negara Malaysia Indonesia. Alhamdulillah selepas lawatan itu ia membuka ruang seluasnya bagi menarik ramai penerbit Indonesia berkerjasama dengan PTS. Selepas itu apa yang berlaku sudah diketahui ramai, banyak karya PTS dilesen ke Indonesia dan karya Indonesia dilesen terbitannya ke sini.

Pada ketika itu, saya pernah menyatakan hasrat kepada En. Arief bagi melesen karya Ayat-ayat Cinta untuk diterbitkan versi Malaysia. Namun begitu disebabkan tiada perancangan memasuki ruangan penerbitan novel, hasrat itu tidak dipersetujui beliau. Tidak lama selepas itu diketahui bahawa ia sudah dilesen oleh sebuah lagi syarikat penerbitan Malaysia, Al-Hidayah dan sepertimana sekarang sudah menjadi bestseller. Itulah bisnes, kesilapan membuat keputusan mungkin merugikan. :) Belajar daripada kesilapan silam, sekarang PTS sudah mula mengorak langkah dalam menerbitkan karya novel Islami. PTS Millennia Sdn Bhd sendiri sudah mempunya jenama novel Islaminya tersendiri I-Novela. Inspirasi Ayat-ayat Cinta.

Hari ini saya mendapat berita versi filemnya sudah siap dan bakal ditayangkan kepada umum. Bagi yang berminat bolehlah melawat AyatAyatCintaTheMovie.Com. Ada prebiu filem ini. Tidak sabar menunggu ia sampai ke Malaysia :)

Sinar Terang Buat Dunia Komik

December 4, 2007

Pagi tadi saya bersama ahli pasukan editor perolehan PTS Millennia Sdn Bhd duduk berbincang dengan saudara Ramji Rabi, Penolong Pengurus MPH Bookstores. Perbincangan menjurus kepada perancangan yang bakal dibuat oleh PTS Millennia Sdn Bhd bagi 2008. Ini memang sudah menjadi salah satu rutin kerja bagi pasukan editor perolehan PTS M membuat penyelidikan bagi mengetahui trend pasaran semasa buku di Malaysia. MPH adalah salah satu pelanggan utama bagi Kumpulan PTS. Pandangan mereka amat menjadi fatwa penting dalam produksi Kumpulan PTS.

Dalam perbincangan semalam antara yang menarik saya peroleh adalah mengenai permintaan kepada komik. En. Ramji memaklumkan bahawa ada beberapa kedai buku MPH yang mana sambutan kepada komik amat menggalakkan. Dan yang menariknya, senarai bestseller di beberapa kedai buku MPH kedudukan TOP 20 nya adalah komik. Ini satu sinar terang bagi dunia komik.

Sepertimana yang para pelawat laman ini maklum, PTS Millennia Sdn Bhd bakal menjadi penerbit komik bagi tahun 2008. Berdasarkan perancangan editor perolehannya saudara Wan Zuhairi, unit Komik Malaysia meletakkan sasaran 2 komik setiap bulan. Satu tahun 24 buah komik. Ini ruangan besar buat pelukis komik. Kepada pelukis komik, kami memerlukan khidmat dan bantuan Anda bagi mencapai sasaran ini. Kepada yang berminat, bolehlah menghubungi saudara Wan Zuhairi di talian 016 6611 549 atau email kepada wanzu@pts.com.my.

Apabila Menangis Langsung Meletup!

December 3, 2007

Tempoh hari ketika berada di Jakarta, semasa berbincang dan berbicara dengan rakan editor Penerbit Hikmah, Mas Iqbal, antara perkara dibangkitkan adalah mengenai karya ‘Laskar Pelangi‘ yang tiba-tiba menjadi meletup kembali di pasaran Indonesia. Sebelum ini ia diterbitkan pada 2006 dan pernah menjadi bestseller. Sekarang meletup kembali. Ia bertitik tolak daripada sebuah rancangan bicara buku ala Oprah yang dikendalikan oleh Kick Andy, pengacara terkenal Metro TV, Indonesia. Rancangan bicara buku ini menjemput Andrea Hirata bagi membicarakan buku Laskar Pelangi tulisan beliau.

Dalam rancangan tersebut, mereka menemuramah watak-watak utama dalam novel tersebut. Tergambar di minda para penonton apakah sebenarnya rahsia di sebalik Pulau Belitong yang menjadi latar cerita novel ini. Memang menarik dan menyentuh hati. Saya berkesempatan menonton petikan rancangan tersebut di gerai Mizan di Indonesian Book Fair.

Kemuncaknya apabila si Kick Andy menyatakan bahawa watak utama dalam novel tersebut Bu Muslimah, guru ‘laskar-laskar pelangi’ (anda perlu baca baru faham apa yang saya katakan) tidak dapat hadir dalam rancangan tersebut disebabkan masalah tertentu. Sebelum mengakhiri rancangannya tiba-tiba muncul Bu Muslimah dan Andrea Hirata terkejut lantas menitis air mata kerana sudah berpuluh tahun tidak bertemu dengan Bu Muslimah. Novel inipun sebenarnya adalah hasil inspirasi perjuangan Bu Muslimah yang mahu menaikkan taraf hidup penduduk Pulau Belitong.

Pada ketika itu, suasananya sungguh mengharukan dan kesemua yang menonton menitiskan air mata. Sayu, sedih dan gembira dengan pertemuan itu. Kesan daripada rancangan itu, terus jualan buku ‘Laskar Pelangi‘ ini naik. Dalam masa sebulan terjual 30,000 naskhah.

Seperti kata Mas Iqbal

Apabila menangis langsung meletup!

Saya tersenyum dan tertawa bersamanya

Atas jasa baik saudara Zamri Mohammad beliau menemui video yang saya katakan ini. Anda boleh tonton di pautan ini (KLIK DI SINI). Terima kasih saudara Zamri Mohammad

P/S : Teringat acara pelancaran buku Travelog Haji di UiTM yang dikhabarkan menyebabkan orang menangis di atas kisah Prof. Dr. Muhammad Kamil Ibrahim, pengarangnya menempuhi perjalanan rohani di Mekah. Selepas itu pada hari yang sama di sana habis 500 naskhah buku tersebut. Rekod jualan buku itu cukup hebat. 3 kali ulang cetak, 3000 naskhah setiap ulang cetak dalam masa sebulan. Memang perlu menangis baru buku boleh laku :)

Minggu Yang Tenang

December 2, 2007

Hujung minggu yang cukup tenang. Masa untuk menyegarkan kembali minda. Hari ini Kumpulan PTS mengadakan program perkelahan tidak rasmi di Janda Baik. Ramai juga ahli keluarga PTS dan ahli bersekutu (keluarga mereka) yang hadir. Cukup meriah. Dengan riuh pikuk suara kanak-kanak, kemeriahan suasana amat terasa. Bunyi air sungai yang mengalir, sekali sekala dikocak oleh manusia yang meredahnya. Cukup tenang, cukup segar.

Alhamdulillah pada hujung minggu ini juga saya berjaya mengemaskini rupa baru laman web pembangunan diri milik saya FauzulNaim.Com. FauzulNaim.Com adalah laman web yang saya wujudkan selepas saya tutup laman MyMotivasi.com. Dalam laman web itu saya berkongsi idea dan pandangan saya mengenai dunia pembangunan diri dan motivasi. Laman MyMotivasi.Com dorman selepas saya buka laman web Akademi Penulis Karya Bestseller ini.

Cuma sehari dua ini saya berjaya mengemaskini untuk hidupkan kembali. Jadi jika saya tidak menulis di sini, kemungkinan saya menulis di sana. Jadi bolehlah kita ke sana bersama-sama nanti. :)