Pengarang Perlu Melihat Kepada Pengembangan Produk
November 30, 2007
Tempoh hari saya mendapat jemputan daripada pihak Multimedia Development Corporation (MDeC) bagi menghadiri satu sesi bersempena National Innovation Conference and Exhibition (NICE) 2007 di PWTC. Sesi yang bertajuk ICT Development and Innovation Forum ini membariskan 3 tokoh berpengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan penyiaran iaitu En Zainir Aminullah, Pengarah Eksekutif Astro, En Mohd Shahrin Jamaluddin, Penerbit Animasi Saladin dan En Mohd Irman Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Mygo, syarikat pembangun permainan komputer Malaysia.

Forum ini membincangkan mengenai masa depan dunia IT dan penyiaran. En. Zainir memberikan permulaan yang cukup baik dan membuka minda. Beliau memperkatakan apa yang dibuat oleh ASTRO bagi menyeimbangkan penguasaan medium internet seperti YouTube dan MySpace. Beliau tidak menafikan bahawa medium internet ini adalah cabaran utama dunia penyiaran terutamanya stesen televisyen berbayar sepertimana ASTRO. Namun begitu ia tidak sampai menyebabkan stesen tv boleh tutup. Ia memberikan gambaran bagaimana satu masa dahulu medium radio dikatakan akan mendominasi dunia pembacaan buku, televisyen untuk radio, televisyen berbayar untuk televisyen percuma. Namun begitu apa yang terjadi tidak sepertimana yang digambarkan. Sekarang perkara sama diperkatakan buat stesen televisyen berbayar.
Walaubagaimanapun semua pihak perlu mencari jalan untuk memanfaatkan ruangan tersebut. Ini dilakukan dengan baik oleh ASTRO dengan memperkenalkan pelbagai rancangan untuk pelbagai segmen masyarakat. Segmen ini diperincikan mengikut umur dan taraf hidup. Setiap tahap ini mempunyai minat tersendiri, ini menyebabkan ASTRO memperkenalkan rancangan-rancangan pelbagai. Astro Ria buat remaja urban, Oasis untuk orang di luar bandar dan sebagainya. Di samping itu juga pelbagai medium digunakan bagi memperkenalkan Akademi Fantasia. Daripada medium radio, televisyen, cetak hinggalah web tv. Cukup membuka minda.
En. Irman pula menceritakan daripada perspektif pembangun permainan komputer. Pada pandangannya dunia sekarang adalah dunia penuh interaktif, semua medium perlu melihat bisnes boleh berinteraksi dengan pengguna. Bukan sekadar satu hala tapi dua hala. Ini yang diaplikasikan oleh beliau dia MyGo. En. Shahrin memberikan gambaran bagaimana menghasilkan produksi bertaraf antarabangsa dengan menggunakan tenaga tempatan. Produk tempatan bertaraf antarabangsa.
Kesemua ini memberikan pandangan yang meluas dan global. Saya melihat dunia buku boleh mengaplikasikan apa yang diperkatakan oleh kesemua penyampai di atas. Menghasilkan buku dengan ruang pengembangan, itu yang menjentik minda saya. Pengarang perlu melihat bagi menghasilkan produk dalam pelbagai medium. Kita boleh menghasilkan buku tradisional yang kita pegang sekarang untuk pasaran tradisi, ebook atau buku digital untuk road warrior (gelaran untuk pengguna telefon pintar mempunyai fungsi PDA), buku audio untuk pembawa kereta, rancangan web tv untuk promosi diri dan produk dan banyak lagi. Buku yang mempunyai pelbagai ilmu lebih memberikan manfaat kepada masyarakat dengan adanya ruang-ruang baru sebegini. Pendapatan bertambah, pahala lebihlah bertambah.
Berita Pelancaran Buku 55 Silap Mata Mudah di Berita Harian & Harian Metro Hari Ini
November 29, 2007
Hikayat Cinta sudah berada di pasaran, lancar buku 55 Silap Mata Mudah
dari Berita Harian 29 November 2007
Oleh Elya Khalilah Ismail
NAMA Arif Muazzim Abdul Rahman mungkin tidak sinonim dengan peminat nasyid tanah air. Menjadikan nama penuhnya kepada akronim A.M.A.R, nyata, ramai peminat yang mengenali dirinya. Di awal kemunculan Amar yang dinobatkan sebagai penyanyi nasyid solo pertama Malaysia, lagu Nurul Iman berjaya melonjakkan namanya di persada nyanyian lagu nasyid.
Dua album yang dihasilkan ketika di bawah naungan Telaga Biru Sdn Bhd iaitu Kiasan Naluri dan Diari Rindu menampilkan konsep pop nasyid. Kini, setelah beralih kepada Hijjaz Records, dia tampil dengan konsep album yang sama.
Album terbarunya, Hikayat Cinta yang sudah pun berada di pasaran adalah album ketiga Amar dan yang pertama dihasilkan di bawah seliaan Hijjaz Records. Judul album ini diambil bersempena dengan salah satu lagu yang menggunakan judul yang sama.
“Hikayat Cinta berbeza dari album yang sebelum ini. Dua album saya yang terdahulu, adalah 100 peratus ciptaan saya. Untuk album yang ketiga ini, saya mengambil khidmat komposer profesional untuk mendapatkan sentuhan terbaik mereka di dalam album ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album baru-baru ini.
Album ini memuatkan lapan lagu hasil susunan muzik dari pemuzik profesional seperti Eddie Marzuki, Firdaus dan Along Exists. Amar turut menyumbangkan tiga lagu hasil ciptaannya iaitu Remaja Kita, Amani dan Kenangan Bersama. Antara lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Hikayat Cinta, Pemergian, Harap Kasihnya, dan Bayangan Semalam.
Penerbit yang bekerjasama dalam menghasilkan album ini ialah Isman Nadim Hijjaz, Munif Ahmad Hijjaz, Faizal Osman, Saiful Mestica, Along Exist, Achik dan Amar sendiri.
Album yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan termasuk proses pengumpulan bahan, Amar turut menyanyikan semula lagu yang dahulunya dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman, Apa Khabar Orang Kampung. Ditanya
mengapa menampilkan lagu lama yang dirasakan tidak mempunyai ciri-ciri lagu nasyid, Amar berkata albumnya kali ini ada pelbagai irama dan ia dicadangkan oleh syarikat rakamannya sendiri.
“Hijjaz Records yang mencadangkan agar saya memasukkan lagu ini yang sudah diubah susunan muziknya. Saya terima saja lagu yang dipilih kerana sesi pemilihan lagu dilakukan oleh Hijjaz Records. Lagipun, kami mengutamakan lirik yang baik dan ingin mencari satu lagu irama Malaysia. Jadi, pemilihan lagu ini bersesuaian dengan album saya yang mengetengahkan kepelbagaian irama,” katanya yang sudah pun menamatkan pengajiannya dalam jurusan Undang-undang di UIAM.
Sambutan peminat yang diterima untuk album pertama dan keduanya yang terjual sebanyak 20 ribu dan 15 ribu unit, Amar mengharapkan album ketiganya ini bakal mendapat tempat di hati peminat.
Kebanyakan artis di Malaysia lebih gemar untuk menyenaraikan diri mereka ke dalam bidang perniagaan. Namun, perubahan masa merubah banyak perkara termasuk persembahan seseorang artis itu. Selain melancarkan album terbarunya, Amar turut melancarkan buku hasil tulisannya mengenai silap mata yang berjudul 55 Silap Mata Mudah.
Sementara itu Pengarah Urusan Hijjaz Group Sdn Bhd, Mohd Sharudin Dawam berkata bakat yang ada pada Amar tidak akan disia-siakan mereka.
“Kami mementingkan artis rakaman yang bukan saja boleh menguasai pelbagai bidang, malah kami mementingkan akademik dan contoh terdekat adalah Amar. Dia bukan saja memiliki bakat dalam nyanyian, malah dia seorang yang berbakat dalam bidang silap mata, penulisan buku dan lirik selain bertugas sebagai penyelaras muzik di Hijjaz Records,” katanya yang melancarkan album dan buku terbaru Amar.
Pelancaran buku silap mata yang menjadi kebanggaan Amar ini adalah buku silap pertama yang diterbitkan di Malaysia terbitan PTS Millennia Sdn Bhd. Menariknya mengenai buku ini, Amar berkongsi dengan peminat silap mata dengan teknik bergambar silap mata mudah, bukan lagi bukan yang dipenuhi dengan tulisan. Buku ini sesuai kepada semua peringkat umur yang meminati seni silap mata ini.
“Teknik yang ada dalam buku ini mudah untuk dipelajari kerana selain dipenuhi gambar, terdapat juga penerangan untuk setiap teknik silap mata. Buku ini tidak tertumpu kepada kanak-kanak saja tapi kepada semua golongan dan peringkat umur kerana dari sinilah mereka mahu mempelajari teknik mudah sebelum ke peringkat lebih tinggi,” kata Amar yang mula terbabit secara serius dalam persembahan silap mata sejak lima tahun lalu.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Konsep Buku?
November 28, 2007
Ada satu soalan yang ditanya oleh Saudara Zamri Mohamad sebelum ini kepada saya, beliau bertanya apakah itu konsep buku? Bagaimanakah hendak membina konsep? Adakah tulisan saya tidak berkonsep? Banyak lagi persoalan yang boleh ditanya mengenai konsep.
Apabila disebut mengenai konsep ia kembali kepada perkara asal iaitu apakah sebabnya buku ini ditulis. Penulis harus jelas tujuan penulisan dan kepada siapakah penulisan itu ditujukan. Bagaimana hendak menjadikan ia jelas? Para penulis perlu menyenaraikan semua perkara asas berkaitan mengenai buku tersebut :
- Tajuk
- Latar Belakang Buku
- Topik Buku
- Sasaran Pembaca
- Jenis Penulisan
Mewujudkan Penterjemah Bintang
November 27, 2007
Semalam saya disapa melalui Yahoo Messenger oleh salah seorang penulis muda, dia bertanya
Abang Fauzul sudah bertenangkah?
Saya tersenyum sendiri. Tentu ada yang pelik apabila saya beberapa hari ini tidak mengemaskini laman ini. Bukan tidak mahu tetapi masa tidak mengizinkan. InsyaAllah apabila ada ruang saya akan cuba mengemaskini laman ini sekerap mungkin.
Tempoh hari saya diminta oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan menjadi pengerusi sesi forum di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa yang diadakan di Prince Hotel & Residence, Kuala Lumpur. Ahli panel yang berforum bersama saya ada Puan Ainon Mohd, Pengerusi Kumpulan PTS, Ibu Maria, Naib Presiden Himpunan Penerjemah Indonesia dan Dr. Paitoon, seorang profesor madya berketurunan Thai dari Universiti Nanyang Singapura.Tajuk forum adalah Penterjemahan dan Industri Penerbitan. Banyak perkara menarik yang dibincangkan.
Puan Ainon Mohd. memulakan bicara dengan menempelak sistem lama penterjemah yang tidak memungkinkan para penterjemah menjadi kaya. Sistem mengambil pembayaran penterjemahan secara kadar per perkataan menjadikan para penterjemah hanya sekadar mendapat bayaran sekali sahaja. Apabila karya tersebut diulang cetak berkali-kali si penterjemah tidak mendapat apa-apa habuan. Sedangkan hasil terjemahan itu adalah hak para penterjemah. Beliau mencadangkan agar sistem royalti digunakan. Selagi mana karya dicetak ulang, selagi itu para penterjemah mendapat bahagiannya.
Ibu Maria menyokong saranan Puan Ainon mengenai perkara ini. Beliau juga menceritakan senario penterjemah bintang di Indonesia. Ada beberapa penterjemah di Indonesia yang menjadi rebutan para penerbit disebabkan hasil karyanya cukup berkualiti dan baik. Ini menjadikan pembaca bukan sahaja menunggu kehadiran karya tetapi hasil terjemahan penterjemah itu.
Dr. Paitoon membangkitkan isu hilangnya ‘roh’ terjemahan disebabkan karya tidak diterjemahkan daripada sumber asal. Kebanyakannya menterjemah daripada bahasa medium utama iaitu Inggeris. Kemungkinan karya asalnya dalam bahasa lain. Ini menjadikan karya itu kurang berkualiti dan para pembaca tidak dapat menghayati mesej sebenar karya tersebut.
Di sini saya melihat semua pihak perlu berubah dan menukar cara berfikir. Selagi mana kita masih berfikir dan menggunakan sistem lama, selagi itulah senario industri penterjemahan tidak berubah. Saya bersetuju dengan saranan Puan Ainon dalam hal ini. Apabila seorang penterjemah menggunakan sistem royalti, ia adalah cukup baik buat masa depan penterjemah. Di Jepun, penterjemah buku Harry Porter menjadi seumpama selebriti, dijemput sana sini umpama beliaulah pengarang asal karya itu. Sistem di sana memungkinkan para penterjemah menjadi kaya dan terkenal.
Video Pelancaran Buku 55 Silap Mata Mudah Terbitan PTS Millennia Sdn Bhd
November 26, 2007
Minggu Paling Sibuk
November 25, 2007
Alhamdulillah hari ini saya berpeluang menarik nafas panjang, lega selepas seminggu yang sibuk. Selepas sahaja saya pulang dari Jakarta Ahad lalu, bermulalah minggu yang cukup sibuk bagi saya. Hinggakan ingin mencari masa untuk menenangkan minda melontarkan coretan di sini pun susah.
Bermula daripada beberapa mesyuarat peringkat editorial, jemputan meraikan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, pertandingan boling di antara anak syarikat Kumpulan PTS, pelancaran buku 55 Silap Mata Mudah AMAR, jemputan menjadi pengerusi sidang pleno bersempena Persidangan Penterjemahan Antarabangsa dan akhir sekali semalam menghadiri pertemuan bersama para pelukis komik untuk projek Komik Malaysia PTS Millennia Sdn Bhd. Sebab itulah hari ini saya mengosongkan masa bagi bertenang di samping beramah mesra bersama keluarga.
Banyak perkara yang saya ingin kongsikan di sini. InsyaAllah kita pergi satu persatu. Ada juga beberapa soalan yang ditanyakan melalui laman ini dan email yang masih saya tidak jawab. InsyaAllah saya akan menjawabnya apabila ada kelapangan nanti.
Aksi-aksi Boling Kumpulan PTS
November 22, 2007
Perkara Teknik Untuk Pembaca Yang Berfikir
November 21, 2007
Pada hari ini akan diadakan satu pertandingan boling antara anak syarikat PTS. Suatu acara yang pastinya menarik buat para ahli keluarga Kumpulan PTS. Ia dianjurkan oleh Kelab Sukan & Rekreasi, Kumpulan PTS. Sebanyak 8 pasukan daripada unit Kumpulan PTS bakal menonjolkan aksi masing-masing pada malam ini.
Saya bersama isteri adalah antara peserta yang agak teruja dengan permainan ini. Apabila sesuatu perkara yang kami suka ataupun teruja, selalunya kami berdua akan melakukan sedikit sebanyak penyelidikan mengenainya. Daripada perkara yang berkaitan anak-anak, percutian, pemakanan hinggalah permainan.
Isteri dan saya membuka laman-laman web yang memberikan maklumat mengenai permainan boling. Banyak maklumat yang diperoleh daripada sana. Situasi begini membuat saya berfikir, mungkin ramai lagi manusia di luar sana yang sebenarnya mempunyai minat sebegini. Apabila sesuatu perkara menjentik minda dan menyebabkan ia teruja. Mereka membuat penyelidikan mengenainya.
Ini idea yang boleh dimanfaatkan oleh para penulis. Buku-buku teknikal mengenai sesuatu perkara. Sebagai contoh buku mengenai sukan, hobi, cara membela kucing dan sebagainya. Ia tidak meluas tetapi masih mempunyai nichenya yang tersendiri. Golongan sebegini tidak ’sayang duit’ bagi mendapatkan maklumat berguna buat mereka
Pesta Buku Indonesia 2007, Penerbitan Penuh Konsep
November 19, 2007
selepas 4 hari 3 malam di Jakarta, petang semalam lebih kurang jam 5.50 petang kami tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) KLIA, Sepang. Lawatan kerja kali ini boleh dikatakan sebagai berjaya kerana banyak persefahaman dan perbincangan tertangguh dapat diselesaikan. Pertemuan dengan para penerbit di sana membuka mata dan minda.
Dalam lawatan kerja ini juga pihak kami bertemu dengan tambahan beberapa lagi penerbit yang sebelum ini belum pernah bertemu dan berbincang. Para penerbit baru yang kami temui antaranya adalah PT Syaamil dan PT Salamadani. Kedua-dua penerbit ini antara penerbit yang mula diperkatakan oleh industri buku Indonesia. Tambahan pula PT Salamadani diterajui oleh orang ‘kuat’ industri buku, Bapak Bambang Trimanshah yang pernah mengendalikan penerbitan MQS Indonesia. Pertemuan bersama mereka membuka ruang baru kerjasama di antara PTS dengan penerbit Indonesia.
Sebelum ini pihak PTS sudah bekerjasama dengan beberapa penerbit Indonesia iaitu :
- Mizan Group (Penerbit no. 2 terbesar di Indonesia)
- Gramedia (Penerbit terbesar Indonesia)
- Penerbit Mutiara Qolbun Salim (MQS)
- Penerbit Republika
- Penerbit Pena Pundi Aksara
Jadi pertemuan ini memberikan ruangan baru kerjasama dengan penerbit Indonesia.
Dalam lawatan kali ini saya melihat industri buku di Indonesia adalah dunia buku berkonsep. Pada masa dahulu para pembaca buku Indonesia memilih buku berdasarkan pengarang. Buku-buku pengarang besar menjadi pilihan utama pembacaan mereka. Ini menyebabkan para penerbit Indonesia berusaha melesen banyak karya tulisan penulis besar dunia. Nama-nama seperti Anthony Robbins, John Gray dan ramai lagi menjadi resepi utama penjualan buku mereka.
Namun begitu sekarang tidak lagi. Pembaca buku sudah mula memilih judul dan konsep. Buku yang berkonsep jelas dan memenuhi citarasa mereka itulah pilihan utama. Disebabkan itu para penerbit Indonesia mula melihat ruang-ruang kerjasama baru dengan negara jiran seperti Malaysia. Mereka tidak perlu lagi mencari pengarang besar dari negara eropah, cukup mencari karya yang baik daripada negara terdekat.
Perkara ini dapat dilihat jelas apabila pihak PTS menawarkan karya-karya terbitan kami kepada mereka. Karya-karya yang konsepnya menarik dan penyampaiannya membumi menjadi pilihan mereka. Karya-karya yang biasa-biasa tidak dipegang dan dipandang pun.
Pada pandangan saya ini adalah peluang dan cabaran buat para pengarang Malaysia.
Peluang kerana ia memberikan ruang kepada karya Malaysia yang berkualiti memasuki pasaran lebih besar. Rakyat Indonesia dianggarkan 270 juta. Di Jakarta sahaja jumlah penduduknya 24 juta. Ruangan cukup besar buat penulis Malaysia.
Cabaran buat para penulis Malaysia menghasilkan karya yang lebih baik dan berkualiti. Konsep jelas, penyampaian mesra pengguna, praktikal dan universal. Hanya karya yang sebegini membuka ruang lebih global buat para penulis.
Karya Terbaru PTS Millennia Yang Sudah Diterbitkan Di Indonesia
November 18, 2007

Ini buku 7 Formula Individu Cemerlang versi Indonesia


