Tip Menulis 1 : Pilih Skop dan Bidang

October 31, 2007

Apabila kita sebut menulis, sebenarnya ia bergantung kepada masing-masing individu. Teknik yang digunakan oleh seseorang individu berkemungkinan tidak bersesuaian dengan individu yang lain. Di sini saya hanya menyenaraikan tip-tip penulisan yang boleh diikut bersesuaian dengan apa yang kita rasa. Jika kita berasa ia sesuai dengan kita, gunakan. Jika tidak tinggalkan.

Pertama sekali penulis perlu memilih apakah sebenarnya bidang yang ingin ditulis. Cuba kecilkan skop, namun begitu jangan sampai ia membekukan idea kita. Sebagai contoh, seseorang yang ingin menulis dalam bidang motivasi. Pilih motivasi apa yang ingin dibuat. Motivasi ibu bapa, motivasi pelajar, motivasi Islam dan sebagainya. Daripada motivasi-motivasi tersebut kecilkan sedikit, teknik belajar, motivasi perubahan. Kesemua ini penting sebagai skima penulisan kita hingga ke masa hadapan.

Ia juga memudahkan kita mempakejkan diri kita sebagai apa. Apabila kita ingin menjadi pakar pengurusan, perlulah menulis buku dalam bidang tersebut. Pakar bisnes dalam bidang bisnes dan seterusnya. Tentu ada yang bertanya bolehkah saya pilih lebih daripada dua bidang. Boleh dan tidak boleh!

Belon hidup kita mempunyai kapasiti yang sama. Jika kita sebut kapasitinya adalah 100 maka itulah maksimumnya. Jika kita mengambil dua bidang maka kita perlu membahagikan belon tadi kepada dua bahagian. Ia tidak termasuk dibahagikan kepada pekerjaan, keluarga, masa santai dan sebagainya. Jadi apabila kita memilih lebih daripada satu, maka banyaklah masa dan tenaga yang perlu dibahagikan. Hingga akhirnya kita semput sebab tidak cukup udara bagi bernafas. Terus kita letih dan tinggalkan. Biar fokus kepada satu dahulu. Baru kita tengok yang lain jika ada keperluan.

Unit Komik Malaysia Dengan Rasminya Ditubuhkan di PTS Millennia Sdn Bhd

October 30, 2007

Sebelum ini ramai peminat komik negara tertanya-tanya mengenai status Komik Malaysia di PTS Millennia Sdn Bhd. Ramai yang membuat pelbagai tanggapan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ada yang mengatakan Komik Malaysia dibatalkan, ada yang kata tidak mungkin wujud unit komik di PTS Millennia dan pelbagai lagi.

Pada hari ini saya dengan rasminya mengumumkan penubuhan unit Komik Malaysia di PTS Millennia Sdn Bhd. Unit ini diletakkan di bawah editor berpengalaman iaitu saudara Wan Zuhairi Wan Zainuddin, seorang individu yang terkenal dalam mewujudkan komik underground Islami , Alwan Comics (www.alwancomics.com). Sebelum ini beliau bertugas sebagai editor kreatif dan kini beliau diubah ke unit Komik Malaysia sebagai editor pengurusan.

Di samping itu juga pihak PTS Millennia Sdn Bhd dengan rasminya melantik seorang konsultan yang akan memberikan khidmat nasihat terutamanya daripada sudut editorial komik. Beliau merupakan seorang yang cukup lama berkecimpung di dalam dunia penerbitan komik Malaysia. Pernah bertugas sebagai ketua unit majalah di salah sebuah syarikat penerbitan majalah berbentuk humor dan komik. Apabila disebut namanya sudah tentu para peminat komik kenal. Beliau yang saya maksudkan adalah saudara Rodin ataupun terkenal dengan nama Brader Macho di Majalah Blues Selamanya (hello-bebeh.blogspot.com). Beliau yang akan memantau daripada sudut editorial komik-komik terbitan PTS Millennia Sdn Bhd.

Gabungan dua tenaga hebat dunia komik ini memberikan impak yang baik untuk Unit Komik Malaysia PTS Millennia Sdn Bhd. Kepada para pelukis komik dan pembuat jalan cerita komik yang berminat untuk mengetahui lanjut mengenai perkara ini, boleh terus menghubungi saudara Wan Zuhairi di talian 016 6611 549 ataupun email terus kepada wanzu@pts.com.my. Bagi yang ingin menghantarkan karya anda bagi tujuan penilaian boleh terus mengirimkannya kepada

PTS Millennia Sdn Bhd
9-1 & 11-1 Jalan Wangsa Setia 3
Wangsa Melawati
53300 Kuala Lumpur
No. Telefon : 03 4142 7413/16
No. Faks : 03 4142 7415

Bagi yang berminat untuk mengetahui konsep Komik Malaysia PTS Millennia Sdn Bhd boleh memuat turun proposal Komik Malaysia di ruangan Muat Turun di navigasi atas.

Suasana Nostalgia Yang Menimbulkan Pelbagai Ilham

October 29, 2007

Saya baru sahaja tiba daripada Kedah selepas beberapa hari di sana menyertai keluarga bagi beberapa aktiviti di sana. Antara program yang dihadiri di sana adalah majlis pertemuan pelajar-pelajar Tua Sekolah Tengku Abdul Halim. Ayah saya merupakan salah seorang daripada murid tua kelas khas Melayu (Special Malay). Kelas ini adalah ruangan disediakan memberikan pendidikan dalam bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar dari kawasan kampung. Pada zaman beliau pelajaran dalam bahasa Inggeris hanyalah diberikan kepada mereka dari kelas masyarakat elit. Inisiatif beberapa murid lama berjaya menganjurkan majlis ini di Hotel Seri Malaysia Alor Setar, Kedah. Daripada 42 orang pelajar, 8 sudah meninggal, 20 yang hadir selebihnya tidak dapat menghadirkan diri.

Majlis yang dianjurkan amat menarik dan acara yang paling menarik adalah ucapan setiap bekas pelajar yang hadir. Semuanya mengimbau kembali sejarah mereka zaman sekolah dahulu. Cerita suka, duka, gembira, gelak tawa dan banyak emosi yang dikongsikan dalam ucapan tersebut. Setiap seorang bercerita kisah kenangan yang pada pandangan saya amat menarik dan membumi. Menarik memang menarik.

Saya merasakan inspirasi yang sama diterjemahkan oleh Andrea Hirata dalam karya tulisannya Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi. Kisah-kisah zaman sekolah, watak-watak kecil dan cilik menjadikan pembacanya berasa kembali ke zaman silam. Berkongsi nostalgia yang sama dengan kita. Walaupun latar dan tempatnya berbeza, namun begitu kita boleh kaitkan dengan masa silam kita. Ini pun satu lagi idea menarik bagi penulis novel.

Menulis Meningkatkan Imej di Mata Umum

October 25, 2007

Sehari dua ini saya bertemu dengan beberapa selebriti dan syarikat pengurusan artis. Kebanyakannya bagi membincangkan kebarangkalian mengadakan hubungan kerjasama dua pihak bagi memeriahkan lagi dunia penerbitan buku.

Antara soalan yang ditanyakan kepada saya

Apakah faedahnya kepada seseorang artis apabila mereka menulis buku?

Soalan ini boleh dijawab daripada pelbagai perspektif. Namun begitu berdasarkan pengkajian saya mengenai dunia penulisan, perkara yang paling besar faedahnya adalah meningkatkan imej artis tersebut.

Di barat, kita dapat melihat ramai nama besar dalam dunia lakonan, nyanyian dan komedi mula menulis buku, dan yang lebih menarik genre pilihan mereka adalah buku kanak-kanak. Ini pada mulanya agak mengejutkan, namun begitu tak lama selepas itu, lebih ramai artis menceburkan diri dalam penulisan buku kanak-kanak ini.

Daripada artis sensasi, Madonna, Britney Spears hinggalah penyanyi lelaki Michael Bolton. Mengapakah mereka berlumba-lumba menulis buku? Hinggakan laporan New York Times mengatakan bahawa rak buku dipenuhi dengan buku tulisan selebriti.

Imej! Sesetengah mereka ini terkenal sebagai artis yang bermasalah. Bagi membetulkan ataupun mengubah perspektif orang awam kepada mereka, mereka menulis buku. Apabila begitu imej mereka dilihat lebih baik dan bersih.

Di Malaysia, golongan artis dilihat sebagai golongan yang kurang intelek, kurang berilmu, lebih banyak menimbulkan kerosakan dan sebagainya. Ruangan penulisan sebegini pada pandangan saya seharusnya dimanfaatkan. Bukan bermaksud kita cuba mengaburi tanggapan sebegini. Sebenarnya ramai di kalangan mereka ini daripada golongan berpendidikan tinggi. Sebagaimana yang saya temui baru ini, Kevin Zahari, seorang yang terkenal sebagai seorang pakar kecergasan dan pernah muncul sebagai pengajar di Akademi Fantasia. Rupa-rupanya beliau adalah pelajar cemerlang, mendapat biasiswa Proton bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat. Mengejutkan bukan?

Mereka ini mempunyai golongan peminatnya yang tersendiri. Jadi ruangan penulisan boleh memberikan impak yang baik kepada masyarakat. Memberikan panduan, motivasi, inspirasi dan mengubah persepsi masyarakat kepada dunia artis. Jika Anda seorang selebriti dan ingin menulis buku, jangan lepaskan peluang ini. Tiada idea? Hubungi PTS Millennia Sdn Bhd, InsyaAllah kita boleh membantu :)

Idea-idea Menulis Daripada Berjalan Raya

October 24, 2007

Fuh!! Memang banyak perkara perlu diselesaikan selepas pulang daripada bercuti lama. Ini pun ada beberapa perkara yang masih lagi tertangguh dan perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini juga. Walaubagaimapun kesempatan yang terluang perlu dimanfaatkan walaupun singkat.

Pulang daripada bercuti raya ini sebenarnya menyebabkan terdetik sesuatu di minda saya, banyak perkara yang boleh ditulis hasil menziarahi rakan, saudara dan jiran pada hari raya.

Saya ingat jika saya berminat hendak menulis novel, tentu sudah lengkap jalan ceritanya. Saya mendengar pelbagai cerita semasa berbicara dengan rakan, saudara dan taulan. Daripada cerita anak-anak, cerita orang berkahwin, cerita orang bercerai, cerita orang lari, cerita orang mati dan banyak lagi. Setiap satu rumah yang dilawati pasti ada cerita menarik yang didengari.  Cerita menusuk kalbu, cerita sedih, cerita gembira, cerita menggeramkan dan banyak lagi.

Pakar-pakar motivasi pula tentunya boleh menjadikan bahan-bahan ini sebagai salah satu daripada pengisian buku motivasi mereka. Kisah benar ditambah dengan penerangan kaedah penyelesaian cadangan. Tentu banyak buku yang terhasil daripada raya ini.

Cara Menghantar Manuskrip Kepada Penerbit

October 21, 2007

Wah! Lama betul berehat, selepas bercuti seminggu perlukan menjana kembali enjin bekerja. Momentum kerja pastinya perlahan dan ini memerlukan pemantapan semula minda bekerja. Kepada para pelawat yang tetap setia berkunjung ke laman ini saya ucapkan terima kasih.

Walaubagaimanapun pada pandangan saya cuti ini adalah cukup produktif. Mengapa? Saya berjaya mencuri masa mereka bentuk dua laman web kelolaan saya iaitu yang pertama, www.mailjah.com : Laman Web yang saya bina khas buat keluarga sebelah ibu saya dan satu lagi laman peribadi saya dan isteri : www.raudhatunnaim.com.

Baiklah, kita kembali kepada penerusan perjuangan jihad pena, ramai yang mengirimkan kepada saya email dan diskusi di laman ini mengenai cara sebenar untuk menghantarkan manuskrip kepada penerbit.

Bagi setiap penerbit, mereka mempunyai kaedah mereka tersendiri. Namun begitu apa yang boleh saya terangkan di sini adalah kaedah yang digunakan oleh PTS Millennia Sdn Bhd, syarikat yang saya uruskan.

Kita di PTS Millennia Sdn Bhd lebih berminat bekerjasama dengan para penulis daripada awal penghasilan manuskrip. Maksud saya daripada peringkat tiada manuskrip lagi atau peringkat idea lagi. Para penulis yang berminat untuk menerbit karya tetapi tidak memulakan apa-apa atau mempunyai ide, kami sarankan terus hubungi pihak PTS Millennia. Anda semua boleh menghubungi editor-editor perolehan saya mengikut pengkhususan bidang yang dipilih :

  1. En. Muhammad Ikram Muhammad Nor Wazir di talian 0166611649 ataupun emailnya : ikram@pts.com.my. Beliau menguruskan buku dalam bidang pembangunan diri, motivasi, Islam Kontemporari, langkah demi langkah dan bisnes self help.
  2. Cik Nurul Hafizah Mokhtar di talian 0166611764 ataupun emailnya : nurulhafizah@pts.com.my. Beliau menguruskan buku dalam bidang novel Islami, pembangunan keluarga, wanita & imej, kesihatan dan pembangunan diri remaja.
  3. En. Wan Zuhairi Wan Zainuddin di talian 0166611549 ataupun email : wanzu@pts.com.my. Beliau menguruskan produk Komik Malaysia.

Bagi yang sudah mempunyai idea, pihak kami sarankan pihak Anda terlebih dahulu menyediakan kertas kerja cadangan penulisan buku (panduannya boleh didapati di ruangan muat turun). Kirimkan kepada kepada kami dan selepas itu pihak kami akan menghubungi Andan bagi proses seterusnya.

Bagaimana yang Sudah Ada Manuskrip?

Tak perlu gusar, pihak kami tetap menerima manuskrip yang sudah siap bagi tujuan penilaian. Kirimkan kepada kami salinan lembut (softcopy) dan salinan keras (hardcopy) kepada kami di alamat

PTS Millennia Sdn Bhd
9-1 & 11-1 Jalan Wangsa Setia 3
Wangsa Melawati
53300 Kuala Lumpur
No. Telefon : 03 4142 7413/16
Email : editorial@ptsmillennia.com

Manuskrip Anda akan dinilai terlebih dahulu dan selepas itu pihak kami menghubungi Anda bagi proses seterusnya.

Jelas? Ada sebarang persoalan boleh terus email kepada saya di jurulatih@akademipenulis.com.

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin

October 13, 2007

Saya bagi pihak Akademi Penulis Karya Bestseller & PTS Millennia Sdn Bhd khususnya dan Kumpulan PTS amnya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua individu beragama Islam. Kehadiran Syawal merupakan satu anugerah kepada perjuangan sebulan melawan nafsu. Keberkatan Ramadhan digabungkan dengan cahaya Syawal memberikan anugerah tiada terhingga buat semua.

Pihak kami juga ingin memohon jutaan ampun dan maaf di atas salah silap, yang sengaja dan tidak sengaja, yang sedar dan tidak, yang terlebih cakap dan sebagainya. MAAF ZAHIR & BATIN.

Akademi ini juga akan berhenti operasinya bersempena dengan cuti hari raya dan InsyaAllah beroperasi sepenuhnya pada 22 hb. Oktober 2007. Semoga kita semua mendapat barakah hasil latihan UNIVERSITI RAMADHAN.

Selamat hari raya, maaf zahir & batin. Bagi melihat kad raya PTS versi Flash boleh klik di pautan ini.

PTS Millennia Sdn Bhd & Kumpulan PTS Mula Bercuti

October 11, 2007

Hari ini adalah hari terakhir syarikat Kumpulan PTS bekerja. Esok operasi PTS ditutup dan dibekukan sementara waktu bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri. InsyaAllah pihak kami beroperasi sepenuhnya pada 22 hb Oktober 2007. Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh terus diemailkan kepada editorial@pts.com.my ataupun editorial@ptsmillennia.com

Ini sudah menjadi tradisi sejak dahulu lagi. Hari raya Aidilfitri adalah ketika pihak PTS memberikan ruang kepada para pekerjanya untuk pulang ke kampung. Bercuti lama sedikit, segarkan minda, tenangkan jiwa bersama keluarga. Agar semua dapat kembali dengan semangat baru, jiwa baru, fikiran lebih segar bagi menghadapi cabaran seterusnya.

Saya sendiri sudah mula bercuti semalam. Bersama keluarga membuat persiapan berhari raya. Hari ini mencari buluh lemang untuk membuat persiapan sebelum malam raya. Sudah menjadi tradisi keluarga sejak setahun dua ini, lemang dibakar sendiri di rumah. Lebih meriah dan hasilnya lebih sedap berbanding dengan yang dibeli. Rendang ayam dan daging juga tidak dilupakan sebagai menu bersama dengan lemang. Kuih muih lain dibeli daripada pembekal yang diakui kualitinya dan kesedapannya.

Anda semua pastinya sudah bersiap sedia menghadapi 1 Syawal. Pada tahun ini agak sederhana, baju raya untuk keluarga dan diri sendiri dibeli sepasang dua. Tidak terlampau mewah tetapi cukup untuk menceriakan hari raya. InsyaAllah pada hari pertama berhari raya di Bentong, Pahang kediaman rasmi saya. Malam harinya baru bertolak ke Perak dan esoknya terus ke rumah mertua di Kedah Darulaman.

Semoga hari raya ini memberikan keberkatan kepada semua. Selamat hari raya, Maaf Zahir & Batin.

Ayat MengeBoss Melawan Ayat Menerang

October 10, 2007

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita menemui 1 Syawal. Ada yang bergembira dan ada yang sedih. Yang bergembira mengatakan inilah hari merayakan perjuangan Ramadhan. Hari kemenangan. Bagi yang bersedih, mereka ini amat sayangkan Ramadhan, bulan penuh barakah. Ketakutan dan kebimbangan mereka tidak bertemu Ramadhan di masa hadapan.

Hari ini saya mendapat satu email yang pada pandangan saya amat menyakitkan hati. Email yang mengeBoss. Mungkin niatnya tidak bermaksud begitu namun begitu ayat-ayat yang digunakan menggambarkan ‘engkau orang bawah aku boss‘. Walaupun sebenarnya tidak begitu.

Ini yang kadangkala para penulis tidak sedar mengaplikasikannya dalam penulisan masing-masing. Bahasa-bahasa yang sebegini menjadikan para pembaca merasa diri seumpama diajar-ajar dan disuruh-suruh. Apabila begitu, hati mereka menjadi sakit hati. Dalam fikiran mereka ada ayat yang menyatakan “E eh!!! Bodoh sangatkan aku ini?

Ini yang perlu dielakkan dalam penulisan buku. Mungkin kita boleh telitikan dua ayat di bawah ini.

1. Pastikan barang ini dapat sampai ke tangan pengguna.

2. Pohon kerjasama Anda agar memastikan barang ini dapat sampai ke tangan pengguna.

Apakah perasaan kita apabila membaca ayat pertama dengan kedua? Tentu ada yang mengatakan ayat pertama itu nampak sebagai arahan. Yang kedua memohon kerjasama. Mana yang kita merasa dihargai? Tentu yang kedua bukan?

Ini mungkin sebagai peringatan kepada diri saya dan Anda yang membaca. Dalam menulis sebarang pernyataan perlu fikir dahulu apa kesan pernyataan tersebut kepada orang yang menerima dan membacanya. Apabila bahasanya baik, orang berasa dihargai. Kita dihormati dan kredibiliti juga meningkat.

Pengurusan Fail Digital : PENTING! SANGAT PENTING!!

October 8, 2007

Saya teringat pada masa zaman muda-muda dahulu (sekarang masih muda :) ). Ketika itu PTS hanya ada satu-satu editor perolehan iaitu saya. Ada satu kes yang sehingga sekarang saya selalu ceritakan kepada para peserta bengkel penulisan di mana sahaja saya dijemput. Ada seorang pengarang dari sebuah IPTA tempatan. Beliau sudah berjanji dengan saya ingin menghantarkan manuskripnya kepada saya dalam minggu tersebut. Saya sudah maklumkan keperluan baginya menghantarkan kepada pihak kami salinan digital (softcopy) dan salinan keras (hardcopy) bagi memudahkan para editor menguruskannya. Beliau faham.

Apabila sampai kepada tarikh yang dijanjikan, saya menghubungi beliau sehari sebelumnya bagi menetapkan temu janji. Kemudian ada satu suara di hujung talian yang berat bunyinya. Suara orang yang tidak sihat, boleh dibayangkan daripada suara tersebut dia sedang mengalami demam selsema yang teruk. Saya bertanya

“Apa khabar Puan? Ini Fauzul. Hendak bertanya mengenai manuskrip yang Puan janjikan”

Jawapan suara tersebut,

“En. Fauzul. Saya ini sedang demam teruk ini. Minggu lepas lagi saya sudah siapkan manuskrip yang saya janjikan kepada En. Fauzul”

Berhenti sekejap menarik nafas. Bunyi tarikan nafas hidung berair.

“Yang sedihnya, pada hari semalam. Saya buka komputer saya di pejabat. Buka fail yang saya siapkan itu, kesemua manuskrip berjum 250 halaman itu hilang isinya. Bukan sahaja fail itu, tetapi kesemuafail lain dalam komputer saya juga hilang isinya. Petang baru saya tahu, seluruh komputer di fakulti saya diserang virus tegar. Habis fail-failnya dimakan virus. Saya terus lemah badan kaki. Usaha berbulan-bulan menyiapkan manuskrip ini terasa sia-sia sahaja.”

“Puan tidak simpan sebarang salinan lain Puan?”

“Tidak! Sebab saya merasakan tempat paling selamat adalah di komputer saya di pejabat”

Saya terdiam.

Ini adalah salah satu daripada pelbagai kes yang berlaku di kalangan para penulis amnya dan PTS khususnya. Masalah pengurusan fail digital.

Fail manuskrip adalah harta intelek yang tidak dapat dijual beli. Bukan boleh dibeli di MyDin, Carrefour, Giant dan Hypermart lain seluruh dunia. Ia adalah perkara paling penting bagi seseorang penulis. Sekali hilang demam sebulan. Mungkin demam bertahun. Hingga boleh menyebabkan lemah semangat dan putus asa.

Oleh itu para pengarang, kita perlu beringat mengenai perkara ini. Ada beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku.

  1. Pastikan fail-fail tersebut dilabelkan dengan baik. Agar tidak bercampur dengan faik-fail lain.
  2. Pastikan fail-fail digital itu disimpan dalam komputer dan storan-storan digital lain seperti cakera padat, DVD, cakera keras mudah alih dan sebagainya.
  3. Pastikan fail yang disimpan itu hanya berada dalam satu tempat sahaja contohnya dalam satu rumah atau satu bangunan. Buatkan salinan di banyak tempat supaya apabila satu bangunan itu terbakar ada simpanan di bangunan lain.
  4. Cara terbaik simpan dalam email ataupun storan dalam server hosting (jika ada)

Ini satu peringatan yang PENTING! SANGAT PENTING!

Next Page »