Buku Teks 100% Percuma : Kesan Kepada Kedai Buku dan Penerbit

September 30, 2007

Ramai yang bersyukur apabila kerajaan mengumumkan di dalam bajet 2008 bahawa buku teks percuma buat semua pelajar bermula 2008. Perkara ini apabila dilihat daripada perspektif masyarakat umum amat baik dan sedikit sebanyak mengurangkan beban perbelanjaan awal pendidikan anak-anak. Namun begitu orang tidak pernah bertanya apakah pandangan industri buku mengenai perkara ini. Adakah ia bagus ataupun bagaimana. Di bawah saya kongsikan pandangan Presiden PTS, En. Arief Hakim Sani Rahmat mengenainya. Ini dipetik daripada blognya ariefhakim.blogspot.com

Oleh Arief Hakim Sani Rahmat, Presiden Kumpulan PTS

Pengumuman perdana menteri dalam bajet 2008 diterima dengan seronok oleh ramai ibu bapa.

Masalah Cash Flow.

Sebaliknya ramai penjual buku, dan penerbit yang rasa seperti nak demam. Jualan buku teks pasaran terbuka sangat penting kepada turnover kedai pada hujung tahun. Bila jualan ini hilang, maka kedai buku akan mengalami cash flow problem yang bukan sedikit. Bila kedai buku kena krisis aliran tunai, penerbit juga akan terpukul. Bayaran kepada penerbit akan dilambatkan.

Bagi kedai buku yang banyak menjual kepada pasaran sekolah cina, jumlah jualan yang hilang sangat besar. Dianggarka sekolah cina hanya menerima lebih kurang 60% bantuan SPBT. Bakinya semua beli sendiri.

Bagi sekolah kawasan bandar, dianggarkan 70% menerima SPBT. Bagi kedai buku di pendalaman, kesannya tidak begitu teruk, kerana hampir 99% sekolah kampung menerima bantuan SPBT.

Bahaya Kerugian Untuk Petender Kedai buku Sekolah.

Tender bagi menjalankan kedai buku sekolah sudah ditandatangani di banyak sekolah. Kedai-kedai buku yang agresif, sanggup membayar sehingga RM10 permurid untuk mendapatkan tender membuka kedai dalam kawasan sekolah. Ini berdasarkan anggaran bahawa mereka akan dapat menjual buku teks, buku kerja, bahan tamabahan dan alat tulis. Kini komponen terbesar buku teks sudah hilang.

Ada kedai buku yang akan hilang duit tahun ini. Kesannya bayaran kepada penerbit akan terjejas.

Surat Pekeliling Melarang Jualan Buku Latihan Tambahan di Sekolah.

Surat pekeliling ini sudah lama ada. Tetapi pelaksanaannya selalu tidak menjadi. Malah tahun lepas, menteri sendiri sudah melarang jualan buku latihan tambahan, tetapi di tarik balik pada saat-saat akhir atas rayuan penerbit dan penjual buku.

Nampaknya tahun ini akan keluar lagi, dan kemungkinan akan dikuatkuasa dengan tegas. Ada 2 JPN negeri yang sudah menghantar surat pekeliling ini. Maknanya, satu lagi cash flow kedai buku akan terputus.

Mencari Remedi Mengatasi Masalah Ini.

Penerbit dan penjual buku perlu berganding bahu mencari jalan manarik orang ramai, ibu bapa dan pelajar masuk ke kedai semula hujung tahun ini. Jika tidak, ada kedai buku yang mungkin gulung tikar.

Kedai buku adalah satu komponen dalam supply-chain buku yang sangat penting. Jika kedai buku tumbang, maka saluran utama menyampaikan buku kepada masyarakat akan putus.

Kedai buku yang tidak terjejas.

Ada beberapa jenis kedai buku yang tidak terlibat sama sekali dengan krisis ini;

  1. Kedai buku agama - langsung sama sekali tidak menjual buku teks. Bisnes seperti biasa.
  2. MPH/Kinokuniya - juga tidak mementingkan buku teks.
  3. Kedai majalah - mungkin naik. Orang punya lebih banyak wang untuk berbelanja.

Keputusan ini juga beri impetus kepada pertemuan MABOPA (persatuan penerbit) - MBA (persatuan penjual buku) yang sudah lama tidak berlaku.

Antara keputusan paling penting dalam pertemuan ini adalah deklarasi bahawa MBA perlu berubah.

Kebanyakkan ahli MBA adalah pekedai buku sekolah. Cabang bisnes utama mereka adalah

1. Buku teks
2. Buku kerja
3. Alat tulis.

Kini bisnes buku teks sudah hilang. Dianggarkan bahawa kerajaan membelanjakan tambahan sebanyak rm30 juta untuk melaksanakan skim buku teks percuma 100%. Bermakna jualan pasaran terbuka sebanyak rm30 juta telah hilang dari kedai buku.

Tetapi, kerugian yang lebih besar bukan buku teks. Saya mengambil anggaran bahawa ibubapa yang masuk ke kedai buku membelanjakan 3 kali lebih banyak untuk membeli alat tulis, beg sekolah, buku kerja, kamus dan lain-lain bahan untuk anak mereka. Setiap rm1 jualan buku teks, ada rm3 jualan berkaitan yang berlaku.

Ini bermakna sebanyak rm 120 (buku teks = rm30 juta dan jualan berkaitan = rm90 juta) jualan setahun berisiko hilang dari kedai buku musim buka sekolah hujung tahun ini. Jika kita ambil secara konservatif, 50% sahaja - maknanya ada rm60 juta jualan berisiko hilang dari kedai-kedai buku seluruh negara.

Presiden MBA membuat deklarasi bahawa penjual buku perlu berubah. Mereka mesti membina cabang bisnes baru. Beliau menggariskan 3 cabang bisnes;

1. buku kerja (kekal)
2. alat tulis (kekal)
3. general book (baru)

Dalam kes ini, general book ditakrifkan sebagai novel, buku agama, dan buku motivasi.

Pada pendapat saya, deklarasi beliau adalah ground breaking kepada semua penerbit general book. Kita selama ini mengharapkan banyak kedai-kedai buku sekolah untuk menjual buku umum - tetapi ini tidak berlaku. Kedai buku sekolah ini hampir sahaja kita panggil sebagai dinosour kerana keengganan mereka untuk berubah.

Kita tidak boleh tolak, selama ini tidak ada dorongan untuk mereka berubah. Bisnes buku teks/buku latihan ini menarik kerana sifatnya yang konsisten, berisiko rendah, dan hampir-hampir sahaja bersifat monopoli terutamanya di bandar-bandar kecil. Kedai buku berangkai seperti MPH & Popular tidak membuat servis ke sekolah - mereka hanya fokus kepada segmen retail. Malah, hubungan kedai buku dengan sekolah sangat rapat, sehingga dituduh kronisme.

Ada 2 soalan besar atas seruan untuk berubah ini;

1. Siapa yang akan berubah, siapa yang akan kekal business as usual?
2. Adakah mereka akan melabur dalam melatih kakitangan untuk menjual buku umum, membuat renovasi dalam kedai, dan memberi komitmen untuk bertukar kepada jualan retail?

Jika mereka mahu berubah, bolehkah kedai buku indie ini berlawan dengan gergasi kedai buku berangkai yang sudah lebih lama menguasai pasaran retail?

Apakah Sebenarnya Konsep Akademi Penulis Ini?

September 30, 2007

Bagi yang sudah lama berkunjung ke sini, mungkin sedikit sebanyak mengenali tulisan saya di sini. Bagi yang baru masih tertanya-tanya apakah sebenarnya wujud akademi ini? Ramai yang mengemail saya bertanya sama ada perlu mendaftar diri, bagaimana hendak mendaftar diri, di manakah kelasnya, di manakah terletaknya akademi ini dan banyak lagi.

Bagi yang baru melintas akademi ini, Akademi Penulis Karya Bestseller adalah sebuah akademi online dan virtual yang saya wujudkan bagi berkongsi pengalaman dan perkara seharian dalam dunia penerbitan buku. Pengalaman menjadi seorang penerbit sejak usia muda hinggalah sekarang. (Tak tua lagi :)) Apa yang berlaku dalam dunia penerbitan semasa. Apa yang berlaku di sekeliling dunia buku.

Kalau dalam istilah inggeris ini lebih kurang seperti CEO’s Blog. Cuma saya ini bukanlah seorang CEO, cuma pengurus kecil yang berminat berkongsi sesuatu. :)
Sebarang pertanyaan dan komen saya amat alu-alukan. Anda boleh terus melontarkannya di ruangan diskusi. InsyaAllah saya berusaha mencari masa menjawab dan memberikan maklum balas.

Mengenai latihan, InsyaAllah saya dalam proses merancang program latihan pengarang khusus buat yang berminat dalam dunia penulisan. Anda boleh rujuk dalam ruangan Akan Datang di sebelah kanan atas. Terima kasih kerana sudi melawat akademi ini.

Melihat Sesuatu Perkara Daripada Perspektif Luar Biasa

September 29, 2007

Dalam sesi bengkel yang saya kendalikan, antara perkara utama ditekankan adalah menulis perkara luar biasa. Apabila menyebut luar biasa, ramai terfikir perkara mistik, seram, ajaib dan sebagainya. Bukan begitu. Kita boleh lihat banyak karya yang ditulis oleh para pakar motivasi. Apabila membuka buku tulisan mereka, kita berasa macam pernah terbaca cuma tulisan mereka ini agak unik. Mengapa? Kerana mereka melihat perkara itu daripada perspektif luar biasa.

Sebagai contoh solat. Apabila kita melihat orang menulis buku mengenai tatacara solat, tentu kita berasa ia biasa sahaja. Cuma apabila kita mendengar tajuk seperti Solat Cara Rasulullah. Terasa agak lain sedikit dan kita terasa teringin untuk membeleknya. Walaupun sebenarnya kita bersolat memang mengikut cara Rasulullah.

Kemudian terlihat pula Solat Khusyuk Solat SMART, tentu terasa luar biasanya buku ini. Inilah yang saya nyatakan, sesuatu perkara biasa boleh menjadi luar biasa apabila kita melihat daripada perspektif berbeza. Banyak lagi perkara boleh ditulis mengenai solat. Solat daripada perspektif perubatan, perspektif disiplin, perspektif pengurusan dan banyak lagi.

Bolehkah anda tulis perkara yang luar biasa sekarang?

Mengapakah Manuskrip Saya Ditolak?

September 28, 2007

Semalam selepas selesai solat saya berada di ruang makan rumah membuka komputer riba saya dan membuat gerak kerja yang tidak sempat diselesaikan di pejabat. Anak-anak pun sudah tidur jadi inilah ruangan terbaik menyiapkan kerja.

Tiba-tiba ada satu mesej di Yahoo Messenger daripada seorang pengarang PTS Millennia. Beliau pernah menerbitkan karya pertamanya dengan PTS sebelum ini. Beliau menyapa saya. Beliau menyatakan bahawa beliau ada beberapa kali menghantarkan manuskrip kepada pihak PTS Millennia Sdn Bhd, namun begitu ditolak oleh editor perolehan PTS M. Beliau bertanya mengapakan manuskripnya ditolak?

Apabila manuskrip ditolak, sudah tentu ada beberapa perkara yang ada dalam manuskrip tersebut tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak PTS Millennia. Pihak PTS M amat teliti dalam memilih manuskrip yang ingin diterbitkannya. Ini kerana pihak PTS M ingin menerbitkan karya yang berkualiti, memenuhi keperluan pembaca dan paling penting memberikan manfaat kepada orang lain.

Faktor komersil itu salah satu faktor sahaja, pada pandangan saya ia bukanlah faktor terpenting di sini. Wang dan bestseller dua faktor penting dalam bisnes penerbitan. Itu tidak boleh dinafikan. Tanpa wang pihak PTS M tidak dapat membayar gaji, membayar kontraktor, membayar pembekal dan tidak dapat melabur untuk menerbitkan karya berkualiti yang lain. Bestseller menunjukkan bahawa lebih ramai pembaca dan pembeli yang memanfaatkan karya tersebut.

Antara sebab mengapa karya pengarang ini tidak diterima adalah beliau tidak membuat dan menunjukkan rujukan dibuat secara betul dalam karyanya. Pengarang kadangkala memang menyerahkan manuskrip dengan lengkap termasuklah bacaan tambahan di belakang. Sebagai penerbit kita boleh bezakan satu manuskrip dibuat rujukan ataupun tidak. Walaupun rujukan tambahan dan bahan bacaan tambahan diletakkan di belakang manuskrip, tetapi ia tetap tidak membuktikan manuskrip itu ada penyelidikan mendalam. Antara kriteria yang menunjukkan begitu adalah cara ayat dibuat.

Kita ambil contoh dua ayat di bawah.

Ayat 1

Tidak berapa lama dahulu, seorang pakar astronomi menyatakan bahawa bumi berputar pada paksinya mengelilingi matahari di dalam sistem suria.

dengan

Ayat 2

Pada tahun 1953, seorang pakar astronomi zaman renaisans, Copernicus berjaya menemui bahawa bumi berputar pada paksinya mengelilingi matahari di dalam sistem suria.

Dua ayat di atas konteks dan tatasusun ayatnya sama. Namun begitu yang manakah mempunyai kredibiliti? Tentu yang kedua kerana jelas faktanya, masa, tempat, zaman, siapa dan teorinya. Apabila begini barulah bahan tersebut boleh dikatakan sebagai bahan rujukan ilmiah.

Jika kita hendak menjadi seorang pakar dalam bidang penulisan kita, kita perlu mengambil kira faktor ini sebagai faktor utama dalam persembahan penulisan kita.

Radio 24 Bakal Jadi Radio Industri Buku

September 27, 2007

Semalam sekali lagi saya membawa rombongan ke Radio 24. Ini adalah kali kedua berturut-turut dalam minggu ini saya ke Radio 24. Kali pertama saya membawa Puan Ainon Mohd. dan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hasan. Kali ini saya membawa orang-orang kuat industri buku ke sana. Rombongan semalam terdiri daripada En. Roslan, Penolong Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), En. Arief Hakim, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan Tuan Haji Ishak Hamzah, Pengarah Urusan E-Media Publications Sdn Bhd juga orang kuat Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC).

Semalam kami bertemu dengan Pengurus Operasi Radio 24 Tuan Haji Openg Onn Net dan Tuan Haji Saiee Deris, Editor Radio 24. Banyak perkara yang dibincangkan terutamanya bagaimana industri buku Malaysia dapat bekerjasama dengan pihak Radio 24. Alhamdulillah banyak persetujuan dicapai secara dasar, tinggal kerja-kerja lapangan yang harus dilakukan. Antara perkara yang dipersetujui adalah pihak industri buku diberikan ruangan selama 45 minit seminggu bagi menyampaikan apa sahaja mengenai industri. Program-program yang dicadangkan adalah bicara buku, ulasan buku, kritikan buku, berita industri buku dan top 10 buku minggu ini. Kertas kerja akan disediakan dan diserahkan kepada pihak mereka selepas perkara ini dibawa dalam mesyuarat Majlis Industri Buku Malaysia.

Pada pandangan saya, saya amat berterima kasih kepada pihak Radio 24 atas inisiatif ini. Ini satu ruang bagi industri mewartakan produk di samping mengembangkannya. Ruangan sebegini tidak pernah wujud sebelum ini. Industri buku dipinggirkan dari media massa dan elektronik. Yang ada hanya rancangan tempelan seperti di Selamat Pagi Malaysia dan ulasan buku di akhbar-akhbar. Tidak ada yang memberikan rancangan khusus buat industri sebegini.

Di barat kita dapat lihat bagaimana mereka menggalakkan industri perbukuan. Oprah Winfrey mempunyai rancangan bukunya sendiri. David Lattermann dan ramai lagi, semuanya memberikan ruangan dan platform baik bagi industri buku berkembang. Harapan saya ruangan ini dapat dimanfaatkan dengan baik dan menjadi pemangkin kepada kebangkitan industri buku Malaysia. Tahniah Radio 24.

Melihat Perkara Dari Kaca Mata Berbeza

September 26, 2007

Semalam Dr. Tengku Asmadi bertandang ke pejabat editorial PTS bagi mengambil kad raya khas penulis bestseller. Di bawah program kesetiaan penulis, pihak PTS tahun ini memperkenalkan kad raya buat pengarang yang mana buku-bukunya berada di kedudukan top 10 keseluruhan jualan Kumpulan PTS. Alhamdulillah buku karangan Dr. Tengku Asmadi, Motivasi Alihan Pelajar berjaya mengungguli carta tersebut.

Kebetulan pada masa yang sama Puan Ainon Mohd., pengerusi Kumpulan PTS turut berada di sana. Pada pagi harinya saya bersama beliau dan Profesor Emeritus Abdullah Hasan ke Radio 24, Radio BERNAMA di Wisma BERNAMA.

Pertemuan dua pakar ini menjadi mewujudkan pertukaran minda menarik. Antara perkara dibincangkan adalah penulisan buku-buku motivasi yang di luar kebiasaan pemikiran pengarang Malaysia. Antara topik dicadangkan untuk ditulis oleh Dr. Tengku Asmadi, bagaimana menghadapi kegagalan dan menghadapi kekecewaan.

Para pelajar sekarang sentiasa disuruh jangan gagal, berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan. Jarang diterangkan cara menghadapi kegagalan. Bangun kembali selepas gagal. Ini kemahiran yang tiada pada diri guru Malaysia. Apabila gagal diletakkan di kelas tercorot. Para pelajar tersebut semakin jatuh estim diri dan konsep diri.

Ini satu pandangan dan idea berbeza yang pada pandangan saya, kita melihat sesuatu perkara dari perspektif berbeza. Apabila buku seperti ini ditulis, kita membantu ramai orang dan membuka minda ramai pihak. Saya tidak sabar apakah hasilnya daripada perbincangan semalam. :)

Adakah Bakat Penulisan Datang Semulajadi?

September 25, 2007

Tempoh hari saya semasa mengendalikan sesi motivasi penulisan bersama mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Satu soalan saya lontarkan kepada mereka. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang individu itu tidak boleh menulis. Banyak jawapan yang diberikan. Salah satunya adalah tiada bakat.

Adakah bakat itu datang secara semulajadi? Pada pandangan saya bakat itu datang dalam dua cara. Satu daripada gen dalam diri. Ini adalah turunan daripada gen-gen keluarga kita. Kita boleh lihat berapa banyak orang berbakat besar yang terhasil daripada latar belakang keluarga sebegitu. Bakat sukan, bakat nyanyian, bakat memimpin dan sebagainya. Namun begitu ada juga bapa yang hebat tetapi tidak berjaya menurunkan bakat kepada anak-anaknya. Cuma faktor gen ini masih tidak kuat.

Satu lagi faktor adalah disebabkan latihan. Kita boleh lihat bagaimana Dato’ Sidek, pengasas kepada empayar badminton negara. Beliau melatih anak-anaknya daripada kecil bermain badminton hingga melahirkan juara dunia dalam sukan tersebut seperti Misbun Sidek, Rashid Sidek, Razif dan Jalani Sidek.

Kita kaji balik diri kita, bagaimana kita mempunyai bakat berjalan. Dari kecil emak ayah kita melatih kita bertatih sedikit demi sedikit Ada yang membeli walker bagi membolehkan anaknya berlatih berjalan setiap hari. Hingga akhirnya kita boleh berjalan. Begitu juga bakat menaiki basikal, bakat berenang dan sebagainya.

Dalam menulis juga begitu, kita sendiri perlu mengasah bakat yang ada. Ia sentiasa ada dalam diri, cuma bergantung kepada kita bagi mengeluarkannya. Sesiapa yang mengatakan dirinya tidak berbakat dalam penulisan, ini adalah cabaran kepada Anda semua. Mari kita mula mengasah bakat kita.

Para mahasiswa USIM berlatih menggunakan kaedah KJ Method sebagai teknik menulis mereka.

Perubahan Pada Rupa Laman

September 24, 2007

Bagi pelawat yang selalu melawat ke laman ini pasti sedar bahawa berlaku beberapa perubahan drastik kepada laman web Akademi Penulis Karya Bestseller.

Perubahan ini dilakukan bagi memberikan rasa baru dan suasana baru kepada laman ini. Sebagai penulis, kita perlukan kesegaran bagi menjana lebih banyak idea dan maklumat baru. Diharapkan rupa baru ini memberikan lebih inspirasi kepada diri saya khususnya dan Anda semua amnya.

Remaja Patut Mula Menulis

September 22, 2007

Hari ini Alhamdulillah Tuhan berikan saya kekuatan bagi mengendalikan bengkel dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya memang agak mencabar dengan tidak boleh minum, pergerakan dan ekspresi yang perlu dibuat, kesemua ini sedikit sebanyak mengurangkan gas yang ada.

Hari ini saya menerima kehadiran 23 orang mahasiswa Fakulti Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia bersama pegawai pengiring dari kalangan kaunselor mereka. Idea asal mereka hendak membuat lawatan ke ruangan pejabat editorial bagi melihat aktiviti penerbitan yang dibuat oleh PTS berserta dengan mengikuti bengkel penulisan kendalian PTS.

Oleh sebab hari ini bukan hari bekerja PTS (kami bekerja 5 hari seminggu) jadi mereka hadir bagi mengikuti bengkel penulisan yang mana saya diminta mengendalikannya. Kebiasaannya pihak kami tidak menganjurkan sebarang bengkel penulisan pada bulan Ramadhan. Disebabkan permintaan khas, pihak kami mengadakannya juga. Cuma kali ini separuh hari sahaja.

Mereka tiba ke ruangan bengkel di Sekolah Agama Al-Ikhlas tepat jam 10 pagi. Kesemuanya puteri hanya tiba-tiba muncul seorang putera penyelamat bangsa :). Bengkel berjalan dalam dua sesi, pertama mengenai motivasi penulisan dan seterusnya mengenai Teknik KJ Method : Teknik Menulis Buat Orang Sibuk.

Alhamdulillah hari ini Allah berikan saya kekuatan bagi menyampaikan kedua-dua sesi 4 jam secara terus menerus. Bagi saya ini satu kejayaan dalam bulan Ramadhan. Semangat tiba kerana yang hadir adalah di kalangan para remaja yang mungkin satu hari nanti apabila dilatih bakal menjadi penulis bestseller Malaysia. Ini yang memberikan saya kekuatan menyampaikan juga bengkel hari ini.

Banyak soalan yang diajukan oleh para peserta. Pada pandangan saya mereka ini memang bersemangat untuk menulis kerana soalan-soalan yang ditanya matang.

Pada pandangan saya para remaja sepatutnya mengambil ruangan masa muda sebagai tapak awal menulis. Dalam keadaan hidup yang aktif menjadikan para remaja mempunyai banyak idea boleh ditulis. Suasana, ruang belajar, kawan-kawan, ruangan hidup di rumah, kesemuanya boleh dijadikan bahan tulisan.  Pengalaman yang ada menyebabkan kita lebih matang apabila sudah dewasa. Ayuh orang muda, mari kita mula menulis.

Web Hosting Server Ada Masalah

September 21, 2007

Beberapa hari ini saya tidak dapat mengemaskini laman web ini disebabkan ada masalah di peringkat penyedia servis server web hosting AkademiPenulis.com. Baru hari ini saya boleh membukanya dan menulis artikel ini.

Harap selepas ini tidak berlaku lagi permasalahan sebegini kerana server sudah diubah daripada server di Malaysia ke server di Amerika Syarikat.

Next Page »