Blog Adalah Dunia Minda Peribadi

July 31, 2007

Semasa percutian saya di Tanah Mahsuri, banyak idea yang saya peroleh terutamanya mengenai bisnes dan penulisan. InsyaAllah selepas ini saya akan masukkan satu kategori khas idea-idea penulisan buat para pengunjung laman ini. Mana tahu ada yang berminat hendak mengambil usaha melahirkan bukunya nanti.

Dalam pada itu saya ada mendengar satu berita di saluran televisyen Malaysia, di mana seorang menteri bercakap mengenai blogger dan goblok. Beliau mengatakan di dalam dunia maya ada dua jenis penulis satu blogger dan satu lagi goblok. Yang dikatakan blogger ini adalah mereka yang bercakap mengenai perkara benar dan goblok adalah mereka menjadi penfitnah.

Saya pelik apabila seorang menteri boleh bercakap sesuatu perkara yang seperti beliau tidak faham apa itu blog. Blog adalah suatu ruangan peribadi yang mana individu ingin menulis apa dia rasa, lihat dan fikir. Ruangan penulisannya adalah tanpa batasan. Kesemua yang ditulis adalah pandangan peribadi dan tidak rasmi. Kesemua yang ditulis ini dihantar ke dalam internet tanpa memikirkan sama ada orang hendak baca ataupun tidak. Jika ada yang baca tidak mengapa, orang tidak membaca tak kisah.

Jadi mengapa kita hendak mengawal segala tulisan yang ditulis? Sebelum ini pemimpin negara mengatakan bahawa kita hendak mewujudkan negara bebas bersuara. Namun begitu apabila seseorang penulis menulis sesuatu yang menjentik telinganya terus melatah. Dikatakan penulis blog adalah agen asinglah, pengkhianat negaralah. Sepertimana kata pepatah,

Siapa yang makan cili akan terasa pedasnya.

Penulisan blog perlu bebas, barulah kita boleh menghasilkan sesuatu penulisan yang segar dan kreatif. Ini trend yang baik. Jika tidak mahu baca dan dengar perkara yang tidak popular pada pandangan diri seperti Kak Engku  dan Kak  Ogy

Tutup mata dan tutup telinga.

Menulis Bagi Mencabar Potensi Diri

July 30, 2007

Ramai sahabat saya ketika berada di Universiti Malaya bertanya apakah menyebabkan saya suka membuat banyak perkara baru. Ketika saya di Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, saya akan pastikan semua projek berada di bawah biro seliaan saya adalah projek yang orang tak pernah buat. Daripada projek berbentuk mega hinggalah projek kemasyarakatan, semuanya mencecah nilaian puluhan ribu dan ada ratusan ribu ringgit. Ia berterusan hingga ke zaman pekerjaan, melompat masuk daripada kejuruteraan letrik ke dalam dunia penerbitan. kemudian daripada buta internet hingga membangunkan laman-laman web sendiri. Jawapannya senang sahaja

Ingin mencabar diri sendiri.

Cendekiawan pernah berkata

Seorang manusia cemerlang adalah mereka yang hari ini adalah lebih baik daripada hari semalam. Hari esok lebih baik daripada hari ini.

Kata-kata ini menunjukkan bahawa setiap insan perlu mencabar diri dia bagi mengeluarkan potensi yang ada pada dirinya. Kita tidak boleh statik dalam hidup. Jika kita sebagai seorang pekerja, perlu menggali potensi diri hingga menjadi pekerja kelas pertama. Sebagai pengurus, perlu jadikan organisasinya kelas pertama.

Salah satu cara bagi mencabar potensi diri adalah dengan menulis. Apabila kita menulis kita mencabar minda berfikir, tangan bekerja, mata meneliti, mulut bercakap, telinga mendengar. Semakin banyak kita menulis semakin banyak kita tahu, semakin ramai orang yang kita jumpa, semakin banyak buku dibaca, semakin banyak pandangan orang didengar, semakin banyak kita bertanya. Kesemua ini dapat meningkatkan potensi diri ke tahap paling maksima.

Menggali Potensi Diri Melalui Penulisan

July 29, 2007

Idea bercuti ini memang mengujakan. Terasa hilang segala keletihan minda apabila berada di luar. Cuma hendak cari ruang bercuti ini memang perlukan keteguhan hati. Mesti ada yang pelik mengapa hendak teguh hati untuk bercuti? Apabila memikirkan segala kerja yang berada di pejabat, dengan pelbagai program yang hendak dirancang memang susah hendak meninggalkan pejabat. Saya pernah berkata kepada para staff PTS Millennia saya hendak menutup telefon sepanjang percutian saya. Tetapi tak sampai hati hendak tutup takut ada perkara tergempar yang perlukan buah fikiran saya. Rasa macam hendak tinggalkan laptop tetapi bila terasa kerugian kalau ada perkara baru hendak mencatat ia turut diheret bersama dalam percutian. Jadi walaupun bercuti tetap seperti bekerja. :)
OKlah! Ramai yang cuba melihat potensi dirinya. Apakah kelebihan dan kebolehan diriku. Saya melihat dunia penulisan ini sebagai cara untuk menggali potensi diri. Melalui menulis kita tahu apa kelebihan dan kelemahan kita. Adakah kita cukup ilmu ataupun tidak. Mana yang kurang kita cuba tambahkan, mana yang ada dilebihkan. Kemudian melalui penulisan kita cuba mengeluarkan segala pengetahuan, pengalaman, kebolehan dan dicurahkan di atas kertas. Segala penyelidikan lama-lama digali keluar, tesis, catatan dan banyak lagi semuanya dilihat semula.

Bagi yang merasakan diri rendah diri, tulislah. Estim diri anda meningkat apabila buku anda diterbitkan. Iya! Tak percaya cubalah. Sebab sudah ramai yang begitu.

Adakah Kerana Agungkan Karya Luar Ataupun Buku Kita Kurang Bagus?

July 28, 2007

Saya terpanggil untuk menulis mengenai satu artikel dalam ruangan sastera Khamis, (Rujuk di sini). Ia mengulas mengenai kehebatan jualan karya Harry Porter di seluruh dunia. Namun begitu ada satu petikan yang saya kurang bersetuju. Beliau berkata :

Apa kelemahan dan kekurangan kita sedangkan di Malaysia sedangkan ramai karyawan yang baik dan sarat dengan idea mampu menghasilkan produk seni yang baik.

Jawaban umum yang boleh saya katakan di sini ialah orang Malaysia tidak suka membaca dan masih lagi terus mengagung-agungkan karya asing walaupun kita tahu ia hanya sebuah dongeng dan cereka. Apa yang berasal dari Barat sentiasa terbaik bagi segelintir masyarakat kita.

Orang Malaysia pada pandangan saya bukan tidak membaca, jika tidak membaca bagaimana Harry Porter boleh laris sebegini. Kemudian dikatakan orang kita mengagungkan karya luar. Bagaimana kita hendak mengagungkan karya kita jika tiada karya yang boleh menjadi sebagus Harry Porter. Lupakan tahyul dan tidak sasteranya karya ini. Garapannya dan jalan ceritanya menjadikan para pembaca di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa terkesima apabila membacanya. Satu lagi promosi dan jentera publisiti mereka amat hebat. Saya yakin dan percaya jika ada karya Malaysia yang lebih bagus dengan promosi serta publisiti betul boleh menandingi Harry Porter. Kita lihat novel Malaysia sudah ada mencecah ratusan ribu naskhah terjual di Malaysia.

Kita tiada ruang untuk mempromosikan karya kita. Di televisyen hanya ada rancangan Iqra dan resensi pagi di Selamat Pagi Malaysia sahaja ruangan hebahan bagi karyawan buku. Kempen Galakan Membaca hanya dengan tempelan poster artis duta membaca, program pesta buku dan usaha perpustakaan. Tiada galakan dan insentif kerajaan agar ruangan media televisyen dan radio mewujudkan rancangan khusus mengenai perbukuan. Di barat banyak ruangan. Sebagai contoh jelas Oprah mempunyai rancangan mengenai buku yang dibaca. Dipanggil karyawan-karyawan buku berdiskusi secara terus melalui televisyen. Mana dia artis Malaysia dan Selebriti Malaysia yang ingin berbuat begini. Yang ada Melodi, Gedik Santai dan rancangan hiburan lain.

Wahai pembuat dasar! Kita perlukan peranan Anda untuk memastikan dunia perbukuan harmoni di tanahair kita.

Hari Ini Saya Memulakan Percutian

July 27, 2007

Sudah lama rasanya saya tidak bercuti, sudah dua tahun. Sebelum ini saya selalunya merancang bersama isteri untuk sekurang-kurangnya mengambil masa seminggu dalam setahun untuk membawa keluarga ke satu lokasi percutian dan berehat. Tujuan utama bagi menghilangkan rasa lelah, stress dan menghabiskan masa sepenuhnya bersama keluarga. Ya lah! Sebagai seorang ayah dan ketua keluarga yang agak sibuk (betulkah?) yang setiap hujung minggu ada sahaja program kerja secara rasmi dan tidak rasmi, perlu mencari masa bersama anak isteri dan keluarga.

Ke mana destinasi saya kali ini? InsyaAllah di sebuah pulau pelancongan terkenal dengan lagenda Mahsuri dan Dayang Buntingnya, Langkawi. Semasa anda membaca artikel ini, saya sudah berada dalam perjalanan saya ke sana bersama keluarga. Alhamdulillah hotel sudah ditempah dan segala urusan perjalanan diselesaikan.

Penulis Perlu Mencari Tempat Menulisnya?

Saya pernah bertemu dengan seorang pengarang yang cukup prolifik. Beliau sudah menghasilkan lebih daripada 22 buku (pada ketika itu, 4 tahun lepas). Beliau memberitahu saya bahawa dia tidak akan menulis kecuali apabila berada di dalam biliknya di rumah. Di sana katanya beliau mendapat ilham dan sumber inspirasi. Di biliknya juga segala bahan penulisan dan rujukan dikumpulkan bagi memudahkan beliau menulis.

Bagaimana dengan Anda? Adakah juga begitu? Saya sendiri kalau menulis tidak ada tempat yang khusus. Kadangkala di ruang tamu berdepan dengan anak-anak yang comel, kadangkala di pejabat mini merangkap khutub khannah keluarda yang dibina khas di rumah. Ada juga dalam bilik tidur mencari ketenangan.

Azam saya hendak menyiapkan satu buku mengenai dunia penulisan dan jangkaan saya siap dalam hujung bulan ini. Buku ini berkisar mengenai dunia penulisan dan penerbitan buku. Menumpahkan pengalaman selama 7 tahun dalam dunia penerbitan. Harapnya cita-cita ini tercapai. Tolong doa-doakan sama. Jadi percutian ini saat terbaik merancang penulisan buku ini. Apa tajuknya? Tungguu……

Pesta Buku Negeri Selangor Bermula Hari Ini

July 26, 2007

Bagi para pencinta buku, hari ini bermula Pesta Buku Negeri Selangor 2007. Ia diadakan daripada 26 Julai hingga 1 Ogos 2007 di Kompleks PKNS, Shah Alam Selangor. Alhamdulillah pada tahun ini saya turut terlibat secara langsung di dalam pesta buku ini sebagai Ahli Jawatankuasa Promosi dan Publisiti. Mungkin orang pelik, setiap kali pesta buku pasti saya jadi AJK Promosi dan Publisiti, saya pun pelik sebenarnya. :D

 Pesta Buku Negeri Selangor dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor sendiri. Saya boleh memuji kerjasama erat badan-badan di bawah kerajaan negeri Selangor yang memberikan sepenuh komitmen menjayakan pesta buku ini. Sebanyak 83 buat gerai yang dibuka. Itupun masih ramai penerbit yang memohon tetapi tidak dapat gerai. PTS membuka 2 booth di sana.

Marilah meramaikan Pesta Buku Negeri Selangor 2007.

PS: Sedih sebab tidak dapat hadir ke sana kerana sudah ada agenda peribadi yang dirancang sejak 3 bulan lepas. Tak mengapalah, gerak kerja saya sudah siap dan memohon izin untuk tidak hadir daripada pengerusi Promosi dan Publisiti.

Benarkah Buku Terbitan Penerbit IPTA Sukar Dijenamakan?

July 25, 2007

Semalam saya menghadiri satu majlis Hi-Tea bersempena persaraan Dato’ Ahmad Sipon, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Ia dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Ramai pengarah-pengarah urusan syarikat penerbitan swasta dan ketua-ketua penerbitan IPTA hadir. Saya dijemput sebab sudah jadi muka ‘biasa’ dalam acara-acara buku anjuran MBKM. Kira semacam ahli tidak rasmi walaupu bukan di kalangan pengarah urusan syarikat. :D
Saya duduk makan bersama dengan dua orang no. 1 penerbitan dua IPTA tersohor Malaysia. Sambil makan dan sambil berbincang mengenai penjenamaan penerbit IPTA dan terbitan  mereka.Mereka mengatakan amat sukar bagi membuat penjenamaan bahan-bahan dalam IPTA kerana kebanyakannya adalah karya yang akademik. Karya sebegini sukar dipakejkan bagi menjadi bahan komersil dalam pasaran. Ditambah pula dengan mentaliti ahli akademik dan juga pentadbir yang sukar menerima perubahan.

Saya bersetuju separuh dan separuh lagi kurang bersetuju. Pada pandangan saya, jika saya menjadi penerbit dalam IPTA saya adalah orang yang paling bahagia di dunia. Mengapa? Saya berada di tengah-tengah ‘planet’ ilmu. Semua orang yang berada dalam planet ini mempunyai kepakaran mereka tersendiri. Sebut apa sahaja bidang ilmu ada di IPTA. Daripada sekecil-kecil ilmu hinggalah sebesar-besar ilmu. Daripada pengkajian mengenai pendidikan awal kanak-kanak hinggalah kajian strategik peperangan dan kajian angkasa lepas. Kesemua ini berada di dalam planet-planet ini.

Jadi jika saya ingin menghasilkan Maha Karya, saya boleh bila-bila masa mengangkat telefon, mendail bilik profesor ataupun naib canselor. Duduk berbincang mengenai perancangan karya terbaru, terhebat dan bakal menjadi bestseller bila-bila masa saja. Namun begitu sebagai penerbit swasta saya tidak mampu berbuat begitu. Tambahan pula geran penyelidikan bernilai jutaan ringgit boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan Maha Karya yang dapat mengubah ummah.

Namun begitu tidak boleh dinafikan cara berfikir orang akademik dan orang biasa-biasa seperti saya berbeza. Namun begitu ia adalah persoalan teknikal dan kreativiti bagi menyelesaikan persoalan tengik-bengik ini. Jika kita lihat bagaimana universiti-universiti besar dunia seperti Harvard dan Oxford. Karya-karya mereka dijenamakan sebagai karya berkredibel dalam pasaran dunia. Jika ingin dijadikan rujukan utama merekalah. Bukan sahaja di kalangan ahli akademik tetapi juga dunia orang biasa. Para CEO, pengarah urusan dan usahawan dunia juga membuka buku-buku ini bagi memantapkan organisasi mereka.

Contoh buku-buku terbitan Harvard Medical School. Lihatlah pakejnya yang memang untuk orang awam. Pakejnya cukup menarik dan membumi 

Jika dibandingkan mereka dan kita apa kurangnya? Kita pun ada kehebatan dan kepakaran tersebut. Cuma persoalannya bagaimana hendak mengkonsepkan dan meletakkan produk tersebut pada pandangan umum. Ini yang para penerbit IPTA perlu duduk dan berkhulwah meneliti serta mengkaji. Penjenamaan produk IPTA ini boleh direalisasikan dengan kesungguhan dan komitmen semua.

Saya boleh memuji beberapa IPTA yang sudah mula mengubah konsep dan persembahan buku terbitan mereka. Buku-buku mereka sudah mula berada di rak-rak kedai buku besar seperti MPH dan Popular. Ini boleh ditingkatkan lagi daripada masa ke semasa.

Ciri-ciri Sastera Islami & Fenomena Harry Porter

July 23, 2007

Perkara menarik diterangkan Faisal Tehrani di dalam bengkelnya tempoh hari adalah mengenai ciri-ciri karya sastera Islami. Ini adalah kali pertama saya menghadiri bengkel seumpama ini. Kebanyakan bengkel yang saya hadiri ataupun kendalikan lebih ke arah bukan fiksyen. Apabila menghadiri bengkel untuk fiksyen terasa macam ‘zero knowledge‘ pula. Banyak perkara yang tidak diketahui.

Faisal menerangkan bahawa karya sastera Islami perlu ada 3 ciri utama. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

  1. Karya tersebut bercerita atau berkongsi ilmu mengenai ketauhidan Tuhan
  2. Karya tersebut harus menunjukkan kebenaran dan keadilan sentiasa menang
  3. Karya tersebut adalah sebagai ibadah kepada penulisnya.

Ciri-ciri ini pada pandangan saya sudah sempurna. Ia memberikan gambaran jelas kepada para penulis yang berminat menceburi bidang penulisan fiksyen Islami. Saya tidak ingin mengulas panjang setiap ciri hari ini. InsyaAllah kita cuba telusuri Mazhab Makna berbanding Mazhab Bentuk dalam fiksyen Islami.

Fenomena Harry Porter

Saya ada bertanya kepada Faisal Tehrani sama ada boleh ataupun tidak kita menulis karya berbentuk imaginasi dan magis sepertimana Harry Porter? Adakah ia boleh diiktiraf sebagai novel Islami. Faisal Tehrani berkata boleh dan digalakkan. Beliau sendiri pernah menterjemahkan dunia imaginasi dalam bukunya adventur di Peniup Ney. Jadi kita perlu fikirkan Harry Porter versi Islami. Siapa hendak buat? PTS Millennia Sdn Bhd memberikan komitmen untuk menerbitkannya.

PS: Kepada peserta bengkel, jangan lupa saya ingin melihat hasil daripada bengkel bersama Faisal Tehrani dalam tahun depan. Mengimpikan wujudnya novel Harry Porter versi Islami hingga menjadikan peminatnya seperti dalam gambar di sebelah kiri.

Karya Yang Baik Adalah Karya Sederhana

July 22, 2007

Hari ini Alhamdulillah PTS Millennia Sdn Bhd berjaya menganjurkan bengkel penulisan novel Islami Popular. Bengkel ini adalah bagi melatih dan mencari lebih ramai bakat baru yang menjadi penyumbang kepada penghasilan novel Islami di PTS Millennia. Bengkel pada hari ini dikendalikan oleh Mohd Faizal Musa ataupun lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani. Beliau adalah rakan lama saya ketika berada di Universiti Malaya. Ketika saya berada di Asasi Sains, beliau sudah berada di tahun akhir. Kami menjadi akrab kerana bersama-sama terlibat di dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya dahulu.

Kehadiran hari ini amat menggalakkan. Boleh dikatakan penuh dan di luar dugaan. Bengkel ini saya sengaja jadikannya bengkel tertutup agar kita dapat menapis kehadiran peserta. Saya lebih suka peserta yang hadir adalah peserta berkomitmen tinggi. Mereka harus mempunyai proposal baru layak bagi menghadiri bengkel hari ini. Jika tidak para peserta sekadar menjadi pendengar bukan pejuang.

Banyak perkara menarik dikongsi oleh Faisal di dalam bengkel hari ini. InsyaAllah saya cuba kongsikan di sini dalam artikel akan datang. Namun begitu ada satu frasa ayat yang terkeluar daripada mulut Faisal ingin saya kongsikan di sini.

Karya yang baik adalah karya simple dan mudah

Ini satu ayat yang menggambarkan sebagai penulis jangan fikir menghasilkan karya yang susah. Karya dengan terma akademis penyukar minda. Karya simple dan mudah adalah karya yang apabila dibaca mudah difahami. Ilmu diserap dengan cepat ke dada pembaca. Ini saya akan kongsikan lagi di dalam penulisan akan datang. Tunggu…..

PS: Tak sempat lagi hendak ke pasar raya besar bagi mendapatkan buku terbaru Harry Porter

Hebatnya Harry Porter…. Hingga Kedai Bergaduh

July 21, 2007

Hari ini adalah tanggal keramat bagi para peminat novel Harry Porter. Pelancaran novel terakhir di bawah saganya “Harry Porter & The Deathly Hallows”. Novel yang akan menjawab seribu satu misteri daripada rahsia yang disimpan oleh penulisnya JK Rowling. Dikatakan beberapa watak utama akan mati dan ini menjadikan peminat-peminatnya histeria tidak tidur malam. Apakah yang akan berlaku kepada watak-watak utamanya. Kesemuanya akan terjawab hari ini.

Di sini saya tidak ingin mengulas mengenai perkara ini. Saya lebih berminat dengan berita daripada mstar hari ini yang mengatakan kedai-kedai buku utama Malaysia memboikot Harry Porter (sila klik di sini). Ini berlaku kerana ada sebuah pasar raya besar Malaysia menawarkan harga yang lebih murah berbanding harga tawaran mereka. Pasar raya ini setiap hari mengiklankan di media massa dan akhbar mengenai kehadiran novel ini di stor mereka. Yang lagi menarik tawarannya hingga boleh bersarapan secara percuma di sana.

Sebanyak 53,000 naskhah yang berada di dalam simpanan kedai-kedai buku ini akan disimpan dan tidak akan dijual pada hari ini. Bagi mereka yang sudah membayar ketika pra jualan novel ini akan dipulangkan semula kepada pembelinya.

Hebat bukan? Kesan buku hebat. Saya impikan satu hari nanti ada novel ataupun buku dari Malaysia yang boleh menjadi fenomena sebegini. Amiin!!!

(PS: Hari ini jurulatih bersama Faisal Tehrani di Bengkel Penulisan Novel Islami Popular anjuran PTS Millennia Sdn Bhd. Berminat juga hendak singgah ke pasar raya besar tersebut untuk dapatkan novel Harry Porter ini.)

Next Page »