Penerbit Indonesia Buka Mata, Peluang Untuk Penulis Malaysia

April 30, 2007

Saya berada di gerai PTS seawal 10 pagi. Selepas singgah ke Janda Baik menjemput Bonda PTS, Puan Ainon Mohd. terus ke PWTC. Kami berdua tolong membuka gerai PTS. Dalam membuka gerai dan menyusun buku yang beralih tempat sambil menunggu petugas gerai, saya ditegur. Tegurannya dalam bahasa Inggeris dengan sedikit dialek Indonesia. Mesti penerbit dari Indonesia. Jangkaan saya tepat, beliau memperkenalkan diri sebagai seorang wakil daripada sebuah penerbitan buku di Indonesia, bekas anak syarikat penerbitan gergasi Indonesia Gramedia.

Beliau amat berminat hendak melesen buku terbitan PTS. Bersungguh-sungguhnya beliau hingga ingin membayar terus royalti pendahuluan bagi buku-buku tertentu. Wah! Ini satu perkara yang mengejutkan. Ada beberapa judul bestseller yang dipilih, namun begitu kebanyakannya sudah ditempah oleh penerbit Indonesia lain. Hingga katanya

Habis begitu Pak? Apa lagi buku PTS yang tinggal untuk saya?

Sebenarnya beliau bukanlah penerbit Indonesia pertama yang datang mencari saya bagi tujuan tersebut. Sebelum beliau di PBAKL 2007 ini juga saya dikunjungi beberapa penerbit dan penulis daripada Indonesia. Kesemuanya menunjukkan pandangan positif kepada karya dari Malaysia.

Apabila ditanya, mereka mengatakan karya Malaysia berkualiti dan kandungannya menarik. Patut diterbit di Indonesia. Ini satu perkembangan yang amat baik buat para penulis di Malaysia. Peluang bagi menembusi pasaran Indonesia yang mempunyai 240 juta penduduk. Saya juga bersyukur apabila PTS menjadi pilihan mereka kerana kata mereka PTS antara penerbit Malaysia dikenali dengan kualiti penerbitannya.

Alhamdulillah! Wahai sahabat-sahabat penulis, apa tunggu lagi. Ruangan sudah ada, tinggal merealisasikannya sahaja.

PS: Apabila ditanya mengapa mencari saya? Mereka mengatakan nama saya sudah menjadi sebutan di kalangan penerbit di sana. Entah benar ataupun tidak :D Ini perkembangan baik apabila penerbit Indonesia mengenali siapa penerbit Malaysia

Penulis Perlu Berfikir Untuk Menjadi Selebriti

April 29, 2007

Hari ini PBAKL 2007 masuk hari ketiga. Dua hari ini, sabtu dan ahad merupakan hari kemuncak bagi pengunjung PBAKL. Memang ramai dan para pelawat berpusu-pusu ke ruangan dewan yang menempatkan gerai-gerai para penerbit buku Malaysia. Siapa kata orang Malaysia tidak minat buku dan membaca buku?

Hari ini juga merupakan hari yang saya berasa cukup gembira. Mengapa? Saya dapat bertemu dan berdiskusi dengan beberapa pengarang bestseller daripada Indonesia dan Malaysia. Antara yang saya temui hari ini adalah Habiburrahman El-Shirazy, pengarang novel fenomena di Indonesia ‘Ayat-ayat Cinta’ dan Parlindungan Marpaung, pengarang buku bestseller Indonesia ‘Setengah Isi Setengah Kosong. Kedua-duanya berada di Malaysia bagi mengikuti PBAKL 2007. Yang menariknya Bapak Parlindungan memang datang ke PBAKL hari ini untuk mencari saya. Terasa seperti selebriti apabila orang yang hebat mencari saya. :D

Dato’ Dr. Hasan Ali bersama Ikram di pentas utama PWTC bersempena PBAKL 2007

Kemudian hari ini juga berlangsung program pertama bersama pengarang PTS Millennia Sdn Bhd. Program bersama Dato’ Dr. Hasan Mohd Ali mendapat sambutan menggalakkan. Penonton ramai memenuhi ruangan tempat duduk dan ada yang berdiri. Saya mendapat maklum balas daripada pihak jualan PTS, kesan daripada program ini buku karya Dato’ Hasan laris seperti pisang panas. Alhamdulillah berjaya.

Perkembangan perusahaan buku di Malaysia semakin hari semakin baik. Ide-ide baru yang menarik dan kreativiti penerbit serta penulis mencorakkan dunia buku menjadi lebih indah. Ini menarik minat para penerbit daripada Indonesia bagi bekerjasama dengan pihak penerbitan Malaysia bagi melesen hak cipta terjemahan Indonesia. Maksudnya karya Malaysia sudah mula diiktiraf kualitinya oleh orang luar.

Para penulis buku juga perlu mula menukar cara berfikir. Bagi menjadi bestseller, seseorang pengarang perlu ada minda seorang selebriti. Mula belajar berceramah, berinteraksi dengan individu lain dengan cara baik, pandai senyum dan banyak lagi. Apabila melihat cara Dato’ Dr Hasan Ali berinteraksi dengan para pembaca, berceloteh dan mengeluarkan kata-kata sedap didengar. Ini antara ciri selebriti yang perlu kita pelajari.

Mengapa? Apabila karya mula dikenali, tentu ada pihak luar yang menjemput menyampaikan ceramah. Bertemu peminat untuk menandatangani buku tulisan kita. Berinteraksi dalam sesi pertemuan dengan para pembaca. Bukankah ini suasana yang dihadapi seorang selebriti?

Sudah bersediakah anda untuk menjadi seorang selebriti?

World Book Capital, Apakah Bendanya?

April 28, 2007

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 bermula kelmarin. Tahun ini pesta buku lain daripada lain. Penyertaan penerbit melebihi berkali ganda daripada yang lepas-lepas. Alhamdulillah makin harmoni dunia penerbitan buku

Dalam ucapan perasmian pagi tadi, Dato’ Noh Omar ada berkata bahawa kita mahu menjadikan Malaysia sebagai World Book Capital. (Boleh rujuk artikel mstar online) Ini suatu perkara baru yang saya belum pernah dengar dahulu. Antara perkara yang disebut oleh Dato’ Noh adalah negara kita sudah mempunyai kriteria dalam menjadi sebuah negara World Book Capital. Sasarannya 2010. Benarkah dan bolehkah? Menarik lagi ada soalan yang ditanya oleh wartawan, apakah kesannya kepada negara jika kita berjaya mencapai impian ini? Jawapannya tidak meyakinkan.

Jadi untuk menambahkan pengetahuan mengenai perkara ini saya membuat sedikit carian dalam keletihan berhempas pulas seharian di pesta buku. Letih tetapi disebabkan rasa ingin berkongsi saya usahakan juga tulisan ini. Daripada carian tersebut saya mendapat sedikit informasi mengenai World Book Capital di wikipedia.

Apakah itu World Book Capital?

World Book Capital is a title bestowed by UNESCO to a city in recognition of the quality of its programs to promote books and reading and the dedication of all players in the book industry.

Apakah kriterianya?

Kriteria yang dinyatakan adalah berikut (dalam bahasa Inggeris) :

  • the degree of participation of all levels (from the municipal to the international level)
  • the programme’s potential impact
  • the scope and quality of the activities proposed by the candidates, and the extent to which they involve writers, publishers, booksellers and libraries
  • any other projects promoting books and reading
  • the extent to which the programme respects the principles of freedom of expression, as stated by the UNESCO Constitution as well as by Articles 19 and 27 of the Universal Declaration of Human Rights and by the Agreement on the Importation of Educational, Scientific and Cultural Materials

Apabila melihat senarai kriteria di atas. Saya nampak bahawa sebenarnya kita masih jauh untuk memenuhi kriteria ini. Satu perkara besar, dunia buku sendiri tidak boleh dikatakan sebagai industri. Kita tidak ada apa yang dikatakan sebagai industri buku. Yang ada hanyalah perusahaan buku (meminjam kata-kata En. Ishak Hamzah)

Apakah program yang dilakukan oleh kita bagi mempromosi dunia pembacaan? Adalah beberapa program, tetapi masih belum cukup.

Kebebasan bersuara dan kebebasan menunjukkan perasaan? Ini isu sensitif, kita masih tidak boleh menulis semua perkara terutamanya yang disebut “mengancam keselamatan negara“. Di barat bebas, pemimpin tertinggi pun dikritik hebat dalam buku-buku tulisan mereka. Cuba kita buat? Anda tahulah kesannya.

Ini yang pada pandangan saya harus kita lihat. Jika benar hendak melakukannya, kita bukan sahaja perlu mengubah dasar perbukuan tetapi dasar keseluruhan. Dasar Buku Negara yang diwar-warkan oleh Menteri Pelajaran ingin dikaji semula sejak 5 tahun lalu tetapi hingga sekarang senyap sunyi beribu bahasa. Penerbit buku hingga ke hari ini masih belum tahu kementerian mana yang menaunginya. Geran penggalakan penerbitan buku, tiada! Jadi apabila ada perkara baru sebegini, entahlah. Bercakap berlebihan nanti dikatakan mengkritik, tetapi inilah realitinya.

Jika ada pembuat dasar yang membaca tulisan ini, saranan saya kita buatlah perkara-perkara yang lebih aula. Sebelum mewujudkan perkara baru yang tidak pasti. Dasar Buku Negara yang sudah bertahun-tahun diperdebatkan dalam seminar, forum, bengkel dan sebagainya perlu didahulukan. Rasanya sudah masak perbincangannya. Apabila ia berjaya, baru kita pergi ke langkah seterusnya, pengiktirafan industri buku. Begitu seterusnya langkah-langkah lain.

Inilah keluhan seorang penerbit buku yang berjuang sekian lama dalam dunia perbukuan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 Bermula Esok

April 26, 2007

Saya sekarang berada di pejabat PTS, membantu persiapan menghadapi pesta buku esok hari. Hari ini adalah hari yang paling sibuk bagi semua penerbit buku Malaysia. Mengapa? Sebab esok hari raya penerbit buku, bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia berlangsung daripada 27 April hingga 6 Mei 2007.
Seumpama hari raya, sehari sebelumnya semua ahli keluarga berkumpul. Mengemas rumah, memasang langsir, menyiapkan jahitan terakhir baju raya dan mencari duit kecil untuk diberikan kepada pengunjung rumah. Semua benda baru termasuk perabot, hiasa rumah dan sebagainya ditonjolkan sebagai imej keluarga untuk para pengunjung.

Begitulah juga pesta buku bagi penerbit buku. Memasukkan buku ke dalam kotak bagi dibawa ke ruang pameran. Menyediakan hadiah (goodies) untuk diberikan kepada pengunjung. Para pekerja disiapkan pakaian khas untuk menampakkan kesamaan dalam pameran. Gerai dihias sebaik mungkin bagi menaikkan imej syarikat. Wang tukar disediakan bagi pembelian pelanggan. Pastinya buku-buku terbaru ditampilkan sebagai produk utama jualan.

Pesta buku ini adalah satu program ataupun aktiviti yang anda semua tidak boleh lepaskan peluang. Di sinilah kita semua dapat melihat buku-buku terbaru dan terbaik daripada setiap penerbit. Di sini juga kita dapat melihat trend semasa dunia buku. Bagi bakal penulis ataupun penulis baru, saya sarankan melawat ke PBAKL 2007. Jika anda masih tidak tahu hendak menulis apa, di sini tentunya anda dapat membuat keputusan. Bagi yang mencari bahan penulisan, di sini terhidang semuanya. Tinggal ambil, beli, balik buka komputer dan terjemahkannya ke dalam penulisan.

InsyaAllah saya akan berada di PBAKL 2007, PWTC setiap hari. Bagi yang berminat berdiskusi dengan saya boleh menghubungi email jurulatih@akademipenulis.com.

1 Daripada 3 Lebih Baik Daripada 1 Daripada 1

April 25, 2007

Saya baru sudah bersarapan dengan isteri saya di warong ‘Abe’, warong paling digemari oleh para pekerja di PTS. Saya bukan hendak mempromosikan warong ini tetapi saya ingin berkongsi suatu situasi yang menarik berlaku di sana. Semasa bersarapan, ada seorang lelaki bersongkok berjalan daripada satu meja ke satu meja. Beliau meletakkan 3 kotak kismis yang dibawanya di atas setiap meja termasuklah meja saya. Kemudian selepas beberapa ketika beliau mengutipnya semula. Satu perkara yang menarik, setiap pelanggan di meja-meja tadi membeli sekurang-kurangnya satu kotak kismis yang dijual. Saya juga membeli satu kotak selepas isteri saya meneliti kotak tersebut yang dipakejkan dengan doa. Alhamdulillah rezekinya murah.

Di sini bukan saya ingin bercerita suruh anda membeli kismis, tetapi situasi ini sebenarnya serupa dengan keadaan penerbitan buku. Bagi seorang penulis menghasilkan karya bestseller adalah seumpama kotak kismis tadi. Apabila penulis hanya menulis sebuah karya sahaja dan ditawarkan kepada pasaran, kebarangkaliannya adalah satu buku bestseller daripada satu buku. Jika satu buku tersebut tidak dipilih, maka tidak jadi bestsellerlah ia.

Namun begitu apabila seorang penulis menulis tiga buah buku dan ditawarkan kepada pembaca buku. Kebarangkalian untuk menjadi bestseller adalah lebih tinggi. Pembaca ada pilihan tiga buku. Kebarangkalian salah satu menjadi bestseller adalah lebih tinggi.

Inilah yang berlaku kepada karya Dan Brown. Beliau sudah menerbitkan beberapa novel sebelum beliau berjaya menghasilkan The Da Vinci Code yang menjadi buku fenomena dunia. Buku karya sebelumnya tidak menjadi bestseller sebelum itu. Yang lagi ajaib, apabila karya The Da Vinci Code ini menjadi bestseller, para pembaca mencari semula karya-karyanya yang terdahulu. Buku-buku itu turut menjadi bestseller.

Moralnya, jangan hanya berfikir untuk menghasilkan satu karya sahaja. Cuba fikir, satu karya yang boleh dikembangkan isinya kepada buku-buku lain. Apabila kita fokus dalam menulis, lagi mudah kita menghasilkan lebih banyak buku. Puan Ainon Mohd. juga bermula daripada satu buku mengenai kemahiran berfikir, kemudian beliau kembangkan isi dan menambah idea baru hingga menghasilkan berpuluh-puluh buku sekarang.

Seperti kata pepatah Tamil

Jika hanya sebatang pokok getah, tidak mungkin akan jadi estet

Buku “Teknik dan Panduan Menjadi Penulis Bestseller” Sudah Siap 30 peratus

April 24, 2007

Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa saya tidak menulis buku mengenai teknik penulisan. BERITA BAIK untuk anda yang mencari dan bertanya.

Saya dalam proses menyiapkan buku “Teknik dan Panduan Menjadi Penulis Bestseller“. Buku sudah siap kerangkanya. Boleh kata 30 peratus sudah siap, hanya tinggal 70 peratus sahaja lagi untuk diusahakan. InsyaAllah buku tersebut akan dilancarkan pada bulan Jun 2007. Ini sasaran kerja saya.

Apa Yang Ada Dalam Buku Tersebut?

Pelbagai perkara dikongsi di dalam buku ini. Antaranya

  • Motivasi menulis
  • Rahsia penulis karya bestseller
  • Teknik menulis efisien dan efektif
  • Apa yang perlu dan tidak dalam penulisan

Kesemua ini ditulis dengan bahasa mudah difahami dan boleh terus dipraktikkan.

Terbitannya Dalam Bentuk Apa?

Ada yang bertanya adakah saya ingin menerbitkan dalam bentuk ebook ataupun p-book (buku fizikal). Buat kali pertama ini saya akan terbit dalam bentuk ebook terlebih dahulu. Jika ada yang memohon terbitan buku fizikalnya, InsyaAllah kita usahakan. Nantikan kehadirannya

Bagaimana Untuk Mendapatkannya?

Ia akan ditawarkan terus melalui laman ini. Bagi mendapat berita terkini, saya sarankan melanggan newsletter Akademi Penulis Karya Bestseller. Harga tentunya berpatutan.

Artis Keliru Ataupun Pakar Tidak Menerang?

April 23, 2007

Semalam saya ada terbaca satu artikel mengenai seorang artis wanita bertudung yang akhirnya melakukan satu perkara menjatuhkan kredibilitinya. Beliau berlakon teater dengan mendedahkan auratnya iaitu dengan memakai rambut palsu dan membuka dadanya. Ini sedikit kata-kata daripada petikan akhbar.

Menurut Salima, dia sendiri sudah mengagak kemunculannya itu akan menimbulkan kontroversi terutamanya soal pemakaian tudung. Gadis bernama Nor Salima Habibi ini sebenarnya sudah bersiap sedia terhadap jawapan bagi persoalan yang bakal dibangkitkan itu.

Katanya, apa yang dilihat oleh penonton itu sekadar rambut palsu. Pada dasarnya Salima tidak menanggalkan tudung jauh sekali dengan sesuka hati ingin mempertontonkan rambutnya kepada umum.

Sebaliknya sebelum rambut palsu disarungkan di kepalanya, dia terlebih dahulu memakai anak tudung yang menutupi keseluruhan rambut asalnya.

Dia juga menganggap, tindakannya itu tidak salah dan bersedia berhadapan dengan apa juga persoalan yang akan dibangkitkan selepas ini.

‘‘Saya berpendapat dengan cara itu saya masih lagi tidak mendedahkan rambut saya kepada orang ramai. Saya masih menutup aurat kerana rambut asal ditutupi dengan anak tudung sebelum saya dipakaikan dengan rambut palsu,’’ katanya.

Menurut Salima, dia mendapat tawaran berlakon teater tersebut selepas diajak oleh Ifa Raziah beberapa bulan lalu.

Secara kebetulan Salima diminta untuk menggantikan watak orang lain yang tidak dapat turut serta di dalam pementasan berkenaan.

Bagaimanapun selepas perbincangan dengan pengarah teater itu, Salima bersetuju untuk memakai anak tudung bagi menghormati skrip teater tersebut.

Benar kata Salima itu tetapi cara tersebut hanya menutupi rambut sebaliknya bagaimana dengan bahagian telinga, leher dan dada yang masih terdedah?

Ini kerana imej beliau selama ini menutupi keseluruhan bahagian tersebut. Bagaimanapun Salima tetap mempertahankan pendiriannya untuk muncul di pentas teater itu.

‘‘Saya anggap tindakan saya itu tidak salah kerana masih menutupi rambut asal,’’ katanya. Gadis ini juga menolak langkah yang diambilnya itu semata-mata untuk meraih publisiti murahan.

Sebaliknya dia menganggap kemunculannya itu adalah untuk mempelbagaikan bakatnya dalam bidang seni.

‘‘Saya tak mahu berterusan menjadi penyanyi sebaliknya saya ingin mencuba bidang lain khususnya teater kerana minat saya dalam bidang tersebut bermula sejak di bangku sekolah lagi,’’ jelasnya

Apabila meneliti kes di atas, saya terfikir adakah artis ini yang keliru, ataupun para pakar tidak menerang? Perkara halal dan haram ini jelas. Apabila membuka aurat itu sudah satu haram. Memakai rambut palsu lagi satu haram. Mengatakan hanya memakai rambut palsu tanpa membuka tudung sudah menjadikannya haram dua dalam satu. Pelik tapi benar.

Apabila saya melihat perkara ini berlaku dalam masyarakat. Saya terfikir adakah menulis ini hanya sekadar fardhu kifayah ataupun sudah menjadi fardhu ain terutamanya kepada para pakar ilmu. Apabila para pakar tidak menulis dan menerangkan hal sebenarnya, semakin banyak kekeliruan sebegini boleh berlaku. Lagi lama, lagi banyak, semakin membarah. Adakah Tuhan akan membenarkan kita masuk ke syurga walaupun layak, sedangkan kita tidak berusaha menerangkan kekeliruan walaupun kita ada ilmunya. Mari kita fikirkan bersama.

 

Ya Allah ampunkanlah dosaku dan semua ilmuwan yang tidak membuat kerjanya di dunia ini Ya Allah! Hingga ada yang terkeliru dalam sedar Ya Allah! Amiin! Ya Rabbal ‘Alamiin!

PS: Suka dengan tulisan Kakak Tua dalam mstar mengenai perkara ini

Idea Di Mana-mana

April 22, 2007

Semalam saya ke pasar bagi membeli barang-barang dapur bersama isteri dan dua orang anak saya. Ini memang menjadi rutin setiap hari sabtu bagi melengkapkan barangan rumah yang sudah kehabisan stok. Pada setiap hari sabtu dan ahad, bandar Bentong dipenuhi oleh masyarakatnya bagi membeli belah barang rumah. Saya yakin ada di antaranya seperti saya yang berulang alik ke tempat kerja Bentong-Kuala Lumpur setiap hari. Jadi ruangan inilah digunakan sebaiknya.

Bukan ini yang saya ingin cerita. Dalam satu situasi di sana, ada sekeluarga sedang menunggu seorang peniaga ikan tilapia segar (ikan kolam) menyiang ikan. Ada beberapa persoalan menarik ditanyakan kepada peniaga ikan tersebut.

“Pakcik! Mengapa ikan tilapia ini dimasukkan gas ke dalam bekas ini?

“Untuk memberikan oksigen, nanti dia mati”

“Pakcik sebab apa sebelum pakcik menyiang ikan, pakcik patahkan tengkuknya?”

“Bagi mematikannya dia dahulu sebelum disiang”

Persoalan ini berterusan hingga beberapa ketika. Pada pandangan saya, persoalan-persoalan ini juga berlegar di dalam kepala orang lain. Jika dikumpulkan boleh dijadikan idea dalam penulisan. Menarik dan praktikal. Orang boleh membayangkan situasi ketika berada di pasar kerana ia membumi. Siapa kata susah hendak cari idea? Idea ada di mana-mana. Cuma kita sahaja yang harus menentukan ia sesuai ataupun tidak bagi penulisan kita.

Anugerah Media Islam Negara Menarik, Penerima Anugerah Sudah Dijangka

April 21, 2007

Semalam saya memenuhi jemputan bagi menghadiri Anugerah Media Islam Negara (AMIN) yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan televisyen rasminya TV9. Saya agak teruja apabila mendengar kewujudkan sebegini yang sedikit sebanyak memberikan penarafan sama kepada media penyebar dakwah Islam dengan media hiburan. Satu pendekatan yang sepatutnya dibuat sejak lama dahulu.

Pihak PTS ada menghantarkan beberapa pencalonan dalam kategori penerbit buku terbaik dan penulis buku terbaik. Tapi saya ke sana dengan tanggapan tidak ada satu pun yang akan terpilih. Secara keseluruhannya, penataan rancangan boleh dipuji. Susun atur pentas yang baik dengan pencahayaan baik memberikan suasana penganugerahan agak prestij.

Namun begitu apabila melihat senarai pemenang dan penerima-penerima anugerah yang memenangi piala pada malam ini, apa yang boleh saya kata kita masih lagi di takuk pemikiran lama. Pemenang-pemenang adalah bagi program ataupun penerbitan yang mengkhusus kepada golongan dewasa. Program-program remaja hanya sekadar mendapat pencalonan sahaja tetapi tidak menang satu pun. Islam ini global, untuk semua. Bukan untuk sesetengah golongan sahaja.

Apabila pengiktirafan hanya untuk orang dewasa ataupun orang lama, bagaimana kita ingin menggalakkan lebih banyak penghasilan program Islam berkualiti untuk remaja dan golongan muda. Golongan yang merempit, men’dadah’, membohsia dan sebagainya ini perlukan rancangan berkualiti bagi mengIslahkan mereka kepada lebih baik.

Persembahan pada malam ini menarik dengan gabungan penyanyi nasyid kontemporari seperti Raihan, Mirwana dan In-Team. Cuma saya terfikir ke mana perginya artis pop yang selalu menyanyi lagu ketuhanan. Adakah mereka tidak dijemput? Mana Too Phat, Yaasin, Mawi dan Ramli Sarip. Adakah apabila mereka tidak bergelar kumpulan nasyid maka tidak layak datang membuat persembahan atas nama program Islam? Kita masih jauh…

Semasa saya ke Jakarta tempoh hari, saya melihat kumpulan bukan nasyid yang menyanyi lagu ketuhanan mendapat tempat baik dalam komuniti Islam. Ini menyemarakkan lagi dakwah Islam. Di Islamic Book Fair Jakarta saya sempat mendengar nyanyian satu kumpulan muzik Punk yang menggelarkan dirinya PunkIslam. Mereka menyertai Festival Nasyid bersempena dengan pesta buku tersebut. Lagunya punk tetapi penuh unsur ketuhanan. Apabila begini, ia memberikan lebih alternatif kepada golongan masyarakat terutamanya remaja.

Bilakah Malaysia dapat menerima Islamnya golongan seperti PunkIslam ini. 

Kemudian pergi kepada anugerah buat penerbit buku. Sepertimana yang saya jangka, penerbit swasta tidak diberikan tempat. Pemenang di kalangan penerbitan kerajaan. Apakah kriterianya? Adakah buku swasta tidak memberikan sumbangan kepada Islam? Cuma yang saya boleh berbangga adalah Dr. Danial Zainal Abidin termasuk di dalam senarai top 5 calon penerima anugerah penulis buku terbaik walaupun tidak menang. Ini membuktikan kebenaran artikel yang saya tulis dahulu.

Walaubagaimanapun, tahniah kepada penganjur. Diharapkan lepas ini anugerah ini diteruskan dan memberi ruangan yang lebih kepada semua.

Jurulatih Akademi Di Seminar Strategi Pemasaran Bahan Penerbitan Daripada 10 Hingga 11 Mei 2007

April 20, 2007

Saya hari ini baru mendapat kiriman daripada Penerbit USM iaitu pamplet program Seminar Strategi Pemasaran Bahan Penerbitan. Saya dijemput sebagai salah seorang penceramah dalam salah satu sesi mengenai pemasaran buku. Pendaftaran masih dibuka. Perincian program adalah seperti berikut :

SEMINAR STRATEGI PEMASARAN BAHAN PENERBITAN

10 HINGGA 11 MEI 2007

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

OBJEKTIF

  • Memberi pengetahuan kepada peserta tentang pemasaran buku pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Mengenal pasti kaedah pemasaran penerbit luar negara
  • Memahami kaedah pengedaran buku pada peringkat antarabangsa
  • Mengenal pasti potensi dan peluang pemasaran penerbitan di Malaysia
  • Merancang produk penerbitan yang boleh dipasarkan
  • Memahami strategi pengedaran, promosi dan jualan penerbit swasta di Malaysia
  • Memberi pengetahuan kepada peserta tentang ePerolehan
  • Memperkenalkan kerajaan elektronik sebagai satu daripada tujuan perdana MSC
  • Mendedahkan peluang merebut tender kerajaan (28 kementerian), e-dagang
  • Memperkenal sistem jatalog elektronik (e-katalog) sebagai satu medium promosi kepada pihak kerajaan

KUMPULAN SASARAN

  • Terbuka kepada individu yang terlibat dalam pemasaran di agensi kerajaan dan swasta
  • Pegawai penerbitan/editor di penerbit IPTA dan swasta
  • Pensyarah
  • Usahawan
  • Pelajar bidang pemasaran, komunikasi, penerbitan, pengurusan dan keusahawanan
  • Pelajar ijazah lanjutan

PENCERAMAH JEMPUTAN

  • Profesor Osman Mohamed, Institut Pengajian Siswazah, USM
  • En. Fauzul Na’im Ishak, Pengurus PTS Millennia Sdn Bhd merangkap Jurulatih dan Pengarah Akademi Penulis Karya Bestseller
  • Puan Noor Aida Ismail, Perunding MARA/Commerce.com.my

BAYARAN SEMINAR

  • RM330.00

Sesiapa berminat bolehlah terus hubungi 04-653 2764 / 2767 / 2389 / 3851

Next Page »