Rugi Apabila Ilmu Di’parti’kan

March 31, 2007

PTS Millennia Sdn Bhd (PTS M) bersyukur apabila Dato’ Dr. Haron Din, seorang ulama terkemuka Malaysia sudi menerbitkan karya dengan PTS M. Alhamdulillah maklum balas pasaran terhadap karya pertamanya dengan PTS M “Dato’ Dr. Haron Din Menjawab Persoalan Fikah Harian” mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dalam masa sebulan mencecah jualan 3000 naskhah dan sudah dicetak ulang sebanyak 5000 naskhah lagi. Itupun dijangka perlu dicetak ulang dalam masa terdekat.

Buku bestseller karangan Dato’ Dr. Haron Din dan mendapat ranking top 10 Malaysian Local Bestseller di MPH Mid Valley Megamall minggu lepas.

Saya ke MPH Mid Valley Megamall, buku ini mendapat tempat ke 4 dalam senarai Carta Penulis Tempatan bagi minggu lepas. Ini satu perkembangan yang amat baik. Cuma yang saya sedih apabila ada yang berjumpa saya dan berkata

“PTS M ini syarikat parti pembangkang ke? Mengapa PTS M menerbitkan banyak karya tokoh pembangkang? Dato’ Haron Din, Dato’ Hasan Ali lah”

Pernyataan sebegini yang merugikan ummah. Ilmu itu tidak ada parti. Ilmu hanya ada cabang ilmu. Adakah apabila sesebuah buku itu ditulis oleh tokoh pembangkang ia sudah tidak relevan untuk ummah? Ilmu yang baik dan berguna adalah untuk semua. Tidak kiralah ia daripada sesiapapun. Selagi mana ia boleh memberikan manfaat kepada orang lain. PTS M mengambil pendekatan rasional. Semua pihak mendapat tempat yang baik di PTS M. Tak kiralah daripada pihak mana sekalipun. PTS M tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Kami akan menerbitkan sesebuah buku disebabkan ilmunya, bukan kerana orang ataupun partinya.

Di PTS M, tidak kira anda orang kuat parti kerajaan kah, parti pembangkang kah, badan NGO kah, dan sesiapapun mempunyai ruangan dalam penerbitan PTS M. Kecuali penulisan karya yang khurafat dan jelas bertentangan syariat Islam. Ini dasar penerbitan di PTS M.

Penulis Tidak Mungkin Dapat Memuaskan Hati Semua Pihak

March 30, 2007

Dalam beberapa pertemuan saya dengan para penulis seluruh negara, pelbagai perkara mengenai dunia penulisan buku dibincangkan. Daripada isu hak cipta hinggalah kepada persoalan penulisan.

Saya tertarik dengan cerita seorang penulis yang menyatakan penulisannya sering dikritik oleh para pembaca. Kritikan melalui email, telefon, laporan penerbit dan sebagainya. Kadangkala kritikan itu ada yang melampau hinggakan memohon agar penulisannya ditarik balik.

Wah! Saya terfikir apakah jenis penulisan yang beliau tulis hingga jadi begitu. Apabila ditanya barulah saya tahu bahawa dia ini seorang penulis buku politik. Saya bukannya ingin mengulas cerita ini. Apa yang perlu dilihat adalah penulis harus bersedia dikritik.

Tulisan kita ada yang mungkin bersetuju dan ada yang tidak. Walaupun kita menulis perkara yang baik mengenai Islam, perbandingan agama ataupun sebagainya. Ilmu dunia ini luas, jadi semua orang melihat sesuatu ilmu itu daripada perspektif mereka. Ada masanya ia selari dengan penulisan kita dan ada kalanya tidak.

Penulis harus bersedia untuk dikritik! Pepatah Tamil mengatakan :

 

Hanya buah yang manis sahaja dibaling monyet

Dalam kes ini, hanya karya yang baik dikritik orang.

P/S: Teringat kritikan pedas Fauziah Ahmad Daud (Kak Ogy) semasa pertemuan saya dengan beliau tidak berapa lama dahulu. Kak Ogy menyatakan kekecewaannya kepada orang agama yang tidak berhikmah dalam menyampaikan dakwah Islam. Lebih kurang sama caranya ketika dia mengkritik pelajar Akademi Fantasia 5 tempoh hari :D

Jadikan Malaysia Negara Pembaca – Najib

March 29, 2007

Dipetik daripada Utusan Online

KUALA LUMPUR 28 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melaksanakan langkah lebih agresif bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai ‘Negara Pembaca’.

Beliau berkata, ‘Negara Pembaca’ merujuk kepada masyarakat Malaysia yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan, mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru.

‘‘Saya berharap langkah ini akan membolehkan rakyat Malaysia menyertai penduduk negara maju lain yang menjadikan membaca sebagai satu tabiat dan budaya hidup,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Festival Sastera Antarabangsa Kuala Lumpur (KLILF) 2007 dan Persatuan Sastera Antarabangsa Malaysia (MILS) di sebuah restoran di Bangsar di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Penaung KLILF 2007, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden MILS, Prof. Lim Chee Seng.

Menurut Najib, kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran akan membina lebih banyak infrastruktur bagi menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat.

Prasarana

Katanya, prasarana itu melibatkan pembinaan kampung dan pasar buku, perpustakaan serta kelab-kelab buku.

Menurut beliau, kerajaan juga akan memberikan anugerah kepada penulis bagi menggalakkan mereka menghasilkan lebih banyak karya untuk tatapan rakyat negara ini.

Beliau berkata, persatuan-persatuan penulis juga diharap dapat memberikan sokongan bagi memastikan segala langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan mencapai kejayaan.

Katanya, syarikat swasta juga harus melibatkan diri bagi memberikan sumbangan dana untuk memastikan pelbagai festival berkaitan sastera dapat diadakan.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapannya berharap budaya membaca dapat diperluaskan meliputi penduduk desa kerana tabiat itu kini hanya diamalkan oleh masyarakat bandar yang terdiri dari kalangan golongan kelas menengah.

Katanya, rakyat juga harus mempelbagaikan bahan bacaan dan bukan terhad kepada akhbar dan majalah sahaja.

Rosmah juga berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai penulis yang mendapat pengiktirafan di peringkat dunia

Jangan Mudah Putus Asa

March 28, 2007

Saya mendapat beberapa email yang menceritakan pengalaman dengan beberapa penerbit. Ada yang dikecewakan, ada yang ditipu, ada yang dipaksa jual dan banyak lagi. Peristiwa dan pengalaman sebegini sememangnya adat resam dunia penerbitan. Setiap penulis perlu bersiap sedia dan cekal menghadapi keadaan sebegini.

Namun begitu jangan mudah putus asa. Senario sebegini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi di luar negara juga. Kita ambil contoh terdekat buku karangan J.K Rowling, Harry Porter. Beliau menjaja karyanya tersebut kepada beberapa penerbit, namun begitu tidak diterima. Hinggalah penerbitnya sekarang menerima manuskripnya dan bersetuju menerbitkannya. Akhirnya Harry Porter meletup-letup di pasaran seluruh dunia.

Karya Ayat-ayat Cinta karangan Habibur Rahman El-Shirazy juga menghadapi keadaan yang sama. Beliau menghantarkannya kepada penerbit lain terlebih dahulu sebelum bertemu penerbit Republika. Ditolak, kemudian dibawa ke Republika, terbit dan berjaya menjadi karya fenomena di Indonesia sekarang. Tepuk dahi penerbit lain.

Lain penerbit lain pandangannya. Mungkin di sini mengatakan tidak boleh, namun begitu di sana belum tentu lagi. Jadi tidak perlu putus asa. Terus mencari. Jika perlu khidmat nasihat, InsyaAllah akademi boleh membantu. Emailkan sahaja kepada jurulatih@akademipenulis.com.

Penulis Profesional Tidak Terbitkan Karya Sendiri

March 27, 2007

Saya ada membuat perbincangan dengan beberapa penerbit sepanjang lawatan kerja ke Jakarta tempoh hari. Antara penerbit yang saya temui adalah Penerbit Mizan, penerbit Islam terbesar Indonesia dan kedua terbesar secara keseluruhan di sana.

Penerbit Mizan ini sejarah penubuhannya menarik. Ia dimulakan oleh sekumpulan bekas mahasiswa yang berminat dalam dunia penerbitan buku. Bersandarkan dana yang daripada bapa saudara salah seorang pengasasnya Dr. Haidar Bagir, mereka memulakan langkah dengan menerbitkan beberapa karya yang agak kontroversial. Karya pertama mereka bertajuk “Dialog Syiah-Sunni”. Karya ini meletup di Indonesia dan menjadi perdebatan hangat di sana. Selepas itu Mizan mula dikenali dan berkembang daripada satu syarikat kepada beberapa anak syarikat sekarang. Hinggalah menjadi antara syarikat paling dikagumi di Indonesia.

Pihak PTS banyak belajar daripada mereka dan kita mengadakan kerjasama erat dengan mereka. Ada beberapa karya daripada syarikat PTS Millennia Sdn Bhd saya sudah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Mizan dan begitu juga karya anak syarikat Mizan, Penerbit Hikmah kami terbitkan di sini.

Semasa di sana saya mengadakan diskusi bersama Bapak Dr. Haidar Bagir, pengasas dan Direktur Utama Mizan Publishing Group, Bapak Novell, Direktur Kewangan Mizan, Bapak Deden Ridzwan, GM Penerbit Hikmah dan Bapak Melvy Yendra, Pengurus Mizan International. Banyak perkara menarik dibincangkan di sana.

Antara perkara berbangkit adalah trend yang mula berlaku di Indonesia iaitu pakar-pakar motivasi ataupun tokoh bidang mula berminat menerbitkan karya sendiri. Ramai beranggapan bahawa karya mereka boleh dijual kerana kekuatan nama mereka. Pandangan ini yang Bapak Novell amat tidak bersetuju. Sesebuah karya boleh dijual kerana beberapa faktor, bukan hanya sekadar pada nama penulis.

Kekuatan sesebuah karya terletak kepada usaha bersama di antara penerbit buku dan penulis itu. Ia bermula daripada pengisian, konsep, persembahan hinggalah kepada cara pemasaran yang dibuat. Apabila sesebuah karya diterbitkan, segala tenaga kerja di dalam sebuah syarikat penerbitan digembleng bagi memastikan karya tersebut menjadi karya bestseller.

Karya yang baik dengan tidak mempunyai gerakan pemasaran baik tidak mungkin boleh menjadi bestseller jika dibandingkan karya kurang baik tetapi perancangan pemasarannya baik. Ini yang perlu dibetulkan persepsi.

Apabila seseorang tokoh menerbitkan sendiri karya, ia kelihatan profesional. Sudahlah ceramahnya disampaikan, kemudian beliau pula perlu menjualnya. Apabila mereka menerbitkan dengan penerbit yang profesional. Segala ruangan penerbitan hinggalah jualan sudah dibina di dalam penerbit tersebut sendiri. Jadi ia kelihatan lebih profesional. Walaubagaimanapun ia terserah kembali kepada penulis untuk memikirkan dan membuat keputusan.

Ilmu Pengetahuan Perlu Dikomunikasikan (2)

March 26, 2007

Semasa di UiTM Shah Alam semalam saya ada bertemu dengan beberapa orang pensyarah dan tokoh penerbitan. Ada beberapa pandangan menarik mengenai dunia penulisan buku akademik. Ramai yang berpandangan penulisan daripada para pensyarah universiti bersifat akademik dan tidak boleh menjadi popular. Mereka merasakan bahawa buku-buku sebegini sukar diserap oleh pasaran buku dan tidak boleh mencapai tahap bestseller.

Pada pandangan saya, pendapat sebegini ada benar dan ada salah.  Penyelidikan dan kajian yang dibuat di dalam universiti adalah kajian mendalam mengenai sesuatu subjek atau bidang ilmu. Tesis, jurnal dan makalah ilmiah universiti adalah sumber ilmu daripada sumber pertama atau primer. Ia perlu dikongsikan dan dimanfaatkan oleh anggota masyarakat. Usaha tenaga pensyarah dan akademik universiti perlu dilakukan bagi memastikan segala dapatan yang berguna ini disampaikan kepada masyarakat.

Bahan-bahan ini memanglah bersifat akademik dan menggunakan terma ilmiah yang tinggi. Namun begitu ia masih boleh dimasyarakatkan dengan menukar pakej penyampaian dan cara persembahannya. Para ilmuwan universiti perlu melihat cara bagaimana menterjemahkan segala hasil penyelidikan dengan menggunakan bahasa orang awam. Terma tinggi direndahkan, bahasa susah dipermudahkan. Buku yang penuh teks diselitkan grafik dan ilustrasi yang menarik bagi memudahkan pembacaan serta menjadikannya user friendly.

Saya melihat banyak buku bestseller barat yang asal-usulnya daripada penyelidikan dalam universiti. Namun begitu disebabkan usaha yang mantap daripada para ilmuwan ini, tesis doktor falsafah boleh ditukar menjadi buku non fiksyen popular. Berbalik kepada para penulis mahu ataupun tidak. Itu sahaja. Saya ingin mengulang sekali lagi kata-kata PM Shaharom TM Sulaiman

Ilmu pengetahuan perlu dikomunikasikan

Siapa yang perlu mengkomunikasikan. Anda, kita dan saya.

Ilmu Pengetahuan Perlu Dikomunikasikan

March 25, 2007

 

Ilmu pengetahuan perlu dikomunikasikan

Ini adalah kata-kata yang dikeluarkan oleh Profesor Madya Shaharom TM Sulaiman ketika mempengerusikan sidang forum Publishing Talk anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (PBAKL). Ia diadakan pada hari ini, bermula daripada jam 9.30 pagi hingga 1 petang.

Ucapan perasmian oleh Dato’ Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia

Publishing Talk ini adalah di bawah siri promosi PBAKL di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Program ini dirasmikan oleh Dato’ Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Antara program yang diadakan selari dengan Publishing Talk ini adalah pameran oleh 16 penerbit buku termasuk PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Jurulatih Akademi Penulis Karya Bestseller, En. Fauzul Naim memberikan penerangan mengenai buku-buku yang diterbitkan oleh penerbitan PTS kepada Dato’ Noh Omar dan En. Roslan.

Banyak input menarik di dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh ahli panel yang terdiri daripada Puan Zainora Mohd, Pengarah Eksekutif Cerdik Publications merangkap Setiausaha Malaysian Book Publisher Association (MABOPA), Cik Nafisah, Ketua Bahagian di Perpustakaan Negara Malaysia dan En. Roslan, Pengarah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur merangkap Setiausaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

Dari kiri : PM Shaharom TM Sulaiman, En. Roslan, Puan Zainora dan Cik Nafisah

Antara kertas kerja yang menarik dibentangkan oleh Cik Nafisah, beberapa fakta menarik yang diberikan oleh beliau. Antara yang menarik adalah

  1. Statistik 5 tahun Perpustakaan Negara Malaysia, para penerbit Malaysia hanya menerbitkan secara purata 8 ribu judul setahun
  2. Keperluan penerbitan Malaysia adalah 24 ribu judul setahun

Ini adalah satu cabaran yang diberikan kepada para penerbit dan penulis bagi mengisi kekosongan yang ada. Apa lagi para penulis, mari mulakan usaha.

Penulis Yang Baik Mengenal Gelagat Pembaca

March 24, 2007

Hari ini separuh hari saya berada di Sekolah Menengah Islam Al-Amin bagi membuat pameran buku di sana. Saya bersama team daripada syarikat saya MIFF Edar dijemput bagi membuat pameran bersempena majlis anugerah kecemerlangan Sekolah Al-Amin dan Hari Ko Kurikulum.

Apabila mendapat jemputan sebegini, saya seboleh mungkin akan turut serta bersama ahli pasukan kami. Mengapa? Apabila kita membuat pameran sebegini, banyak perkara yang kita pelajari. Kita boleh melihat buku apakah yang dicari oleh pembaca sekarang. Buku bagaimana yang dibaca oleh orang bagaimana. Kesemua ini memberikan suatu indikator trend pembacaan semasa.

Penulis yang baik dan ingin menjadikan karyanya bestseller perlu melihat gelagat pembaca terutamanya kumpulan sasaran penulisan kita. Apabila menulis untuk remaja, cuba lihat dan kaji apa yang remaja ingin tahu sekarang. Apabila menulis untuk dewasa, perlu lihat citarasa mereka. Kesemua ini diperlukan bagi menghasilkan karya yang memenuhi citarasa.

Pembaca adalah pelanggan utama kita, kita adalah pembekal. Apabila bahan yang ditulis memenuhi kehendak dan citarasa pembaca lebih mudah karya kita diterima dalam pasaran. Sebaliknya apabila bekalan tidak memenuhi citarasa, maka bertompoklah karya kita di stor penerbit. Di mana hendak mulakan? Tentulah di kedai buku. Apa lagi mari kita mulakan langkah.

PBAKL 2007 Semakin Dekat, Diriku Semakin Sibuk

March 23, 2007

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (PBAKL) sudah semakin hampir, dan bahangnya memang saya rasai. Selepas diberikan jawatan sebagai AJK saya diberikan tanggungjawab menjadi penyelaras kepada dua program yang merupakan rangka promosi PBAKL 2007 ini. Petang tadi kami bermesyuarat di INTEKMA Resort, Shah Alam bagi tujuan tersebut. Menarik memang menarik. Terasa seperti kembali ke zaman mahasiswa ketika aktif sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya dahulu.

Program pertama adalah Publishing Talk di Universiti Teknologi MARA hari Ahad ini. Program tersebut berlangsung di Dewan Annexe, UiTM daripada jam 9 pagi hinggalah 1 petang. Program ini dirasmikan oleh Dato’ Noh Omar, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Ramai penggiat industri buku berhimpun di sana bagi memberikan pandangan industri mengenai senario dunia perbukuan Malaysia.

Siri program ini diteruskan di Universiti Malaya di bawah program Forum Industri Buku. Programnya lebih kurang sama juga dirasmikan oleh Dato’ Noh. Ia berlangsung pada 2 April 2007. Semua dijemput bagi memeriahkan program.

Melihat senario industri buku melalui penganjuran PBAKL 2007, banyak yang sudah berubah. Mentaliti orang dalam industri juga sudah berubah. Jauh berbeza daripada 7 tahun lepas semasa saya baru menapak dalam dunia perbukuan. Cara promosi dan pengiklanan juga sudah maju dan terkehadapan. Ruangan ini pada pandangan saya harus diambil oleh para penulis bagi mengembangkan bakat dan tampil ke depan dengan gaya penulisan segar. Permintaan kepada buku juga tinggi. Ia terbukti dengan penyertaan PBAKL meningkat daripada tahun ke tahun.

Wahai rakan penulis! Marilah kita bangkit dan menghasilkan karya segar demi kepentingan ummah. Dan tak lupa bagi kewangan diri. Inilah masanya :D

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007

March 22, 2007

Saya sudah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Publisiti dan Promosi, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (PBAKL 2007). Beberapa kegiatan dalam proses perancangan dan pelaksanaan bagi memberikan maklumat mengenai penganjuran kali ini. Di ruangan ini saya ingin membuat sedikit pemberitahuan beberapa program menarik bagi makluman semua.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 akan bermula pada 27 April hingga 5 Mei 2007. PBAKL kali ini lebih besar berbanding dengan yang terdahulu. PBAKL 2007 menggunakan 5 dewan dengan penyertaan 600 peserta daripada dalam dan luar negara. Pastinya lebih banyak buku yang akan dipamerkan.

Bersempena PBAKL 2007, akan dianjurkan dua program menarik mengenai dunia penerbitan buku. Program tersebut adalah :

a) PUBLISHING TALK di Universiti Teknologi MARA Shah Alam pada 25 Mac 2007 bermula jam 9 pagi hingga 1 petang. Program akan diadakan di Dewan Annex, UiTM Shah Alam. Beberapa penerbit akan membuka gerai di sana.

b) Wacana Penerbitan Buku di Universiti Malaya. Program ini akan diadakan pada 2 April 2007 daripada jam 9 pagi hingga 1 petang. Ia akan diadakan di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya.

Kepada sesiapa yang berminat bolehlah turut serta bagi memeriahkan program di sana.

Next Page »