Ciri Penulis dan Karya Bestseller (PENGENALAN)

February 6, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Ramai yang bertanya saya apakah sebenarnya ciri karya bestseller? Ini satu soalan yang amat perlu ditanya dan difikir oleh semua pengarang buku, cerpen, novel, akhbar dan majalah. Ramai yang mengatakan bahawa semuanya bergantung kepada kekuatan isi, pakej buku dan cara pemasaran. Saya tidak menafikan bahawa ia betul.

Namun begitu pada pandangan saya bagi memastikan sesebuah karya itu menjadi bestseller ia bermula daripada pengarang itu sendiri. Bestseller ini bukannya semata-mata bergantung kepada isi dan pakej yang disediakan. Berapa banyak karya yang di luar sana, mempunya isi penuh penyelidikan, gaya bahasa mempesonakan, penampilan kulit buku luar biasa tetapi hanya terjual seribu ke dua ribu naskhah setahun. Ada yang hingga seribu dua ribu bertahun-tahun.

Kesemuanya bermula daripada pengarang itu sendiri. Analoginya mudah sahaja. Kita ambil dunia hiburan. Banyak kaset dan CD audio yang diterbitkan daripada pelbagai jenis penyanyi. Namun begitu tidak semua kaset itu boleh jual sedangkan mutu pembuatan, kualiti audio, kulit kaset yang cantik sampai ada artis sanggup mendedahkan tubuhnya bagi menarik perhatian. Ada juga artis yang kita dengar suaranya hebat dengan lagu sedap didengar tetapi tetap tidak boleh mencapai tahap platinum berkembar.

Kemudian wujud pula artis baru, yang datang daripada rancangan realiti televisyen. Budak kampung, suaranya boleh dikatakan sama sedap dengan artis lain dan personaliti tiada apa sangat. Namun begitu disebabkan ciri yang ada pada dirinya boleh azan, baca Quran sedap, boleh menyanyi nasyid, pop, rock dan apa sahaja, jaga penampilan dan tatatertib. Akhirnya dikenali dan menimbulkan fenomena kepada dunia hiburan tanahair. Disayangi orang tua, diminati kanak-kanak dan orang ramai. Albumnya meletup-letup hingga setiap album dikeluarkan mencapai tahap 100,000 naskhah terjual setiap album. Kemuncak kepada itu, semalam (saya menulis artikel ini pada 5/2/2006) beliau dinobatkan sebagai bintang paling popular 2006 yang merupakan kali kedua berturut-turut oleh sebuah akhbar dan para peminatnya.

Apakah sebenarnya kriteria yang ada dalam kes ini? Adakah kasetnya bagus ataupun personaliti bagus? Perkara ini sama sahaja dengan dunia buku. Mari kita fikirkan.

Mengapa Kita Perlu Menulis 2?

February 5, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Dalam satu pertemuan antara para pengarang bersama Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah (DMFK) di Pejabat Excel Training, Bangi. Sesi ini adalah pertemuan dua hala di antara penulis bersama DMFK. Di sini pihak kami mendapat sedikit sebanyak motivasi bagi menjadi pengarang yang baik.

Saya tertarik dengan kata-kata DMFK yang memetik kata-kata Imam Al-Ghazali mengenai mengapa kita perlu menulis. Sepertimana yang kita semua maklum bahawa Al-Ghazali adalah seorang ulama’ besar mazhab Shafie. Ia menghasilkan berpuluh kitab yang menjadi rujukan utama. Karya yang diadaptasi daripada karya beliau boleh dikatakan beribu dan mungkin berjuta. Al-Ghazali mengatakan ada beberapa sebab seseorang itu perlu menulis. Sebab-sebab ini saya akan ulas pada siri-siri artikel yang lain.

Seseorang itu perlu menulis kerana :

  1. Dapat meningkatkan takwa
  2. Dapat melihat kelemahan diri
  3. Nampak kehebatan Allah
  4. Ingat akhirat selepas dapat dunia
  5. Lebih peka berkenaan syaitan
  6. Membuat orang lain nampak dengan mata hati

Mengapa Kita Perlu Menulis?

February 4, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Saya bertemu dengan seorang pensyarah di sebuah IPTA di sebelah utara tidak berapa lama dahulu. Penulis ini menghubungi saya menyatakan hasrat menerbit buku dengan syarikat saya PTS Millennia Sdn Bhd. Beliau mengajar subjek Sejarah di pusat pengajian jarak jauh.

Semasa saya bersembang dengan beliau saya sedikit sebanyak mengetahui situasi dan latar belakang beliau. Beliau sudah menerbitkan 20 buah buku dengan pelbagai penerbit. Antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd dan beberapa penerbit lagi. Yang menariknya pensyarah ini sudah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun di IPTA ini tetapi masih belum dinaikkan pangkat kepada Prof. Madya ataupun Profesor. Pelik kerana kebanyakan pengarang yang saya jumpa motivasinya untuk menulis adalah kenaikan pangkat.

Saya bertanya kepada beliau

Apakah yang memotivasikan Dr. untuk menulis?

Beliau menjawab

Fauzul! Saya ini sudah tua dan mungkin saat ini, hari ini, esok ataupun lusa akan mati. Apabila saya mati sudah tentu ilmu yang saya ada juga mati bersama saya. Namun apabila saya menulis dan mati, ilmu saya tetap hidup. Saya tetap menjadi guru kepada orang lain walaupun saya mati. Inilah ilmu yang bermanafaat buat saya bertemu dengan Tuhan nanti.

Teruja saya mendengar kata-kata yang penuh ikhlas daripada mulut pensyarah ini. Kita pula di mana ilmu bermanafaat bekalan kita di akhirat kelak?

Susahkah Untuk Menulis?

February 3, 2007 by Fauzul Naim Ishak  
Filed under Motivasi

Ramai yang bertanya soalan ini kepada saya apabila mula bercakap mengenai penulisan buku. Kebanyakannya menulis ini suatu perkara yang hanya boleh dilakukan oleh seorang sasterawan sahaja. Mereka melihat dunia penulisan buku hanya sekadar puisi, pantun, novel dan perkara-perkara berbentuk cereka atau fiksyen.

Dunia penulisan adalah lebih daripada itu. Ia bukan sekadar suatu perkara khayalan ataupun abstrak pemikiran. Penulisan juga banyak yang berpijak di bumi nyata berdasarkan fakta dan maklumat. Itulah sebabnya lahir buku-buku bisnes dan pembangunan diri ‘bestseller’ tulisan Stephen R. Covey dan Robert T. Kiyosaki.

Adakah penulis sastera yang menulis perkara sebegini? Tidak. Kesemuanya adalah orang berkepakaran dalam bidangnya. Jadi, diri kita bagaimana? Adakah kita ada kepakaran? Tentu ya. Kita mungkin pakar dalam bidang penerbitan seperti saya, pakar bidang masakan, pakar mengemas rumah, pakar mengenai kanak-kanak dan banyak lagi. Apakah signifikannya kepakaran ini dengan penulisan? Tulislah apa yang kita pakar.

Kembali kepada persoalan susahkah menulis? Tidak apabila kita tahu mengenai teknik menulis dan apa yang kita ingin tulis. Yang susah apabila kita tidak tahu teknik menulis dan tidak tahu apa yang ingin ditulis. Jadi bagaimana? Nanti kita ceritakan lagi.

« Previous Page