Bolehkah Saya Menjadi Seorang Penulis ? (3)
February 28, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi

Saya masih tidak cukup ilmu, bolehkah saya menulis?
Pernyataan sebegini sering saya dengar daripada mulut kebanyakan individu. Mereka merasakan bahawa diri mereka masih banyak kekurangan dari segi ilmu, pengetahuan dan maklumat.
Pada pandangan saya ia adalah satu cabaran bagi mereka yang berpandangan begitu. Apabila kita merasakan diri kita kurang ilmu, tambahkanlah ilmu. Apabila kita merasakan diri kita kurang maklumat, carilah maklumat.
Setiap satu kesukaran ada kesenangan, itu janji tuhan. Melihat daripada sudut ilmu, ilmu Allah ini lebih luas daripada lautan. Apakah definisi kurang ilmu dan maklumat pada diri kita? Adakah kita perlu menunggu kita sudah mencapai tahap profesor baru hendak menulis. Tahap profesor pun masih belum menggambarkan anda cukup ilmu. Saya pernah bertemu dengan penulis bertaraf profesor yang tidak pernah menerbitkan karya satu pun. Apabila bertanya kepada dia mengapa tidak menulis, sama sahaja alasannya masih banyak perkara yang perlu dikaji. Profesornya lebih pandai daripadanya.
Jika ramai orang yang berfikiran hendak cukup ilmu baru berkarya, maka tidak akan wujud lagi karya di dunia ini. Jaminan saya, apabila anda mula berkarya lagi banyak ilmu anda dapat. Lagi banyak anda menulis dan menerbitkan karya, lagi bertambahlah maklumat anda. Satu lagi semakin banyak anda mengkaji semakin anda rasa lebih banyak yang anda tidak tahu. Itulah sebenarnya keajaiban dunia ilmu. Masih merasa kurang ilmu?
Bolehkah Saya Menjadi Seorang Penulis ? (2)
February 27, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Ramai yang bertanya adakah bakat memainkan peranan dalam menjadikan penulisan tersebut bestseller? Pada pandangan saya apabila melihat daripada sudut bakat. Saya memerhati daripada dua sudut iaitu :
a) Bakat boleh diasah
Apabila kita menyebut bakat ia ada dua jenis iaitu bakat semulajadi dan bakat yang diasah. Ada orang yang memang bakatnya semulajadi. Ia dilahirkan daripada warisan dan gen penulis sejak zaman berzaman. Darah yang mengalir dalam dirinya adalah darah karyawan.
Bagi mereka yang bukan daripada keluarga penulis atau karyawan. Mereka masih lagi boleh mendapatkan bakat tersebut dengan mengasah bakat yang ada. Manusia dilahirkan dengan potensi besar dalam diri yang menunggu dikeluarkan oleh agen yang baik. Apabila seseorang itu mempunyai minat mendalam dan rasa ghairah yang membuak-buak. Potensi tersebut muncul dan berkembang selari dengan usaha yang dibuat.
b) Bakat tidak perlu bagi penulisan non fiksyen
Penulisan fiksyen seperti novel, puisi, cerpen dan pantun pada pandangan saya memang perlukan bakat. Namun begitu bagi penulis non fiksyen tidak perlu. Apa yang diperlukan adalah maklumat dan fakta. Menulis non fiksyen adalah kemahiran mengolah maklumat dan merealisasikan idea ke dalam penulisan.
Adakah anda masih merasakan bakat diperlukan?
Bolehkah Saya Menjadi Seorang Penulis?
February 26, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Dalam siri bengkel yang pernah saya kendalikan di seluruh Malaysia persoalan kelayakan menjadi penulis sering ditanya. Ramai yang masih ragu dan tidak yakin mereka boleh menjadi seorang penulis. Ada yang berkata mereka tidak ada idea, tidak ada bakat, tatabahasa tidak elok, karangan bahasa Melayu semasa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak bagus hanya dapat kredit sahaja dan pelbagai tanggapan lagi.
Persoalan beginilah menyebabkan mereka yang sudah berada di meja tulis ataupun depan komputer bersedia menulis terus bangun dan lupakan hasrat tersebut. Pengalaman saya menjadi penerbit, saya menerima pelbagai jenis manuskrip daripada pelbagai latar belakang penulis. Karya penulis yang pertama kali menulis. MasyaAllah! Memang ‘kotor’.
Kotor di sini bukannya bermaksud penuh dengan kekotoran fizikal, tetapi kekotoran daripada sudut bahasa. Namun begitu kekotoran itu semakin berkurang apabila si pengarang tersebut mengarang buku kedua, ketiga dan buku seterusnya. Yakin dan percayalah pada hasil karangan buku ketiga dan ke atas, buku karangan anda akan sampai tahap hampir sempurna.
Saya selalu ingatkan kepada pengarang, kerja membetulkan bahasa bukan kerja pengarang. Itu adalah kerja penyunting yang digajikan oleh penerbit. Biarlah karya anda amat ‘kotor’ sekalipun, mereka akan membantu anda membersihkannya. Memang kerja editor begitu. Apakah anda fikir bahawa pengarang bestseller dan bagus sekarang karya pertamanya sempurna? Tidak sama sekali. Tidak percaya? Boleh tanya diri mereka secara terus.
Apa lagi? Berkaryalah dan hantarkan kepada penerbit!
Pengarang Bestseller Mempunyai USP Tersendiri
February 22, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Teknik
Pengarang karya perlu ada Unique Selling Proposition (USP). Ini adalah satu istilah dalam pemasaran. USP ini dalam bahasa mudah slogan ataupun jenama yang menyebabkan orang kenal kepada diri kita. Kita boleh lihat contoh-contoh yang USP yang digunakan dalam iklan-iklan televisyen seperti “Macam-macam Ada”, “Gunakan Tanpa Was-was” dan “Dekat Di Hati”. Ini semuanya slogan ataupun jenama yang menyebabkan kita ingat kepada pemiliknya.
Dalam dunia penulisan pun USP sudah mula digunakan. “The Millonaire Coach”-Azizi Ali, “Jutawan Internet”-Irfan Khairi, “Jutawan Senyap”-Chef Li, Resipi Kejayaan-Ahmad Fadzli Yusof, “Motivasi Alihan Pelajar”-Dr. Tengku Asmadi dan “Teknik Amalan Belajar”-Dr. Shukri Abdullah. Kesemua ini penting bagi memudahkan para pembaca meletakkan diri kita di mana. Ia juga memudahkan pihak penerbit membuat promosi bersesuaian dengan USP kita. USP ini juga menunjukkan fokus penerbitan kita.
Apakah USP penulisan anda?
Sebab 2 Menulis Non Fiksyen : Pendapat Anda Didengari
February 20, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Selamat bercuti kepada mereka yang masih bercuti bagi sambutan Tahun Baru Cina. Semasa anda membaca artikel ini, saya masih berada di Johor bagi bersama rombongan meminang ahli keluarga saya. Walaubagaimanapun kita teruskan kepada sebab ke 2 menulis karya non fiksyen.
Apabila anda menulis karya non fiksyen, pandangan dan pendapat anda akan didengari serta dihayati. Buku membawa pemberat yang berprestij kepada seseorang individu. Apabila seseorang itu menulis, ia meningkatkan taraf hidup dan kredibilitinya kepada masyarakat. Pandangan penulis dihayati dan diikuti. Semakin banyak kita menulis, semakin naik taraf kita dalam masyarakat. Peminat karya kita juga mula wujud dan mereka akan sentiasa mengikuti perkembangan karya kita.
Kita tidak perlu melihat dan mendengar apa orang lain kata. Biarkan mereka menyalak ataupun memandang sinis karya anda.
“Hanya buah yang manis sahaja dibaling monyet, hanya karya yang baik sahaja dikata orang”
Bagaimana Saya Mahu Memilih Antara Fiksyen & Non Fiksyen?
February 19, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Ramai yang tak tahu memilih antara menulis fiksyen ataupun menulis non fiksyen. Ada orang berkata menulis fiksyen adalah lebih mudah dan ada orang kata non fiksyen lebih senang. Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri dan ia terpulang kepada kehendak sendiri.
Baiklah! mulai hari ini kita akan melihat apakah perlu memilih fiksyen ataupun non fiksyen. Sebelum kita pergi lebih jauh, pemilihan ini bergantung kepada keupayaan masing-masing. Ada sesetengah individu memang mempunyai keupayaan menulis non fiksyen dan ada yang lain pula mempunyai bakat menulis fiksyen.
SEBAB 1 MENULIS NON FIKSYEN : Pasaran terbuka untuk anda
Apabila kita ke kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya ataupun kedai-kedai buku besar di daerah anda. Kita dapat melihat limpahan karya non fiksyen di rak-rak buku mereka. Namun begitu sebenarnya, pasaran masih lagi terbuka. Cuba kita lihat, berapa ramai pengarang di Malaysia ini yang menulis mengenai Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), Perdana Menteri Malaysia sekarang.
Apabila diteliti terdapat pelbagai versi mengenai Pak Lah Daripada karya berbentuk akademik, semi akademik hinggalah berbentuk politik. Adakah masih ada ruang menulis mengenai beliau? Ya! Masih ada. Tulislah bagaimana beliau mentadbir negara, daripada perspektif remaja, perspektif suri rumah tangga dan banyak lagi. Kesemuanya bergantung kepada diri kita mahu ataupun tidak.
Berilah 10 pengarang yang menulis sesuatu subjek atau topik. Maka kita dapat lihat 10 jenis kupasan dan gaya berbeza bagi topik yang sama. Yakin dan percayalah apabila anda dan rakan anda menulis buku dalam topik yang sama hasilnya berbeza (kecuali berlaku kes plagiat). Ia diibaratkan seperti cap jari, tidak mungkin ada dua penulis yang menulis cara sama bagi topik yang sama.
Jadi pembaca akan memilih mana yang ada keunikan dan cara kupasan terbaru. Karya tersebutlah pilihan hati.
Cara Menulis Yang Baik Adalah Dengan Keluar Daripada ‘Mode Penulis’
February 18, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Teknik
Tentu ramai yang pelik apabila membaca tajuk entri ini. Cara menulis yang baik adalah dengan keluar daripada ‘mode penulis’. Apabila kita bercerita dengan sahabat semasa bersarapan ataupun masa lapang, pelbagai topik yang dibincangkan. Ada topik serius, ada humor dan ada sedih. Kesemuanya itu diceritakan dalam bentuk kata-kata yang kita saling memahami. Apabila sedih kita boleh menangis, apabila lucu kita boleh ketawa dan apabila seram kita berasa takut.
Namun begitu apabila kita menulis, segala apa yang kita berjaya sampaikan sewaktu kita berbicara ataupun bercerita dengan sahabat kita tadi tidak sepertinya. Mengapa? Ini bezanya apabila kita cuba menggunakan ‘mode penulis’ dalam penulisan kita. Habis itu bagaimana? Kita perlu guna ‘mode pencerita’. Kita tulis karya sepertimana kita bercerita dengan sahabat kita tadi. Penuh perasaan, penuh emosi dan penuh dramatik. Apabila pembaca membaca karya sebegini, dia berasa dirinya dekat dengan kita dan tentunya mereka baca berterusan seperti mendengar sahabatnya bercerita.
Anda bagaimana? Mari jadikan diri pencerita yang baik.
‘Takut Mati’ Formula Karya Bestseller!
February 16, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Dua hari lepas saya bersama staff saya membuat lawatan kerja ke Excel Training. Tujuannya bertemu dengan sahabat penulis, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, pakar motivasi Malaysia. Dalam pertemuan tersebut banyak perkara yang dibincangkan terutamanya mengenai beberapa projek baru bagi penerbitan tahun ini.
Dalam pertemuan tersebut saya meminta tip-tip bagi dikongsikan bersama anda rakan pelawat PenerbitBuku.Com. Beliau berkata,
Penulis yang baik seharusnya menulis seperti dia akan mati pada saat itu. Apabila begitu dia akan menulis dengan sehabis baik. Orang yang hebat meninggalkan warisannya. Penulis yang hebat meninggalkan karya yang hebat
Adakah kita menulis sepertimana yang Dato’ Fadzilah katakan?
Adakah Perlu Cari Pengalaman Dahulu Baru Boleh Menulis?
February 12, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Soalan di atas selalu ditanya dalam setiap siri bengkel atau ceramah penulisan yang saya kendalikan. Kebanyakan mempunyai tanggapan bahawa penulisan hanya orang berpengalaman sahaja.
Sebelum pergi jauh biar kita lihat apakah sebenarnya definisi pengalaman? Apabila ditanya soalan ini ramai yang memberikan definisi mengikut pandangan masing-masing. Saya punya definisi mudah sahaja. BUAT DAHULU BARU TAHU! Itu definisi yang saya pegang dan sampaikan kepada semua peserta bengkel saya.
Analogi saya mudah sahaja. Kita ambil topik berenang. Ramai orang tahu apa itu kuak lentang, kuak dada, kuak kupu-kupu, kuak katak dan sebagainya. Apabila disuruh tunjuk caranya atas darat. Ramai yang boleh menunjukkan caranya. Secara teorinya, ramai yang mengetahui teknik-teknik tersebut. Adakah itu yang dikatakan sebagai pengalaman? Adakah dengan pengetahuan teori-teori yang saya katakan di atas membolehkan anda semua berenang? Jawapannya tentu tidak.
Caranya adalah masuk dahulu ke dalam air, kemudian cuba, lihat kedalaman dan sebagainya. Kemudian baru tahu apa itu berenang. Kalau hanya sekadar tahu teori dan terjun ke dalam sungai, yakin dan percayalah 99.99 peratus orang akan lemas. Jadi begitu juga dengan menulis. Apabila hendak menulis, cuba dahulu baru tahu apa itu menulis. Itu baru pengalaman. Bilakah anda ingin mulakan pengalaman anda?
Ciri Penulis dan Karya Bestseller : Cooperative Skill (Siri 1)
February 9, 2007 by Fauzul Naim Ishak
Filed under Motivasi
Dua hari lepas saya mendapat makluman daripada editor perolehan PTS Millennia Sdn (PTS M) mengenai seorang pengarang. Beliau seorang tokoh dikenali dalam gerak kerja yang dilakukan. Perbincangan dengan beliau ini sudah berlangsung sekian lama bagi menghasilkan satu biografi mengenai dirinya. Beliau ini pada pandangan PTS M boleh menjadi seorang tokoh individu cekal hati di atas kejayaan yang diperolehinya. Dapat dijadikan inspirasi oleh generasi baru.
Daripada semasa ke semasa pertemuan sudah dibuat, dalam setiap pertemuan ada sahaja perkara yang dimintanya. Minta itu minta ini dan kebanyakannya PTS M cuba penuhi. Akhirnya semuanya sudah dipersetujui dan karyanya pun sudah siap. Tiba-tiba semalam dia hubungi editor perolehan tersebut dan membuat permintaan tambahan. Beliau ingin mengubah klausa dalam perjanjian penerbitan. Saya terus katakan bahawa pihak PTS M sudah tidak boleh lagi memenuhi permintaan tersebut sebab ia di luar kemampuan PTS M. Saya sarankan agar beliau menerbitkan dengan penerbit yang boleh memenuhi permohonan beliau.
Ini adalah satu contoh pengarang yang kurang cooperative skill (kemahiran bekerjasama). Manusia adalah insan yang ada hati dan perasaan. Kesemuanya mahukan kehendak masing-masing dipenuhi. Namun begitu ia tidak boleh dipenuhi oleh semua pihak dalam satu masa. Ada perkara yang boleh diberikan sekaligus, kita berikan sekaligus. Mana yang perlu dibincangkan daripada semasa ke semasa perlulah dibincangkan mengikut cara demikian.
Pengarang yang inginkan karya menjadi bestseller perlu ada kemahiran kerjasama yang baik. Kerjasama dengan penerbit, kerjasama dengan penulis bersama ( jika ada) kerjasama dengan editor, kerjasama dengan pembaca, kerjasama dengan kedai buku dan orang-orang lain. Apabila perkara ini berlaku semua orang akan menjadi sayang dan mempunyai hubungan baik.
Cara bekerjasama dengan penerbit adalah dengan berbincang cara terbaik bagi menghasilkan karya bestseller. Yakin dan percaya tidak ada karya boleh dikatakan sebagai masterpiece kecuali kalam tuhan. Jadi ia masih perlu dibaiki.
Bekerjasama dengan penulis bersama apabila memerlukan gandingan mantap kedua-dua ahli kumpulan. Tidak hanya memikirkan kepentingan diri sahaja.
Bekerjasama dengan editor dalam memastikan segala ubahan dan suntingan dibuat diambil perhatian.
Bekerjasama dengan pembaca adalah dengan memenuhi kehendak pembaca. Tulis apa yang pembaca hendak tahu, bukan apa yang kita tahu.
Bekerjasam dengan kedai buku dengan memenuhi jemputan apabila ada program diskusi buku. Cara ini boleh menaikkan lagi jenama buku anda. Begitulah seterusnya.
Apabila wujudnya hubungan baik. Berlakulah suasana yang sihat dalam dunia perbukuan. Kebarangkalian karya tersebut menjadi bestseller juga naik. Anda pengarang yang bagaimana? Berapa baik kemahiran bekerjasama anda?






