Bolehkah Saya Menjadi Seorang Penulis ? (3)
February 28, 2007

Saya masih tidak cukup ilmu, bolehkah saya menulis?
Pernyataan sebegini sering saya dengar daripada mulut kebanyakan individu. Mereka merasakan bahawa diri mereka masih banyak kekurangan dari segi ilmu, pengetahuan dan maklumat.
Pada pandangan saya ia adalah satu cabaran bagi mereka yang berpandangan begitu. Apabila kita merasakan diri kita kurang ilmu, tambahkanlah ilmu. Apabila kita merasakan diri kita kurang maklumat, carilah maklumat.
Setiap satu kesukaran ada kesenangan, itu janji tuhan. Melihat daripada sudut ilmu, ilmu Allah ini lebih luas daripada lautan. Apakah definisi kurang ilmu dan maklumat pada diri kita? Adakah kita perlu menunggu kita sudah mencapai tahap profesor baru hendak menulis. Tahap profesor pun masih belum menggambarkan anda cukup ilmu. Saya pernah bertemu dengan penulis bertaraf profesor yang tidak pernah menerbitkan karya satu pun. Apabila bertanya kepada dia mengapa tidak menulis, sama sahaja alasannya masih banyak perkara yang perlu dikaji. Profesornya lebih pandai daripadanya.
Jika ramai orang yang berfikiran hendak cukup ilmu baru berkarya, maka tidak akan wujud lagi karya di dunia ini. Jaminan saya, apabila anda mula berkarya lagi banyak ilmu anda dapat. Lagi banyak anda menulis dan menerbitkan karya, lagi bertambahlah maklumat anda. Satu lagi semakin banyak anda mengkaji semakin anda rasa lebih banyak yang anda tidak tahu. Itulah sebenarnya keajaiban dunia ilmu. Masih merasa kurang ilmu?
Bolehkah Saya Menjadi Seorang Penulis ? (2)
February 27, 2007
Ramai yang bertanya adakah bakat memainkan peranan dalam menjadikan penulisan tersebut bestseller? Pada pandangan saya apabila melihat daripada sudut bakat. Saya memerhati daripada dua sudut iaitu :
a) Bakat boleh diasah
Apabila kita menyebut bakat ia ada dua jenis iaitu bakat semulajadi dan bakat yang diasah. Ada orang yang memang bakatnya semulajadi. Ia dilahirkan daripada warisan dan gen penulis sejak zaman berzaman. Darah yang mengalir dalam dirinya adalah darah karyawan.
Bagi mereka yang bukan daripada keluarga penulis atau karyawan. Mereka masih lagi boleh mendapatkan bakat tersebut dengan mengasah bakat yang ada. Manusia dilahirkan dengan potensi besar dalam diri yang menunggu dikeluarkan oleh agen yang baik. Apabila seseorang itu mempunyai minat mendalam dan rasa ghairah yang membuak-buak. Potensi tersebut muncul dan berkembang selari dengan usaha yang dibuat.
b) Bakat tidak perlu bagi penulisan non fiksyen
Penulisan fiksyen seperti novel, puisi, cerpen dan pantun pada pandangan saya memang perlukan bakat. Namun begitu bagi penulis non fiksyen tidak perlu. Apa yang diperlukan adalah maklumat dan fakta. Menulis non fiksyen adalah kemahiran mengolah maklumat dan merealisasikan idea ke dalam penulisan.
Adakah anda masih merasakan bakat diperlukan?
Bolehkah Saya Menjadi Seorang Penulis?
February 26, 2007
Dalam siri bengkel yang pernah saya kendalikan di seluruh Malaysia persoalan kelayakan menjadi penulis sering ditanya. Ramai yang masih ragu dan tidak yakin mereka boleh menjadi seorang penulis. Ada yang berkata mereka tidak ada idea, tidak ada bakat, tatabahasa tidak elok, karangan bahasa Melayu semasa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak bagus hanya dapat kredit sahaja dan pelbagai tanggapan lagi.
Persoalan beginilah menyebabkan mereka yang sudah berada di meja tulis ataupun depan komputer bersedia menulis terus bangun dan lupakan hasrat tersebut. Pengalaman saya menjadi penerbit, saya menerima pelbagai jenis manuskrip daripada pelbagai latar belakang penulis. Karya penulis yang pertama kali menulis. MasyaAllah! Memang ‘kotor’.
Kotor di sini bukannya bermaksud penuh dengan kekotoran fizikal, tetapi kekotoran daripada sudut bahasa. Namun begitu kekotoran itu semakin berkurang apabila si pengarang tersebut mengarang buku kedua, ketiga dan buku seterusnya. Yakin dan percayalah pada hasil karangan buku ketiga dan ke atas, buku karangan anda akan sampai tahap hampir sempurna.
Saya selalu ingatkan kepada pengarang, kerja membetulkan bahasa bukan kerja pengarang. Itu adalah kerja penyunting yang digajikan oleh penerbit. Biarlah karya anda amat ‘kotor’ sekalipun, mereka akan membantu anda membersihkannya. Memang kerja editor begitu. Apakah anda fikir bahawa pengarang bestseller dan bagus sekarang karya pertamanya sempurna? Tidak sama sekali. Tidak percaya? Boleh tanya diri mereka secara terus.
Apa lagi? Berkaryalah dan hantarkan kepada penerbit!
Akademi Penulis Karya Bestseller Berwajah Baru
February 25, 2007
Alhamdulillah! Kelmarin seharian bertungkus lumus menyiapkan rupa baru laman web Akademi Penulis Karya Bestseller. Inilah hasilnya yang dapat anda layari. Domain laman ini juga sudah diubah daripada

www.penerbitbuku.com
kepada

www.akademipenulis.com
Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat daripada laman ini
Selamat berhujung minggu….
Bagaimana Menjadi Penulis Berminda Pemasaran 1
February 24, 2007
Apabila kita ingin berkarya dalam sesuatu bidang atau topik, kita perlu benar-benar cintakan bidang tersebut. Ia bukan sesuatu yang instant atau segera. Seperti kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta. Kita perlu kenal dan tahu apakah sebenarnya bidang yang kita pilih. Apabila kita tahu barulah kita boleh lihat gelagatnya.
Perkara pertama sebagai seorang pengarang berminda pemasaran, kita perlu memahami pasaran bidang yang kita pilih. Sebagai contoh kita memilih menulis dalam bidang motivasi. Apakah sebenarnya bidang motivasi ini? Berapakah cabang motivasi? Berapa luaskah bidang motivasi? Siapakah tokoh-tokoh rujukan motivasi? Kesemua ini menyebabkan kita lebih mempunyai worldview mengenai bidang yang kita pilih.
Adakah anda memahami topik penulisan yang anda pilih?
Pengarang Bestseller Juga Seorang Agen Pemasaran Yang Baik
February 23, 2007
Apabila kita menyebut mengenai USP, kita sudah mula berfikir seperti seorang pegawai pemasaran. Pengarang bestseller adalah juga seorang pegawai atau agen pemasaran yang baik. Bagaimana kita ingin menjual produk kita? Apakah segmentasi pembaca yang ingin kita sasarkan karya kita? Apakah kehendak mereka? Berapa besar pasaran kita?Semua itu perlu ada di dalam otak seorang penulis bestseller. Adakah anda sudah boleh mendefinisikan pasaran karya anda? InsyaAllah dalam beberapa artikel akan datang kita berdiskusi bagaimana menjadi pengarang bestseller yang mempunyai otak seorang pegawai pemasaran.
Pengarang Bestseller Mempunyai USP Tersendiri
February 22, 2007
Pengarang karya perlu ada Unique Selling Proposition (USP). Ini adalah satu istilah dalam pemasaran. USP ini dalam bahasa mudah slogan ataupun jenama yang menyebabkan orang kenal kepada diri kita. Kita boleh lihat contoh-contoh yang USP yang digunakan dalam iklan-iklan televisyen seperti “Macam-macam Ada”, “Gunakan Tanpa Was-was” dan “Dekat Di Hati”. Ini semuanya slogan ataupun jenama yang menyebabkan kita ingat kepada pemiliknya.
Dalam dunia penulisan pun USP sudah mula digunakan. “The Millonaire Coach”-Azizi Ali, “Jutawan Internet”-Irfan Khairi, “Jutawan Senyap”-Chef Li, Resipi Kejayaan-Ahmad Fadzli Yusof, “Motivasi Alihan Pelajar”-Dr. Tengku Asmadi dan “Teknik Amalan Belajar”-Dr. Shukri Abdullah. Kesemua ini penting bagi memudahkan para pembaca meletakkan diri kita di mana. Ia juga memudahkan pihak penerbit membuat promosi bersesuaian dengan USP kita. USP ini juga menunjukkan fokus penerbitan kita.
Apakah USP penulisan anda?
Pengarang Yang Baik Sentiasa Mencabar Mindanya
February 21, 2007
Percutian yang lama kadangkala menyegarkankan dan kadangkala meletihkan. Bukan meletihkan badan tetapi otak sebab terpaksa menghadapi hari-hari sibuk kembali selepas puas berehat ![]()
Kita kembali kepada topik fokus yang kita bincangkan sebelum ini. Fokus menyebabkan minda kita bergerak lebih pantas dan efektif. Apabila otak kita fokus dengan sesuatu topik ia berkembang dalam ruang lingkup fokus tersebut dengan lebih kreatif. Apabila terjadi begini makin banyak yang ingin kita tahu dan makin banyak yang kita rasa tidak tahu.
Pengarang yang baik sentiasa mencabar mindanya agar terus berfikir dan berfikir. Dalam menghasilkan tulisan di laman ini juga saya mencabar minda saya agar berfikir apa lagi yang harus seorang pengarang berfikir. Semakin dicabar makin dinamik otak, idea kreatif makin mencurah-curah dan karya kita juga makin mendalam hasilnya.
Pengarang tidak boleh berhenti berfikir, kita terus melihat dunia ilmu dengan lebih mendalam. Saya melihat dunia ilmu dan buku dari dalam juga luar negara. Kita jauh tertinggal daripada penghasilan karya ilmu segar dan dinamik. Pelbagai idea baru keluar disebabkan karyawan mereka ingin terus berfikir menghasilkan tulisan baru. Apabila karyawan begitu, minda pembaca juga berkembang, rakyat negara kita makin cerdas otaknya dan Malaysia juga harmoni dengan dunia ilmu.
Sebab 2 Menulis Non Fiksyen : Pendapat Anda Didengari
February 20, 2007
Selamat bercuti kepada mereka yang masih bercuti bagi sambutan Tahun Baru Cina. Semasa anda membaca artikel ini, saya masih berada di Johor bagi bersama rombongan meminang ahli keluarga saya. Walaubagaimanapun kita teruskan kepada sebab ke 2 menulis karya non fiksyen.
Apabila anda menulis karya non fiksyen, pandangan dan pendapat anda akan didengari serta dihayati. Buku membawa pemberat yang berprestij kepada seseorang individu. Apabila seseorang itu menulis, ia meningkatkan taraf hidup dan kredibilitinya kepada masyarakat. Pandangan penulis dihayati dan diikuti. Semakin banyak kita menulis, semakin naik taraf kita dalam masyarakat. Peminat karya kita juga mula wujud dan mereka akan sentiasa mengikuti perkembangan karya kita.
Kita tidak perlu melihat dan mendengar apa orang lain kata. Biarkan mereka menyalak ataupun memandang sinis karya anda.
“Hanya buah yang manis sahaja dibaling monyet, hanya karya yang baik sahaja dikata orang”
Bagaimana Saya Mahu Memilih Antara Fiksyen & Non Fiksyen?
February 19, 2007
Ramai yang tak tahu memilih antara menulis fiksyen ataupun menulis non fiksyen. Ada orang berkata menulis fiksyen adalah lebih mudah dan ada orang kata non fiksyen lebih senang. Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri dan ia terpulang kepada kehendak sendiri.
Baiklah! mulai hari ini kita akan melihat apakah perlu memilih fiksyen ataupun non fiksyen. Sebelum kita pergi lebih jauh, pemilihan ini bergantung kepada keupayaan masing-masing. Ada sesetengah individu memang mempunyai keupayaan menulis non fiksyen dan ada yang lain pula mempunyai bakat menulis fiksyen.
SEBAB 1 MENULIS NON FIKSYEN : Pasaran terbuka untuk anda
Apabila kita ke kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya ataupun kedai-kedai buku besar di daerah anda. Kita dapat melihat limpahan karya non fiksyen di rak-rak buku mereka. Namun begitu sebenarnya, pasaran masih lagi terbuka. Cuba kita lihat, berapa ramai pengarang di Malaysia ini yang menulis mengenai Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), Perdana Menteri Malaysia sekarang.
Apabila diteliti terdapat pelbagai versi mengenai Pak Lah Daripada karya berbentuk akademik, semi akademik hinggalah berbentuk politik. Adakah masih ada ruang menulis mengenai beliau? Ya! Masih ada. Tulislah bagaimana beliau mentadbir negara, daripada perspektif remaja, perspektif suri rumah tangga dan banyak lagi. Kesemuanya bergantung kepada diri kita mahu ataupun tidak.
Berilah 10 pengarang yang menulis sesuatu subjek atau topik. Maka kita dapat lihat 10 jenis kupasan dan gaya berbeza bagi topik yang sama. Yakin dan percayalah apabila anda dan rakan anda menulis buku dalam topik yang sama hasilnya berbeza (kecuali berlaku kes plagiat). Ia diibaratkan seperti cap jari, tidak mungkin ada dua penulis yang menulis cara sama bagi topik yang sama.
Jadi pembaca akan memilih mana yang ada keunikan dan cara kupasan terbaru. Karya tersebutlah pilihan hati.

